Friday, June 20, 2008

Bicara kalbu: Pasangan ‘kahwin lari’ mesti daftar semula

SAYA sudah beristeri, namun jatuh cinta buat kali kedua. Keinginan untuk ‘kahwin lari’ semakin kuat kerana tidak mendapat restu isteri pertama. Apakah pandangan puan mengenai isu kahwin lari? Bagaimana pula hak isteri dan anak daripada pernikahan ini?

Suami Teringin,

Johor.

Secara umumnya kahwin sorok-sorok atau lari tidak boleh dilihat secara terpisah daripada isu lain. Ia hanyalah sebahagian daripada gejala penyakit sosial yang membarah dalam masyarakat pada hari ini.

Menurut Islam, institusi keluarga mesti dibina atas tapak akidah kukuh, disusun mengikut acuan syariah yang lengkap dan dihias akhlak Islam yang unggul dan murni.

Oleh itu, dari sudut moral dan tanggapan masyarakat kahwin sorok-sorok dan kahwin lari menjatuhkan maruah diri dan keluarga. Ia akan menjadi sejarah hitam, merosakkan nama, reputasi dan menjadi sebutan hingga ke anak cucu. Sebaiknya, elakkan daripada melakukannya.

Apabila terjadi perkahwinan yang sah, sama ada secara sembunyi atau terang-terang, hak dan tanggungjawab tidak boleh dielakkan. Jika ditakdirkan mendapat anak, maka haknya sama dengan anak isteri pertama dalam serba serbinya.

Bagi pernikahan sorok-sorok, mesti disabitkan sah oleh Mahkamah Syariah (didaftarkan semula menurut proses biasa dengan membayar denda).

Isteri bagi pasangan yang berkahwin lari atau sembunyi mempunyai hak yang sama dengan isteri pertama. Ada lapan hak isteri mesti ditunaikan dalam tempoh perkahwinan iaitu:

l Mahar. Firman Allah yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 4)

Ketika Khalifah Umar menganjurkan adanya had mas kahwin, ada seorang wanita tua yang menyanggah. Dan Umar bersetuju dengan pendapat wanita itu, dengan berkata: “Wanita itulah yang benar, Umar yang salah.”

Seksyen 21 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.

Seksyen 57 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:

Tiada apa juga yang terkandung dalam akta ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah hukum syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

l Nafkah. Firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah orang yang mampu memberikan nafkah mengikut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran.” (Surah at-Talak, ayat 7)

Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan:

(1) Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya

(2) Tertakluk kepada hukum syarak dan pengesahan mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut hukum syarak.

l Perhubungan suami isteri. Firman Allah yang bermaksud: “Isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang disukai dan sediakanlah amal yang baik untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya pada hari akhirat kelak. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah, ayat 223)

l Perlindungan daripada gangguan/penderaan. Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah membubarkan perkahwinan atas satu atau lebih alasan berikut, bahawa suami menganiayainya, lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan kelakuan aniaya, berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak atau cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

Seksyen 107 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Mahkamah berkuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya dari mengganggu atau menceroboh dengan apa carapun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.

l Keadilan. Seksyen 128 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan: Seseorang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut hukum syarak adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

l Membubarkan perkahwinan. Seseorang wanita berhak memohon perceraian dalam beberapa keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak dan diperuntukkan oleh Undang-Undang Keluarga Islam iaitu perceraian dengan talak atau dengan perintah, khuluk atau tebus talak, taklik atau janji, fasakh dan lian.

l Memiliki harta.

l Layanan baik dan bimbingan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berpesanlah kamu terhadap berbuat baik kepada perempuan, kerana sesungguhnya perempuan ini dijadikan dari tulang rusuk yang bengkok. Sekiranya engkau cuba membetulkannya, ia akan patah, sekiranya engkau membiarkannya, dia akan terus bengkok.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jawapan disediakan peguam cara dan peguam bela, Sazira Abdul Aziz, AJK Wanita JIM Muar. Persoalan lalu boleh dilayari di www.bicarakalbu.blog spot.com.

No comments: