Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
ISU berkaitan penggunaan ayat al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit sudah lama kita dengar. Kini, penggunaannya terus berleluasa tanpa sebarang kekangan sehinggakan perkara itu mengundang pertanyaan sama ada harus dibiarkan tanpa sebarang sekatan.
Ada lambakan muat turun ayat al-Quran dari kedai telefon bimbit juga kebanyakan diuruskan bukan Islam tanpa mengetahui maksud ayat itu.
Baru-baru ini, pelbagai pihak khususnya Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mengeluarkan fatwa berhubung penggunaan ayat al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit kerana dikhuatiri akan mengubah maksud keseluruhan ayat suci itu, sekali gus menjadikannya tidak lengkap atau tergantung selepas panggilan telefon dijawab.
Gesaan supaya dikeluarkan fatwa bagi mengelakkan kesucian ayat al-Quran tercemar. Selain itu, kesucian ayat al-Quran harus dipelihara dan dihormati serta sebarang penggunaannya harus bersesuaian dengan tempatnya.
Kita bimbang jika penggunaan ayat al-Quran sebagai nada dering dibiarkan berleluasa, orang ramai akan menyalahgunakannya hingga menyebabkan kesucian ayat tercemar. Contohnya, apabila seseorang berada dalam tandas dan telefon berbunyi dengan nada dering ayat suci al-Quran.
Di samping itu, dibimbangi ayat suci al-Quran tidak lengkap maksudnya selepas panggilan telefon dijawab tanpa menunggu ayat habis. Ini akan menyebabkan maksud yang berlainan daripada asalnya.
Oleh itu, tidak hairanlah mengapa baru-baru ini Majlis Mufti Arab Saudi mengharamkan penggunaan ayat suci al-Quran sebagai nada dering telefon bimbit.
Mereka khuatir penggunaan ayat al-Quran sebagai nada dering akan mengubah maksud keseluruhan ayat.
Sebagai umat Islam, kita harus mengakui al-Quran adalah petunjuk kepada kaum Muslimin, khususnya dan umat manusia umumnya. Allah berfirman bermaksud: "Kitab itu (al-Quran) tidak ada keraguan di dalamnya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa."
Al-Quran juga adalah kalam Allah yang wajar dipelihara kesuciannya. Sebarang tindakan mencemar kesucian al-Quran dan mempersendakan ayatnya adalah berdosa serta menjadi satu kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam di Malaysia.
Seksyen 9 (mempersendakan, ayat al-Quran dan Hadis) Enakmen Jenayah Syariah Selangor, 1995 memperuntukkan: "Mana-mana orang yang dengan kata-katanya atau perbuatannya, mempersendakan, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat al-Quran atau hadis adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali."
Peruntukan itu dengan jelas menyatakan barang siapa mempersendakan ayat al-Quran adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan. Peruntukan ini dibuat bagi mengekang sebarang tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mencemar kesucian ayat suci Al-Quran sekali gus mencemar kesucian agama Islam itu sendiri.
Sewajarnya umat Islam harus peka terhadap isu begini bagi mengelakkan kesucian agama Islam dicalar orang tidak bertanggungjawab semata-mata mementingkan keuntungan tanpa memikirkan implikasi terhadap agama Islam itu sendiri.
Sehubungan itu, saranan dan gesaan PPIM supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung perkara itu diberi perhatian segera demi kemaslahatan umat Islam ada asasnya.
Tindakan Majlis Mufti Arab Saudi mengeluarkan fatwa berserta alasan demi menjaga kesucian agama Islam juga bertujuan memelihara kesejahteraan umatnya.
Perbuatan mempersendakan ayat al-Quran boleh dikekang menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada yang memberi ruang kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan.
Namun, beberapa perkara harus diteliti sebelum sebarang tindakan boleh diambil bagi memastikan tindakan itu selaras dengan undang-undang.
FAKTA: Keburukan ayat al-Quran jadi nada dering telefon bimbit
Dikhuatiri mengubah maksud keseluruhan ayat suci itu, sekali gus menjadikannya tidak lengkap atau tergantung selepas panggilan telefon dijawab.
Dikhuatiri ada pihak menyalahgunakannya hingga menyebabkan kesucian ayat tercemar. Contohnya, apabila seseorang berada dalam tandas dan telefon berbunyi dengan nada dering ayat suci al-Quran.
Muat turun ayat al-Quran diuruskan bukan Islam tanpa mengetahui maksud ayat.
Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment