Thursday, June 19, 2008

Hak Muslim: Penama caruman KWSP bukan penerima wasiat

SUAMI saya meninggal dunia setahun lalu akibat barah usus. Suami meninggalkan harta yang kini dalam proses untuk mendapatkan surat faraid dan pentadbiran harta dari Mahkamah Tinggi. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) arwah suami dikeluarkan tanpa menunggu surat pentadbiran harta dari mahkamah. Wang itu dibolot bapa mentua kerana mengikutnya arwah suami menamakan beliau sebagai penama untuk caruman KWSP. Beliau berkata saya dan anak tidak berhak langsung ke atas simpanan itu dan ia adalah wasiat daripada arwah suami.

Ibu Tunggal
Kuala Lumpur

HUKUM mengenai harta pusaka mempunyai hikmahnya tersendiri iaitu antaranya mewujudkan kasih sayang, menanam semangat kemesraan, tolong menolong dan bertimbang rasa antara ahli waris.

Harta pusaka dibahagikan mengikut susunan yang diatur mengikut susun galur dinyatakan dengan terperinci dalam al-Quran. Nas al-Quran berhubung pengagihan harta pusaka amat jelas dan dibuat secara terperinci. Nas ini tidak memerlukan penafsiran lain, melainkan apa yang dinyatakan secara tersurat dan jelas.

Pemberian harta pusaka kepada waris yang berhak menerimanya bertujuan menghapuskan rasa kekecewaan serta penindasan di kalangan ahli waris. Perasaan kasih sayang dan timbang rasa dapat diukur dan dihasilkan dengan cara ini.

Hal ini kerana perlakuan hidup manusia kadang-kadang tidak selari dengan kehendak atau tuntutan syarak, terutama dalam perkara membabitkan harta benda, wang ringgit atau kedudukan.

Perpindahan harta pusaka ke tangan waris kadang-kadang dilakukan secara bertentangan dengan hukum syarak atas tujuan tertentu. Sebenarnya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu. Ia juga boleh berlaku akibat kejahilan seseorang atau sifat tamak ingin memonopoli harta pusaka itu.

Memang benar wasiat adalah antara perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu sebelum pengagihan harta pusaka dibuat. Begitu pun, bapa mentua puan tidak boleh menerima wasiat daripada anaknya kerana beliau adalah ahli waris yang berhak menerima pusaka.

Dalam Islam, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka dan kadar wasiat juga hendaklah tidak melebihi 1/3 daripada jumlah keseluruhan harta si mati. Ada beberapa syarat lain yang perlu dipenuhi sebelum dapat dikatakan wasiat itu adalah sah di sisi hukum syarak.

Jika penamaan dibuat, KWSP memang berhak mengeluarkan wang simpanan itu kepada penama. Oleh itu, bukan menjadi kesalahan kepada KWSP mengeluarkan wang caruman itu kepada bapa mentua puan, melainkan puan terlebih dulu mendapat perintah mahkamah menghalang KWSP mengeluarkan caruman itu atau menghalang bapa mentua daripada mengambil wang itu.

Penamaan akaun caruman KWSP tidak boleh disifatkan sebagai wasiat. Hal ini kerana ia tidak memenuhi beberapa syarat wasiat seperti lafaz wasiat, kesaksian, kadar yang dibolehkan harta diwasiatkan, kepada siapa dinamakan dan ketiadaan milikan sempurna atas simpanan itu.

Bagi orang Islam, penamaan akaun caruman KWSP hanya bagi membenarkan KWSP mengeluarkan wang itu kepada penama untuk diagihkan kepada waris yang berhak. Pengeluaran wang dengan cara ini tidak mengambil masa lama di mana waris tidak perlu menunggu sijil faraid dan surat pentadbiran harta pusaka dikeluarkan. Penama bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengagihkan wang itu mengikut hukum faraid.

Sebenarnya, ketika wang simpanan itu dikeluarkan, penama berkenaan dikehendaki menandatangani surat aku janji bahawa beliau akan mengagihkan wang simpanan itu mengikut faraid. Kegagalan mematuhi aku janji itu memberi kesan kepada penama dari sudut undang-undang. Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penama itu.

Penama bukan menjadi pemilik wang simpanan itu. Penama sebenarnya diamanahkan oleh orang yang menamakannya untuk mentadbir harta berkenaan supaya ia dapat diagihkan mengikut hukum faraid dengan segera.

Oleh demikian, puan boleh menuntut wang simpanan itu daripada mentua bagi kepentingan puan dan anak.

Begitu pun, puan dinasihatkan supaya cuba berunding dengan keluarga arwah suami terlebih dulu sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang. Hal ini kerana tindakan itu mungkin mengeruhkan perhubungan puan dan anak dengan keluarga arwah suami.

Puan perlu akui hakikat bahawa anak masih mempunyai pertalian darah dengan keluarga arwah suami. Pertalian ini sama sekali tidak boleh diputuskan oleh sesiapa pun. Mungkin juga bapa mentua tidak faham konsep penamaan dalam caruman KWSP dan menyangka bahawa ia menjadi miliknya.

Puan bolehlah menjelaskan kepada beliau secara baik kedudukan undang-undang sebenarnya. Jika perlu, puan boleh meminta beliau merujuk kepada orang yang lebih tahu mengenai perkara itu seperti peguam dan pegawai KWSP.

Jalan penyelesaian secara perundingan adalah paling sesuai dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Jika boleh janganlah diputuskan hubungan kekeluargaan itu walaupun selepas ketiadaan suami puan.

Puan perlu bijak menangani isu ini, terutama apabila ia membabitkan wang ringgit dan pertalian persaudaraan. Bertolak ansur dan saling faham memahami antara satu sama lain penting bagi menyelesaikan permasalahan sebegini.

Jika segala usaha perundingan buntu, barulah puan mengambil tindakan undang-undang. Jika mengambil jalan ini, puan perlu bersedia mengharungi liku-liku hidup selepas itu termasuk berulang-alik ke mahkamah dalam mempertahankan hak puan dan anak.

Walaupun sudah mengambil tindakan ini, harus ingat dalam keadaan mana keluarga arwah suami melayan puan, mereka tetap mempunyai pertalian kekeluargaan dengan anak puan. Janganlah diputuskan hubungan ini. Insya-Allah, Allah akan memberkati kehidupan puan dan anak.

Jawapan disediakan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar

No comments: