Oleh Aminudin Mansor
PENDIDIKAN adalah proses dan aktiviti bertujuan menghasilkan perubahan dikehendaki di dalam diri seseorang. Pendapat ini lebih menitikberatkan seperti apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh untuk melahirkan insan seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha itu juga memastikan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian, kemakmuran masyarakat dan negara.
Ada banyak dalil al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa Islam menggalakkan penganutnya menuntut ilmu dan mementingkan pendidikan.
Firman Allah yang bermaksud: "Allah akan meninggikan martabat orang yang beriman dan berilmu beberapa darjat." (Surah al-Mujadalah, ayat 11)
Keperibadian orang Islam adalah sesuatu yang ditanam ke dalam dirinya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Anak itu dilahirkan seumpama sehelai kain putih. Kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Ini bermaksud pembentukan keperibadian serta pendidikan seseorang Islam itu penting dan terletak di atas tanggungjawab kedua ibu bapanya. Ibu bapa yang sedar tanggungjawab ini akan berusaha menanam keperibadian Islam di jiwa anak mereka.
Tokoh Islam terkemuka, Al-Ghazali, yang juga ahli falsafah mahir dalam bidang teologi, logik, undang-undang, sains dan doktrin sufi berpendapat pendidikan adalah suatu cara dan proses mendapatkan ilmu pengetahuan dan tingkah laku juga dipelajari melalui proses pembelajaran.
Menurut Al-Ghazali, matlamat pendidikan unggul ialah keselarasan dengan objektif kejadian manusia atau penguasaan ilmu mengenai Allah bertujuan mendekatkan manusia dengan Pencipta. Semua itu dapat dilakukan melalui pendidikan.
Di samping itu, tujuan menuntut ilmu pengetahuan ialah untuk mendapatkan kefahaman mengenai sesuatu serta faedahnya supaya dapat diarah kepada perkara yang memberi kebaikan untuk manusia.
Pendidikan juga dapat menanamkan perangai baik kepada kanak-kanak supaya dapat menilai antara perkara benar dan salah, baik dan buruk serta membezakan perilaku baik dengan yang jahat.
Dalam tulisan lain pula, Al-Ghazali beranggapan tujuan mencari ilmu adalah sebagai pengembaraan melengkapkan diri bagi kehidupan akan datang dan bukan bertujuan mendapatkan kuasa, pengaruh atau kemewahan.
Demikianlah matlamat pendidikan menurut pendapat Al-Ghazali yang memperoleh bukti daripada al-Quran dan hadis.
Muhammad Qutb berpendapat, pendidikan adalah proses membina manusia yang menyeluruh. Ia adalah satu skim pembinaan menyeluruh bahagian manusia seperti jasad, intelek, roh, kehidupan kebendaan dan kerohanian.
Bagi Dr Mohd Athiyah al-Abrasyi pula, pendidikan ialah proses pembentukan akhlak dan budi pekerti bagi menghasilkan insan bermoral, mempunyai jiwa bersih, niat kuat, cita-cita benar, akhlak tinggi dan tahu tanggungjawabnya.
Tujuan pendidikan moral ialah untuk membentuk individu bersopan dalam bicara dan perbuatan, mulia dalam tingkah laku dan perangai, bersifat bijaksana, sempurna, ikhlas, jujur dan suci.
Amar al-Shaibani berpendapat, pendidikan ialah persiapan untuk kehidupan dunia dan akhirat. Bagi agama Islam, pendidikan menggabungkan akidah dan syariah, jasmani dan rohani, dunia dan akhirat.
Hassan Langgulung pula memberikan beberapa tujuan pendidikan antaranya, menimbulkan keinsafan pada pelajar berkenaan agama dan segala yang terkandung dalamnya seperti prinsip akhlak yang mulia.
Pendidikan juga menanamkan rasa rela, kepercayaan diri, memikul tanggungjawab, menghormati tugas, kerjasama, menginginkan kebaikan bagi orang lain, kesabaran, berjuang untuk kebaikan, berpegang teguh pada prinsip, suka berkorban, membela agama dan tanah air.
Tokoh Islam dari Indonesia, Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) berpendapat pendidikan ialah proses yang memupuk budi pekerti mulia, tabiat baik serta sikap berani, merendahkan diri, sabar serta menghormati orang tua.
Pendidikan, menurut perspektif Islam, menekankan pada tindak balas yang sesuai terhadap pelbagai situasi dalam kehidupan. Ciri seperti itu membenarkan penggunaan perintah Islam untuk meneruskan usaha ke arah pembangunan negara.
Thursday, June 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment