Oleh Khairunneezam Mohd Noor
BEBERAPA hari lalu kami di Bundoora, sebuah kawasan pesisiran kotar raya Melbourne menyambut secara meriah dua rakan kami yang baru mendirikan rumah tangga. Mereka sebenarnya melangsungkan majlis akad nikah dan perkahwinan lebih awal di Malaysia. Namun, atas semangat dan jalinan ukhwah yang begitu kuat di kalangan yang rata-ratanya menuntut di sini, kami mengadakan sekali lagi majlis perkahwinan serba sederhana untuk mereka.
Walaupun jumlah tetamu yang hadir tidaklah begitu ramai berbanding majlis perkahwinan di tanah air, suasana 'berewang' dan kenduri tetap dapat dirasakan. Hiruk-pikuk rakan taulan berbual mesra, anak-anak berkejaran, kaum ibu yang sibuk menghidang dan menyiapkan juadah, serta pasangan pengantin yang masih tersipu-sipu melayan tetamu adalah rencah hidup bermasyarakat. Penulis kira 'takkan lekang dek panas, dan takkan lapuk dek hujan' walaupun beribu-ribu batu jauhnya dari tanah air. Adat resam Melayu yang penuh dengan kesantunan dan budi bahasanya cukup erat dipegang dan dizahirkan dalam majlis serba sederhana ini.
Majlis dimulakan dengan tetamu yang berkumpul beramai-ramai dan berarak bersama-sama menuju ke rumah pengantin. Seorang wakil rombongan memberikan salam di pintu dan tidak lupa menjual beberapa rangkap pantun sebagai 'buah tangan' kepada tuan rumah. Selepas dijawab seadanya juga dengan pantun, hadirin dipersilakan masuk disusuli dengan hadiah perkahwinan tanda ingatan tulus dan ikhlas buat pengantin.
Sesungguhnya, syariat Islam itu sesuatu yang menjadi tunjang dan pedoman kepada amalan manusia dalam kehidupan. Justeru, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil ringkas dan doa selamat, memohon supaya bukan saja rumah tangga pengantin diberi rahmat oleh Allah, bahkan mendoakan agar semua tanggungjawab dan urusan 'duta-duta negara' ini dapat disempurnakan dan diberi petunjuk dan hidayah oleh-Nya. Hadirin juga bersolat secara berjemaah sebagai memenuhi tuntutan rukun Islam yang perlu dilunaskan walau dalam apa keadaan sekalipun.
Hidangan untuk kenduri sederhana ini tidak lari daripada konsep makanan biasa di Malaysia, iaitu nasi beriani kambing. Ditambah lagi dengan sedekah berkonsepkan 'pot-luck' oleh sebilangan tetamu yang menghidangkan rojak, soto, karipap dan roti jala, maka terubatlah kerinduan sesiapa saja terhadap masakan ala Malaysia yang cukup sukar diperoleh di sini.
Pada hemat penulis, ada beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada budaya bermasyarakat seperti ini. Pertamanya, adat resam adalah sesuatu yang cukup mahal harganya. Mahal kerana ia melambangkan identiti warisan bangsa yang perlu dipupuk dan dipertahankan sebaik mungkin tidak kira di manapun kita berada. Dalam hal ini, walaupun komuniti warga Malaysia kecil, namun setiap individu begitu kental nilai jati dirinya tanpa hilang walau berada di negara orang.
Keduanya, sekental manapun adat resam yang dipegang, ia perlulah bertunjangkan kepada pegangan syariat Islam yang jitu kerana Islam itu cara hidup. Firman Allah, yang bermaksud: ''Sesungguhnya agama (cara hidup) yang benar di sisi Allah hanyalah Islam semata-mata".
Jangan terperanjat jika diberitahu bahawa ada sebilangan kita yang seakan-akan lupa mana diletakkan sejadah dan al-Quran dan mereka begitu mudah memberi alasan terlalu sibuk dengan urusan dan hal ehwal peribadi. Hakikatnya, sebagai seorang manusia yang bertakwa, tidak kira di mana kita berada, pada bila-bila waktu dan berhadapan dengan apa urusan sekalipun, syariat Islam itu perlu ditegakkan.
Hak kita kepada Allah perlu dilunaskan kerana itu adalah tanggungjawab kita sebagai makhluk ciptaan-Nya. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah adz-Dzaariyat, ayat 56 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku".
Ketiganya, dalam konteks hubungan sesama manusia, kita sememangnya sangat digalakkan untuk bercampur gaul, berasimilasi dan memupuk silaturahim sesama rakan berlainan negara, agama dan bangsa. Ini kerana ia adalah fitrah manusia yang perlukan sokongan sosial dan moral daripada individu lain. Rasulullah sendiri menegaskan akan kepentingan silaturahim dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: "Sesiapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menyambung silaturahim".
Begitu juga kita perlu ada rasa mengambil berat dan ada perasaan kasih kepada mereka yang seagama, sebangsa dan senegara dengan kita. Jika tidak wujud perasaan sebegini, itu jadinya apabila ada dalam kalangan kita yang keluar negara kadangkala akan bersua dengan orang senegara, sebangsa dan seagama tetapi terlalu ego dan sombong untuk membalas sapaan dan ucapan salam yang kita berikan.
Bahkan senyuman yang disedekahkan, ada kalanya dibalas dengan jelingan tajam penuh kejengkelan. Begitu juga bila diundang untuk ke majlis tertentu anjuran rakan senegara, orang sebegini pasti akan memandang sepi semata-mata. Inilah senario yang perlu diubah dalam sesetengah masyarakat Malaysia di luar negara. Apa seronoknya untuk menjadi 'kera sumbang' yang berasakan tidak layak untuk rakan senegara dan sebangsa bercampur gaul dengan mereka? Kalau sakit pening nanti, yang dicari untuk mendapatkan pertolongan, pastilah dalam kalangan rakan senegara dan sebangsa ini juga.
Untungnya senario di bumi Melbourne ini, bahkan mungkin di beberapa negara lain ada perkumpulan pelajar dan perantau Malaysia yang begitu aktif melaksanakan aktiviti keagamaan dan kebudayaan yang memberikan banyak manfaat kepada mereka sendiri dalam mengingatkan diri akan kepentingan untuk berpegang utuh kepada syariat Islam, memartabatkan budaya bangsa dan hidup bersatu-padu.
Kelas agama, ceramah patriotik, forum yang membariskan tokoh negara sebagai ahli panel atau penerbitan makalah berorientasikan hal ehwal tanah air antara usaha murni yang patut diteruskan sebagai bukti kecintaan kita kepada agama dan tanah air. Inilah yang dinamakan sebagai 'hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri', namun masih rindu dan teruja untuk 'berhujankan batu' di negara sendiri. Kesimpulannya, tidak kira di mana kita berada, ajaran Islam dan nilai murni dan budaya yang dipupuk dalam diri kita ini perlulah kita pertahankan dan diserlahkan sebagai tatapan umum di bumi asing. Barulah bangsa asing akan nampak betapa tingginya martabat kita sebagai umat Islam dan bangsa Malaysia yang hebat ketamadunan dan kaya budi pekertinya.
Penulis berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia dan sedang melanjutkan PhD di La Trobe University, Melbourne, Australia.
Saturday, June 14, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment