Thursday, June 26, 2008

Personaliti: Juara AQ3 penuhi impian ibu bapa

Oleh Hasliza Hassan

BERBAKAT BESAR: Mohd Fakhrul menjadi johan dalam AQ3 membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan sebuah kereta Proton Saga.

Mohd Fakhrul Radhi harap tarik minat remaja mempelajari bidang al-Quran

KEJAYAAN ke peringkat akhir hingga diumumkan sebagai juara Akademi al-Quran musim ketiga (AQ3) adalah rezeki paling berharga kerana kejayaan itu membolehkan Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin, memenuhi impian ibu bapanya untuk melihat beliau mencipta nama sebagai pelajar cemerlang AQ3.

Justeru, tiada apa yang dapat dikatakan selain ucapan syukur tidak terhingga kepada Allah yang mengurniakan rezeki itu serta rasa terima kasih terhadap sokongan jitu kedua ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan.

"Perasaan gembira kerana dapat menggembirakan ibu bapa saya. Ini hasrat mereka untuk melihat saya bergelar juara AQ", kata anak keempat daripada lapan beradik kepada pasangan Khamarudin Ahmad dan Dalilah Ariffin.

Beliau yang sedang berurusan di Telekom Malaysia (TM) Alor Star ketika dihubungi berkata, gelaran itu turut menjadi cabaran kerana dirinya kini menjadi perhatian. Malah, ketika berurusan di TM, beliau turut ditegur pelanggan lain yang mengenali dirinya.

Mohd Fakhrul berkata, perubahan dilalui diterima secara positif kerana dikaitkan dengan program realiti yang memartabatkan ilmu mempelajari al-Quran secara tidak langsung akan menggalakkan masyarakat mempelajari ilmu berkenaan.

Malah, memang menjadi harapan beliau supaya kejayaan diraih dapat menarik minat terutama remaja untuk mempelajari bidang al-Quran yang mengandungi ilmu Allah supaya dapat dimanfaat dalam kehidupan di dunia dan akhirat.

Pada peringkat akhir AQ3, program realiti terbitan TV9 yang disiarkan secara langsung pada malam Khamis minggu lalu, Mohd Fakhrul bersaing dengan tiga peserta lain yang berjaya mara iaitu Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Syamsul Abu Hasan Alshaari dan satu-satunya peserta wanita, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman.

Pada malam penentuan itu Fakhrul memilih sampul surat warna kuning mengandungi soalan nombor lima yang meminta beliau membaca surah Ibrahim dari ayat 11 dengan riwayat kholaf serta taranum husaini, hijaz dan sikah.

Hasil bacaan yang berhati-hati, juri mengakui sukar mencari kesalahan dan mungkin itulah membolehkan beliau diumumkan sebagai juara AQ3 menewaskan tiga peserta akhir lain yang tidak kurang hebatnya.

Beliau yang berjaya mengumpul 92.5 peratus membawa pulang kereta Proton Saga bernilai RM36,000, wang tunai RM30,000 dan rehal kristal berbentuk al-Quran bernilai RM1,000.

Tempat kedua dimenangi Sharifah Khasif Fadzilah yang mendapat 91 peratus, ketiga, Ahmad Tarmizi (89 peratus) dan keempat, Syamsul (86.5 peratus). Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM20,000, RM10,000 dan RM2,000.

Mohd Fakhrul berkata, selain memenuhi impian kedua ibu bapa, matlamat beliau menyertai AQ3 adalah untuk menambah ilmu pengetahuan dalam ilmu pembacaan al-Quran daripada tenaga pengajar kerana walaupun mempunyai ilmu asas dan tahu serba sedikit mengenai taranum, beliau tidak mahir dalam teknik pembacaan.

Menyentuh mengenai minat membaca al-Quran, pelajar tahun dua pengajian Usuluddin di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah itu memberitahu, semuanya bermula seperti kanak-kanak lain apabila beliau mula belajar mengaji dengan neneknya.

Mengakui awalnya membaca al-Quran dirasakan sebagai budaya yang perlu disambung dari generasi ke generasi, minat mendalami ilmu itu berkembang secara perlahan-lahan. Ketika sekolah rendah, beliau mula berjinak-jinak mempelajari cara membaca al-Quran secara berlagu.

Kebetulan, apabila berjaya masuk ke Maktab Mahmud, Alor Star, beliau bertemu semula dengan pelajar senior, Shahrul Nizam Tajudin yang pernah membimbingnya mendalami ilmu al-Quran dan sempat berguru selama dua tahun sebelum guru tidak rasminya itu menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar Mesir.

Selepas itu, Mohd Fakhrul mendalami al-Quran dengan guru al-Quran, Kassim Ahmad yang terus memberi tunjuk ajar hingga kini. Walaupun sibuk dengan kuliah, beliau masih meluangkan hujung minggunya untuk menemui Kassim bagi mempertajamkan kemahiran membaca al-Quran secara berlagu dengan betul.

Katanya, keistimewaan mereka yang mendalami ilmu al-Quran ialah selain dapat mengalunkan ayat suci itu dengan merdu, ia juga dapat mendekatkan seseorang itu kepada Penciptanya melalui pemahaman isi kandungan wahyu Allah yang kaya dengan bimbingan serta panduan.

"Itulah kelebihan dimiliki mereka yang terbabit dalam bidang al-Quran dan memahami maksud ayat di baca. Ramai orang boleh baca al-Quran tetapi ada yang tidak faham. Oleh itu, siapa yang dapat baca dan faham, kelebihan untuk mereka.

"Mendekatkan diri dengan al-Quran juga dapat membantu kita membentuk keperibadian dengan akhlak mulia kerana untuk mahir, banyak pantang larang perlu diikuti. Jadi, secara tidak langsung kita akan terdorong melakukan hanya yang baik saja," katanya.

Contohnya, mereka yang membawa al-Quran dari segi pemakanan perlu mengelak daripada memakan makanan syubahat iaitu yang diragui bagi memastikan kebersihan hati. Hakikatnya, kewajipan itu bukan kepada mereka yang mempelajari ilmu al-Quran kerana umat Islam memang disuruh makan hanya makanan yang halal dan bersih.

Beliau berkata, ilmu al-Quran mempunyai bidang yang luas daripada asas membaca al-Quran, membaca dengan cara berlagu, ilmu tafsir yang membolehkan memahami maksud ayat hingga kepada sejarah penurunan ayat serta penulisan al-Quran. Semua bidang itu boleh diterokai dengan meluas.

Mohd Fakhrul berkata, usaha mendekatkan masyarakat terutama remaja kepada ilmu itu perlu dipertingkatkan dengan memperbanyakkan program yang boleh menarik minat remaja seperti program realiti AQ.

Katanya, ramai remaja di luar sana yang berhajat memantapkan diri dalam ilmu al-Quran dan minat itu seharusnya dipandu ke arah yang boleh mendatangkan manfaat supaya semahuan serta kebolehan tidak dipersiakan begitu saja.

Berdasarkan maklumat katanya, mereka yang menghadiri uji bakat untuk program AQ bukan semua datang daripada latar belakang bidang agama, malah mat rempit turut mencuba nasib kerana minat serta pengetahuan asas sudah ada, hanya mencari tempat untuk memantapkan ilmu di dada.

"Perlu ada lebih banyak program yang boleh mendorong remaja mendekatkan diri dengan al-Quran. Dulu jika kata al-Quran hanya orang tua saja tetapi kini orang muda mula menguasai bidang ini. Sudah tiba masanya al-Quran terus dimartabatkan melalui pelbagai cara termasuk pengajuran program realiti seperti AQ," katanya.

Selain boleh membaca al-Quran dengan baik, Mohd Fakhrul yang bercita-cita menjadi pendidik dan pendakwah adalah ahli kumpulan nasyid Zulfan yang ditubuhkan bersama rakan di universiti dan bergerak aktif di Kedah.

Menurutnya, pembabitan dalam bidang nasyid adalah sekadar memenuhi minat selain menjadi cabang dakwah yang difikirkan dapat membantu menyebarkan syiar Islam melalui lagu berunsur dakwah yang mengajak pendengar ke arah kebaikan.

PROFIL

Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin

Tarikh lahir: 6 April 1986
Tempat lahir: Alor Star, Kedah
Status: Pelajar pengajian Usuluddin, Kolej Universiti Insaniah, Kedah

No comments: