Oleh Masmawi Abdullah
IMAM al-Ghazali berkata, agama Islam itu ada dua bahagian iaitu pertama meninggalkan maksiat, maksudnya tidak melakukan perkara dilarang Allah dan Rasul-Nya. Kedua, taat iaitu mengerjakan suruhan Allah dan Rasul-Nya.
Oleh itu, jika seorang dapat memenuhi dua tuntutan berkenaan maka ia sudah mematuhi tuntutan agama Islam. Dengan ini ia sudah menempah kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Allah berfirman yang bermaksud: “Ingatlah! Sesungguhnya wali Allah itu tiada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) bagi mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita. (Wali Allah itu ialah) orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Bagi mereka berita gembira di dunia dan akhirat, tiada ada (sebarang perubahan bagi janji Allah). Demikian itulah kejayaan yang besar.” (Surah Yunus, ayat 62, 63 dan 64)
Dalam melakukan maksiat kepada Allah atau mengerjakan perkara dilarang seperti berzina, mencuri, seseorang itu mungkin tidak menyedari bahawa dia menggunakan anggota pemberian Allah. Apakah wajar kita menerima pemberian Allah, tetapi menggunakan pemberian itu untuk menderhakai-Nya?
Imam al-Ghazali pernah berkata: “Ketahuilah, bahawa engkau menderhakai Allah dengan anggota engkau sedangkan ia nikmat pemberian Allah kepada engkau dan amanah-Nya (simpanan) di sisi engkau, maka engkau meminta tolong (menggunakan) nikmat Allah untuk melakukan maksiat kepada Allah adalah sangat kufur nikmat Allah.”
Allah jadikan mata untuk kita melihat kejadian di muka bumi dan di langit sebagai dalil kekuasaan Allah. Oleh itu, hendaklah kita menjaga dan mengawal mata supaya tidak melihat perkara yang dilarang Allah.
Telinga pula, Allah jadikan untuk mendengar perkara yang baik seperti bacaan al-Quran, ceramah agama serta seruan mengajak kepada kebaikan. Dilarang kita menggunakan telinga mendengar perkara tidak baik dan boleh mendatangkan kerosakan.
Sementara itu, hikmat Allah jadikan lidah supaya dapat kita menyebut nama Allah, membaca al-Quran, dapat memberi ilmu pengetahuan, memberi nasihat, menyuruh berbuat kebaikan serta melarang berbuat perkara mungkar.
Perut pula hendaklah kita memelihara daripada memakan makanan yang haram, makanan subahat (tidak jelas haram halalnya). Sementara dua tangan, hendaklah menjaganya supaya tidak melakukan perkara dilarang seperti mengambil sesuatu kepunyaan orang secara tidak sah atau menulis berita tidak benar.
Sentiasalah ingat firman Allah yang bermaksud: “Pada hari yang Kami tutupkan mulut mereka, sedang tangan mereka bercakap kepada Kami dan naik saksi kaki mereka dengan semua maksiat yang mereka lakukan semasa hidup di dunia dulu (hari itu ialah hari kiamat).” (Surah Yasin, ayat 62)
Monday, June 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment