Oleh Mohd Adid Ab Rahman
Kesenangan, musibah sebagai cubaan untuk menilai kekuatan iman umat Islam
SESEORANG yang ingin mengenalpasti sesuatu perkara atau benda, sama ada asli atau palsu, maka wajarlah terlebih dulu mengujinya dengan kaedah tertentu. Begitulah keadaannya keimanan yang terselit di dada seseorang, perlu sekali melalui proses ujian atau cubaan Allah untuk menilai sama ada teguh atau rapuh.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah." (Hadis riwayat Thobrani)
Allah berfirman yang bermaksud: "Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?" (Surah al-Ankabut, ayat 2)
Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah yakin bahawa segala kesusahan atau pun kesenangan yang Allah berikan semuanya adalah ujian terhadap hamba-Nya.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan aku jadikan bagi kamu sekalian keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan kepada Aku-lah kamu akan dikembalikan." (Surah al-Anbia', ayat 35)
Kita percaya masih ada segelintir di kalangan masyarakat Islam yang beranggapan seperti memiliki harta kekayaan yang banyak, rezeki melimpah ruah, berpangkat tinggi dan sebagainya adalah satu petanda Allah sayangkannya.
Anggapan mereka sebenarnya meleset sama sekali. Mereka belum cukup faham atau masih keliru mengenai konsep ujian Allah. Apa yang mereka miliki itu sesungguhnya adalah ujian untuk menilai sama ada ia tergolong dalam golongan orang bersyukur atau kufur.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar." (Surah al-Anfal, ayat 28)
Umat Islam tatkala menerima kebaikan dari Allah pasti akan melahirkan rasa kesyukuran, seperti Nabi Sulaiman ketika menerima penyerahan singgahsana kerajaan Saba' dari puteri Balqis, lalu Baginda mengucapkan: "Inilah sebahagian dari kurnia Tuhanku, sebagai ujian-Nya kepadaku, apakah aku bersyukur atau bersikap kufur.' (Surah An-Naml, ayat 40)
Selain itu, Allah juga menguji manusia dalam bentuk kesusahan seperti sakit, miskin, gagal mencapai matlamat, kerugian dalam perniagaan, kebakaran dan lain-lain.
Allah memaparkan beberapa contoh ujian Allah dalam bentuk kesusahan seperti firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami akan memberikan sesuatu percubaan kepada kamu, seperti ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan..." (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Berpandukan ayat itu dapat dirumuskan bentuk ujian Allah iaitu ketakutan untuk menghadapi musuh Islam dan menghadapi hari mendatang.
Kelaparan, kerana ketiadaan makanan atau mungkin juga tidak mampu untuk mendapatkan makanan akibat harganya terlalu mahal, tanam-tanaman tidak menjadi disebabkan musim kemarau atau bencana alam lain.
Kekurangan harta disebabkan ditimpa musibah seperti kebakaran, banjir besar dan taufan yang dahsyat serta hilang orang kesayangan disebabkan peperangan, bencana alam, serangan wabak penyakit dan kemalangan jalan raya.
Ternyata suasana yang sedang berlaku dalam negara kita sekarang adalah satu ujian Allah. Namun hakikat yang pahit ini, masih ramai yang tidak sanggup untuk menelannya. Jika kefahaman kita sudah mendalam mengenai konsep cubaan Allah, dan memiliki iman yang utuh, sudah tentu hal ini dapat dihadapi dengan lapang dada, fikiran waras dan emosi terkawal.
Peranan kesabaran seseorang sangat penting dalam menghadapi situasi buruk yang memang tidak disukai ini. Sama-sama berbincang mencari jalan bagaimana untuk berdepan dengan keadaan ini seterusnya cara mengatasinya.
Jika masing-masing saling menuding jari, maka masalah tidak akan selesai, bahkan akan menambahkan lagi kekusutan yang ada. Akhirnya boleh menimbulkan persengketaan dan perpecahan dalam masyarakat yang tidak ada titik kesudahan.
Islam sudah menunjukkan jalan terbaik bagi menghadapi ujian Allah seperti bersabar seperti pesan junjungan besar Nabi SAW yang sewajarnya diikuti dan diamalkan oleh setiap orang beriman.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya." (Hadis riwayat Muslim)
Di samping itu orang Islam juga harus bertawakal kepada Allah tatkala menghadapi ujian Allah. Bertawakal bermakna berusaha dengan segala upaya untuk mengatasinya kemudian menyerahkannya kepada Allah yang menentukan.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan sepenuhnya urusanku ini, kuserah pasrahkan bulat-bulat kepada Allah, sebab Ia Maha memperhatikan semua urusan hamba-Nya." (Surah al-Mukmin, ayat 44)
Cubaan yang dihadapi Nabi Ya'kub kerana kehilangan Nabi Yusuf atas perbuatan busuk saudaranya, baginda bertawakal kepada Allah dengan penuh kehambaan sebagaimana tergambar dalam sepotong ayat yang bermaksud: "Ia berkata: Hanya kepada Allah kesusahan, keresahan dan keperihanku ini aku adukan." (Surah Yusuf, ayat 86)
Setiap orang Islam hendaklah sentiasa berikhtiar dengan penuh hikmah, mengikut syariat Islam, untuk mengatasi ujian yang menimpa dan supaya tidak berulang lagi pada masa depan. Elakkan daripada perasaan sedih, mengeluh, putus asa atau kecewa ketika berdepan dengan ujian Allah, sehingga sanggup menyalahkan takdir.
Seharusnya banyak bersabar dan mendekatkan diri kepada Allah, itulah penolong yang sejati seperti firman-Nya yang bermaksud: "Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat sekali kecuali bagi orang yang khusyuk." (Surah al-Baqarah, ayat 45)
Kita juga perlu insaf bahawa apapun ujian atau cubaan, semuanya menunjukkan bahawa Allah memelihara hamba-Nya supaya ingat selalu kepada-Nya. Seterusnya bagi orang kuat imannya, ia sangat berbahagia apabila berdepan dengan cubaan Allah kerana itu satu cara Allah menghapuskan dosa seseorang itu, jika dihadapinya ujian dengan kesabaran tinggi dan penuh keimanan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Beginilah Allah memilih hamba-Nya untuk menghuni syurga-Nya di akhirat nanti, dengan memberi ujian sama ada kecil atau besar. Hanya orang yang kuat imannya saja yang layak mendapat kesejahteraan yang abadi.
Firman Allah yang bermaksud: "Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga, padahal belum kamu mengalami duka derita yang pernah dialami dan menimpa orang terdahulu sebelum kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 214)
Apabila seseorang sanggup menghadapi ujian Allah dengan tabah, sudah tentu imannya bertambah kuat dan mantap, sering bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan demi mencapai insan dikasihi Allah.
Friday, June 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment