Wednesday, June 18, 2008

Peguam Syarie Menulis: Ke arah memartabat profesion peguam syarie

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
excopgsm@yahoo.com

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Konvensyen Peguam Syarie, pada 14 Jun menyatakan usaha ke arah mewujudkan Akta Guaman Syarie sedang dijalankan dan dijangka draf rang undang-undang berkaitan akan dibentangkan, di Dewan Rakyat, Ogos ini.

Beliau turut menambah dengan adanya akta itu, Majlis Peguam Syarie akan dibentuk yang bertanggungjawab mentadbir dan mengawal selia profesion guaman syarie di negara ini.

Dengan adanya majlis itu, masalah Peguam Syarie seperti urusan penerimaan masuk sebagai peguam, kaedah dan urusan disiplin serta etika Peguam Syarie dapat dikawal selia.

Ucapan beliau sangat menarik dan ia adalah cita-cita seluruh peguam syarie yang ada di negara ini.

Kewujudan Akta Guaman Syarie serta Majlis Peguam Syarie secara tak langsung akan meninggikan kedudukan peguam syarie seperti mana rakan sejawat mereka di guaman sivil.

Konvensyen yang dianjurkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) buat julung kalinya boleh dianggap berjaya kerana mampu mengumpulkan lebih dari 700 orang peguam syarie dari seluruh negara termasuklah dari Sabah dan Sarawak.

Antara objektif program ini adalah membincangkan perkara berkaitan dengan peguam syarie termasuklah peranan, hala tuju dan cabaran yang dihadapi oleh kumpulan itu.

Dalam program itu, banyak tajuk dibentangkan dan ada beberapa isu diketengahkan. Antara yang menarik untuk dikupas adalah mengenai kedudukan peguam syarie berbanding Peguam Sivil.

Peguam sivil tertakluk kepada Akta Profesyen Guaman 1976. Dalam Seksyen 3 dan 11 menyatakan orang berkelayakan yang boleh diterima sebagai peguam bela dan peguam cara antaranya adalah lepasan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya, Universiti Malaya di Singapura, Universiti Singapura atau Universiti Kebangsaan Singapura; seorang barrister-at-law England; atau orang yang mempunyai apa-apa kelayakan lain seperti yang diisytiharkan oleh Lembaga melalui pemberitahuan dalam Warta, berumur 18 tahun ke atas, berkelakuan baik, tidak diisytiharkan bankrap dan lain-lain.

Ini menunjukkan Akta ini tidak mengiktiraf peguam syarie yang mendapat kelulusan Syariah dari mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk diterima sebagai peguam bela dan peguam cara. Ini memberi kesan sehingga kepada peguam syarie tidak boleh diterima sebagai rakan kongsi dan tidak dianggap peguam yang boleh diletak namanya di dalam kepala surat seperti firma guaman peguam sivil.

Perbezaan ketara ini menampakkan bagaimana secara langsung dan tidak langsung kedudukan peguam syarie yang tidak dianggap setara dengan rakan mereka peguam sivil.

Terdapat dua keadaan berbeza di mana peguam syarie yang bukan lepasan undang-undang tidak boleh beramal di Mahkamah Sivil tetapi peguam sivil yang mempunyai lesen peguam syarie, boleh pula beramal di Mahkamah Syariah.

Namun begitu, untuk mencadangkan supaya peguam sivil ditolak dan tidak boleh diterima sebagai peguam syarie bukanlah satu cadangan yang bijak.

Seharusnya semua peguam terbabit perlu bersatu hati, saling lengkap melengkapi dan bersepakat untuk mendesak perubahan demi memartabatkan profesion guaman syarie, bukan bertelingkah, bermusuh dan melihat antara keduanya sebagai lawan yang perlu ditentang.

Kita tidak boleh nafikan bahawa dewasa ini banyak berlaku kes-kes yang bersifat pertindihan Perlembagaan, membabitkan bidang kuasa Mahkamah Sivil tetapi membicarakan isu-isu Keislaman seperti isu perbankan Islam, permohonan murtad, ajaran sesat dan sebagainya.

Dengan kerjasama peguam syarie lepasan syariah dengan peguam sivil yang juga adalah peguam syarie, maka hasil perjuangan akan menjadi lebih baik. Bahkan masing-masing boleh saling belajar untuk meningkatkan diri melalui pengalaman dan keilmuan yang berbeza.

Kemungkinan boleh dicadangkan agar peruntukan Akta Guaman 1976 itu disemak kembali demi keadilan kedua-dua pihak.

Apatah lagi kita sememangnya Perlembagaan Persekutuan sendiri mengiktiraf kewujudan dua sistem undang-undang syariah dan sivil di Malaysia yang seharusnya pihak yang beramal dipandang setara kerana matlamat akhirnya adalah menyemarakkan institusi kepeguaman dan membawa keadilan kepada semua.

Prof Adjung Sulaiman Abdullah dalam ceramahnya menyentuh mengenai isu dalam kaedah dan peraturan peguam syarie negeri.

Namun begitu, masalah terkini yang dihadapi peguam syarie seperti tiadanya 'premium indemnity', kes peguam diterima di satu negeri tetapi ditolak di negeri yang lain kurang disentuh dengan terperinci.

Salleh Buang menyentuh mengenai pentingnya peguam syarie bersikap positif, mempunyai semangat untuk berjuang dan bersedia mengharungi cabaran di abad baru ini. Beliau menekankan peguam syarie perlu mempunyai etika kerja yang baik dan kukuh.

Ia sekali gus menguatkan tuntutan bagaimana etika itu dapat dipelihara dan yang terbabit dengan salah laku, tidak beretika dapat di bawa ke tengah jika tiada Majlis Peguam Syarie yang bersifat mengikat peguam syarie di bawahnya.

Justeru, kewujudan Akta Guaman Syarie sememangnya satu keperluan besar dan memberi kuasa pula kepada penubuhan sebuah Majlis Peguam Syarie.

Konvensyen ini sebenarnya sangat baik dan wajar diteruskan serta jadikan program tahunan sebagai tempat pertemuan dan perbincangan peguam syarie di seluruh negara.

Oleh itu, konvensyen pada hari berkenaan sangat padat dengan pembentangan yang banyak dan tiada ruang berbincang yang luas diberikan kepada peserta.

Adalah lebih baik, jika ceramah dikurangkan tetapi lebih memberi ruang kepada diskusi dan perbincangan dua hala dengan baik dan terbuka.

Seperkara lagi adalah konvensyen membincangkan hala tuju peguam sewajarnya difikirkan dan diketengahkan oleh peguam kerana ia membabitkan profesion dan masa depan mereka.

Mungkin untuk sesi tahun depan, adalah wajar program sebegini dijalankan oleh Persatuan Peguam dengan kerjasama Jabatan Kehakiman.

Oleh itu, peguam akan menjadi lebih berdikari dalam membincangkan permasalahan yang mereka hadapi dalam profesion mereka sendiri.

Usaha pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mengadakan Konvensyen Peguam Syarie seluruh negara, 14 Jun lalu, di PICC, Putrajaya wajar dipuji dan semoga penambahbaikan dapat dijalankan untuk tahun berikutnya.

Kita juga berharap agar Akta Guaman Syarie seperti yang itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan berjaya menjadi realiti dalam masa yang terdekat ini.

Untuk itu, semua pencinta syariah dan peguam syarie sama ada lepasan syariah atau lepasan undang-undang sivil perlu sama-sama dokong mendukung ke arah memartabatkan profesion peguam syarie di Malaysia.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: