Wednesday, June 11, 2008

Bersama YaPEIM: Perniagaan angkat darjat ummah

Oleh Penulis Khas YaPEIM



CABANG KEUSAHAWANAN: Bidang penternakan juga antara perniagaan yang digalakkan dalam Islam.

Setiap Muslim perlu bekerja, berusaha untuk bebas daripada kemiskinan

ULAMA terkenal, Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Mushkilah al-Faqr wa Kayfa `Ilajuha al-Islam mengemukakan beberapa cadangan bagaimana umat Islam boleh keluar daripada kepompong kemiskinan.

Antaranya, umat Islam perlu bekerja dan berusaha bagi membebaskan penyakit dan wabak kemiskinan. Bidang pekerjaan adalah senjata yang ampuh yang dapat memerangi bahaya kemiskinan.

Malah, Islam tidak pernah menutup ruang pekerjaan kepada umat Islam selagi pekerjaan yang diceburi itu tidak mempunyai unsur haram dan syubahat. Ini bererti Islam membuka ruang seluasnya kepada umat Islam memilih bidang pekerjaan yang sesuai dengan kepandaian, kemahiran, pengalaman serta bakat.

Apa yang penting, pekerjaan itu mendatangkan upah, gaji, pendapatan dan keuntungan kepada yang mengerjakannya. Dengan upah, ganjaran dan pendapatan sedemikian individu berkenaan dapat memenuhi keperluannya dan keperluan tanggungannya.

Antara pekerjaan yang dituntut Islam ialah keusahawanan. Islam menilai bidang keusahawanan bukan saja aktiviti menumpukan sektor jual beli barangan atau perkhidmatan saja. Keusahawanan membabitkan pekerjaan makan gaji dan mengambil upah kerana Islam menganggap makan gaji dan mengambil upah itu adalah sebagai tukar tenaga.

Jika diteliti sejarah aktiviti keusahawanan, ia bermula sejak awal kewujudan manusia. Contohnya, dua anak Nabi Adam sudah mempelopori bidang utama keusahawanan pada ketika itu iaitu Habil dalam bidang pertanian dan Qabil, bidang ternakan.

Selain itu, menurut Ibn Ishaq seperti dicatatkan oleh Ibn Hisyam dalam kitab al-Sirah al-Nabawiyyah, semua utusan Allah menjadikan bidang keusahawanan (terutama dalam sektor penternakan kambing) sebagai kerjaya mereka.

Ini termasuklah Rasulullah SAW sendiri sebelum dilantik sebagai Nabi dan Rasul adalah pengembala kambing dan ahli perniagaan terbaik. Teras kepada amalan perniagaan yang Baginda SAW praktikkan ialah tekun, jujur dan adil.

Justeru, tidak hairanlah Baginda SAW diberi gelaran Sadiq dan Amin. Keunggulan peribadi Rasulullah SAW ketika menjalankan urusan perniagaan itulah yang menjadikan Baginda dilantik sebagai ejen dagangan Khadijah binti Khuwailid ke Syam.

Di samping itu, misi perniagaan ke Syam itu memberikan suatu jualan dagangan cukup laris. Ini menggambarkan Baginda SAW amat dipercayai oleh pengguna dan pembeli. Kemuncak kepada kepercayaan itu ialah Khadijah melamar Baginda SAW sebagai pasangan hidupnya.

Dalam Islam, sektor keusahawanan amat dipandang mulia. Kedudukan usahawan yang bersifat jujur, amanah dan beretika mulia jelas seperti yang diakui Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Pedagang yang jujur dan amanah tempatnya bersama para Nabi, orang yang benar dan para syuhada." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Ketinggian nilai keusahawanan juga terangkum dalam jawapan Rasulullah SAW seperti hadis diriwayatkan daripada Rifa`ah bin Rafi`, ketika ditanya mengenai mata pencarian terbaik ialah hasil titik peluh sendiri dan perniagaan yang bersih.

Dalam pada itu, Rasulullah SAW turut menggalakkan umatnya untuk terus berusaha dalam sektor lain seperti perindustrian dan pertukangan, yang boleh dianggap sebagai cabang keusahawanan.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Makanan terbaik yang dimakan oleh seseorang itu ialah makanan yang diperolehnya daripada hasil kerja tangannya sendiri." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sementara itu seorang imam pada zaman Tabi`in iaitu Ibrahim al-Nakha`i pernah ditanya manakah yang lebih beliau sukai antara seorang peniaga yang jujur dengan seorang `abid (ahli ibadah) yang menghabiskan masanya untuk beribadah.

Beliau mengatakan beliau lebih menyukai peniaga yang jujur kerana dia sentiasa berjihad melawan godaan syaitan yang selalu menggodanya pada setiap timbangan dan takaran serta pada setiap pembelian dan penjualan.

Kepentingan bidang keusahawanan terserlah apabila ia dianggap sebagai punca rezeki yang utama. Inilah yang ditegaskan dalam satu riwayat yang mengatakan sembilan daripada 10 punca rezeki adalah menerusi perniagaan.

Ini membuktikan Islam amat menggalakkan umatnya menceburi bidang keusahawanan. Setiap insan bergantung antara satu sama lain dalam memenuhi keperluan hidupnya. Seorang petani umpamanya, memerlukan nelayan untuk mendapatkan ikan dan memerlukan si penenun kain untuk memenuhi keperluan pakaian mereka.

Proses mendapatkan keperluan hidup ini memerlukan transaksi perniagaan antara satu sama lain dan perlu berlandaskan hukum syarak. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu..." (Surah al-Nisa', ayat 29)

Dalam Islam, menjalankan aktiviti perniagaan berlandaskan hukum syarak adalah fardu kifayah. Ini bererti kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan seluruh umat Islam menanggung dosa. Oleh itu, perniagaan juga berperanan menyatupadukan umat Islam supaya saling bantu membantu, bertolak ansur dan lengkap melengkapi antara satu sama lain demi memenuhi keperluan hidup mereka. Ini menunjukkan melalui perniagaan berdasarkan syarak yang memenuhi tuntutan kefarduan dalam agama dikira sebagai ibadah yang sangat dituntut dalam Islam. Di samping itu, perniagaan dalam bukan saja dapat memenuhi tuntutan ekonomi dan sosial, juga bersifat keagamaan.

Tegasnya, perniagaan dapat mengukuhkan kedudukan ekonomi umat Islam dalam sesebuah negara. Ini ditambah pula dengan kesedaran berzakat di kalangan peniaga yang mahu menyumbang ke arah satu skim bantuan kepada ahli masyarakat yang memerlukan.

Walaupun kita menyedari hari ini ada kalangan peniaga dan usahawan yang menceburi bidang itu berpegang kepada slogan perniagaan adalah suatu peperangan. Justeru, dengan slogan itulah mereka seolah-olah menjulang panji 'membunuh atau dibunuh'.

Kesannya, kita dapati banyak kejadian tidak bermoral dan beradab dalam urusan perniagaan. Ini berbeza dengan Islam yang melihat perniagaan bukan sebagai medan peperangan tetapi perlu disuburkan dengan semangat mahabbah yang menjalinkan hubungan kemanusiaan dengan penuh kasih sayang dan timbang rasa.

Usahawan Muslim sejati bukan 'haiwan' atau 'binatang' ekonomi yang rakus dan ganas yang membaham segala mangsa serta musuh ekonominya akhirnya hilang pertimbangan kemanusiaan, kewarasan moral serta etikanya.

Barangkali inilah yang ingatkan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Allah mengasihani orang yang bertimbang rasa apabila menjual, membeli, membayar hutang dan menuntut hutang."

Sehubungan itu, melalui tarbiah Rasulullah SAW yang terbabit dalam bidang keusahawanan, lahirlah nama besar seperti Abd al-Rahman bin `Awf dan Uthman bin `Affan sebagai usahawan berjaya. Kita amat merindui dan mengharapkan akan adanya individu Muslim yang mampu mengangkat martabat umat Islam melalui bidang keusahawanan seperti pernah dirakamkan sejarah Islam.

Idealisme perjuangan mengangkat ketuanan usahawan Muslim mungkin dapat direalisasikan apabila kita berjaya memahami prinsip keusahawanan seperti yang digariskan al-Quran, al-Sunnah dan sejarah salaf al-salih.

No comments: