Bersama Prof Dr Sidek Baba
MAKSUD budaya dalam pengertian mudah ialah gabungan budi dan daya. Budi adalah sesuatu yang murni dan baik terpancar daripada hati, sementara rasa adalah upaya diri menterjemahkan nilai murni dalam kehidupan.
Apabila percakapan seseorang santun dan sopan, ia dikatakan selari dengan budi. Apabila amalan dan perbuatan seseorang berasaskan amanah, jujur dan adil, ia adalah pancaran daya yang tinggi.
Fahaman sesetengah orang mengenai budaya hanya dikaitkan dengan seni dan hiburan sebagai sebahagian aspek budaya tetapi maksud budaya adalah lebih luas. Budaya menggambarkan cara hidup sesuatu bangsa yang berbeza dalam masyarakat berbilang. Yang perlu disuburkan ialah nilai budaya tinggi yang mengangkat martabat kemanusiaan hingga tahap tamadun.
Kini kita menghadapi pengaruh budaya popular Barat. Ia tidak saja terpancar daripada asas berbeza tetapi banyak bercanggah dengan budaya santun pernah wujud dalam masyarakat yang mengutamakan nilai dan etika baik.
Budaya santun bermaksud bagaimana pancaran seni tinggi memberi makna hebat terhadap kehidupan. Genre pantun, seloka, gurindam, bayt, nazam dan qittah umpamanya adalah seni puisi yang memancarkan kata santun, enak di dengar dan memberi kesan kepada jiwa serta emosi kerana terkandung mesej tersendiri.
Ada salah faham terhadap maksud budaya Barat di kalangan generasi muda Islam. Jika budaya itu diibaratkan suatu cara hidup, aspek positif dari Barat seperti kecintaan kepada ilmu dan kaji-selidik, kegemaran membaca, berfikir dan berbincang, tradisi mengutamakan cara hidup demokratis tidak dijadikan pedoman terbaik.
Sebaliknya, lagu yang tidak keruan, muzik hilang arah, pakaian kehilangan identiti, filem yang merangsang keganasan dan kelucahan dijadikan sumber ikutan serta kebanggaan hingga menyebabkan generasi muda hilang cinta kepada diri sendiri dan akhirnya lahir rasa ketagih terhadap seni popular yang merangsang nafsu-nafsi.
Pemahaman terhadap maksud budaya harus jelas dan sifatnya menyumbang kepada proses pembudayaan yang mendukung nilai tinggi dan beradab. Dalam tradisi Islam, proses pembudayaan bermula dengan pemerkasaan akidah sebagai asas membina sistem kepercayaan.
Ia dikembangkan dengan pengukuhan ibadah yang tidak saja memberi fokus kepada keteguhan nilai rohaniah tetapi terpancar dalam amal dan perbuatan. Amal perbuatan dipandu aturan dan batasan supaya tidak bercanggah dengan keperluan serta kepentingan syarak.
Pancaran aqidah yang tinggi mempertautkan keimanan manusia dengan Pencipta menghasilkan rasa kehambaan dan kekhalifahan tinggi. Ia perlu menjadi sandaran dalam melakukan aktiviti kehidupan yang memberikan batasan benar dan salah, makruf dan mungkar.
Puncak daripadanya lahir akhlak dan peribadi insan mendukung nilai adab yang akhirnya mampu mendukung lahirnya sebuah tamadun. Inilah asas terhadap proses pembudayaan dalam Islam.
Dalam situasi masyarakat berbilang, banyak asas budaya yang terpancar daripada tamadun mereka yang boleh disaring, diadaptasi dan pengharmonian supaya nilai tinggi daripada tamadun yang pelbagai mampu diolah dengan bijaksana, kreatif supaya dapat dicetuskan acuan budaya membimbing ke arah persefahaman serta kasih sayang.
Seni bunyi dan silat umpamanya boleh dikembangkan secara bersepadu supaya wujud seni memancarkan masyarakat Malaysia yang berbilang. Daripadanya wujud pengertian baik terhadap persamaan dan perbezaan. Persamaan dan perbezaan dapat diterima dengan baik jika wujud keramahan dan harmoni dalam memberikan apresiasi serta penghargaan terhadap seni tinggi sesuatu bangsa.
Oleh kerana budaya itu membawa maksud kehidupan atau cara hidup, penting proses pembudayaan di Malaysia dibangunkan secara murni dan sihat. Nilai murni yang disemai dalam sistem pendidikan seharusnya lebih kreatif untuk membentuk daya fikir dan apresiasi kerana tanpa nilai murni pelajar akan disemai dengan fahaman individu, kebendaan dan nafsu-nafsi yang akhirnya membuka jurang pemisah antara kaum dalam batas sosioekonomi sempit.
Proses pembudayaan dalam masyarakat Islam harus menjadikan nilai al-Quran sebagai teras yang sifatnya terbuka untuk menerima unsur budaya lain sesuai dengan fitrah insani. Bagi masyarakat bukan Islam, harus wujud kecenderungan memperkasa unsur budaya positif dan sihat berasaskan nilai murni supaya jalan fitrah yang menghubungkan kelainan dan perasaan dapat disambung.
Tuesday, June 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment