BANTU YANG MISKIN: Sesungguhnya harta benda itu indah dan manis, sebaik-baik pemiliknya memberi bahagian kepada orang miskin, anak yatim dan orang musafir.
Harta sepatutnya dibelanja untuk kebajikan bukan membazir ikut hawa nafsu
MANUSIA kini diancam pelbagai malapetaka seperti krisis makanan, gempa bumi, ribut taufan, tanah runtuh, banjir dan beberapa tahun lalu dikejutkan dengan tsunami yang mengorbankan banyak jiwa, harta benda serta kemusnahan alam sekitar.
Umat Islam sewajarnya menekankan gaya hidup iman dan takwa untuk menghadapi perubahan serta ujian ini selain berpegang kepada ajaran Islam.
Tidak dinafikan di tengah-tengah kekusutan pengaruh Barat yang sedang menuju kehancuran, panduan daripada al-Quran dan hadis berkaitan gaya hidup serta cara membina tamadun kian mendapat tempat di hati umat Islam hari ini.
Ada pun gaya hidup Rasulullah SAW yang diikuti semua sahabat berlanjutan hingga beberapa zaman selepasnya, adalah gaya dan cara hidup paling sesuai bagi masyarakat manusia untuk mendapat hidayah Allah serta menjamin keberkatan.
Malah, gaya hidup bersederhana dan tidak membazir jika dipilih rakyat pasti menjadi strategi yang berkesan untuk mengatasi segala cabaran mendatang. Begitu juga dalam situasi hari ini apabila kos hidup terus meningkat.
Selain memudahkan pengurusan harian, gaya hidup mengikut aturan syariat dan sunnah membantu umat Islam menyelamatkan diri daripada melakukan perkara ditegah agama sebaliknya meningkatkan keimanan kepada Allah.
Gaya hidup suka bermewah banyak dirakamkan dalam al-Quran tetapi natijahnya menyebabkan golongan itu menerima padah di atas sikap suka bermewah itu. Golongan yang menikmati gaya hidup mewah tanpa dikawal iman dan takwa menjerumuskan diri kepada kebinasaan.
Gaya hidup mewah ditakrifkan dengan suatu bentuk kehidupan yang melampaui batas dalam berbelanja atau melayani kehendak nafsu.
Rasulullah SAW diberi pilihan sama ada untuk menjadi rasul dan raja atau rasul lagi hamba. Baginda SAW memilih rasul lagi hamba supaya hidupnya normal, sekali sekala senang dan sekali sekala susah.
Kemewahan hidup pernah ditawar kepada Baginda SAW namun Baginda lebih suka memilih hidup miskin dan sabdanya yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, biarkan aku lapar pada suatu hari, dengan itu aku mengingatimu. Biarkan aku kenyang pada suatu hari, maka aku bersyukur pada nikmat kurniaan-Mu." (Hadis riwayat Muttafaqa 'Alaih)
Golongan mewah berasa lebih tinggi daripada orang lain kerana banyak harta yang dimiliki. Hidup sentiasa memburu kebendaan, mengejar dunia dengan rakus yang tiada penghujungnya walaupun terpaksa menggadai maruah dan memperjudikan iman serta hukum Allah.
Firman Allah yang bermaksud: "Kecelakaan besar bagi setiap pencaci dan pengeji yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya, ia menyangka hartanya itu dapat mengekalkannya dalam dunia ini, tidak, sesungguhnya ia akan dicampakkan ke dalam neraka Hutamah." (Surah al-Humazah, ayat 1-5)
Golongan yang bergaya hidup mewah selalunya mempersendakan nikmat Allah yang dikurniakan kepada mereka, terpedaya dengan harta yang ada, apabila berbelanja mereka boros dan tidak menunjukkan rasa syukur.
Firman Allah yang bermaksud: "Puak kiri, alangkah seksanya puak kiri itu, mereka diseksa dalam angin yang membakar dan air yang yang menggelegak, yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan, sesungguhnya mereka sebelum ini dilalaikan oleh kemewahan." (Surah al-Waqiah, ayat 41-45)
Baginda Rasulullah SAW sangat bimbang umatnya terjerumus ke lembah kemewahan, nanti mereka akan meruntuhkan agama untuk membangunkan projek yang mementingkan kemewahan didorong nafsu gelojoh.
Diriwayatkan pada suatu hari, Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, kami duduk sekitarnya lalu sabda Baginda yang bermaksud : "Sesungguhnya aku bimbang selepas peninggalanku nanti, keindahan dan kemewahan dunia yang dibuka Allah kepada kamu. Seorang sahabat bertanya, Ya Rasulullah, apakah kebaikan itu akan mendatangkan bahaya. Nabi SAW diam. Maka orang ramai menyalahkan orang itu, mengapa anda bertanya sehingga Nabi SAW terdiam dan tidak suka berbicara lagi dengan anda.
Tiba-tiba Nabi diturunkan wahyu, lalu mengesat peluh dari dahinya dan bertanya: "Di mana orang yang bertanya itu? Seolah-olah Nabi membenarkan pertanyaannya. Lalu Nabi bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya kebaikan tidak akan mendatangkan bahaya, tetapi tumbuhan-tumbuhan yang tumbuh di musim buah itu ada juga yang membunuh atau hampir membunuh (orang memakannya), kecuali yang sederhana memakannya. Jika sudah makan dan merasa kenyang, memanjang pinggangnya dan menadah perutnya kepada matahari, kencing dan buang air, kemudian makan lagi." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya harta benda itu indah dan manis, sebaik-baik pemiliknya seorang Muslim selama ia memberi bahagian kepada orang miskin, anak yatim dan orang musafir. Sesungguhnya sesiapa yang memperoleh dunia bukan daripada haknya, bagaikan orang makan tidak pernah kenyang, bahkan harta kekayaan itu kelak akan menjadi saksi yang memberatkannya pada hari kiamat." (Kitab al-Lu'lu' Wal Mirjan, hadis 625).
Hadis ini mengajar kita bijak berbelanja harta pada tempat yang mendatangkan faedah kerana harta adalah asas kebaikan atau kejahatan yang menjamin hidup manusia dan melindungi kehormatan diri serta keluarganya.
Insan yang berbelanja hartanya pada jalan mulia dan betul tidak akan dikeji atau dihina malahan usahanya dalam perbelanjaan itu tetap dianggap suatu jihad serta ibadat yang besar pahalanya.
Orang yang arif dan bijaksana mengambil gaya hidup di dunia ini hanya sekadar saja sementara yang tamak haloba seakan mahu mengambil semua ini menjadi miliknya.
No comments:
Post a Comment