Monday, June 30, 2008

Jawi ajak dalami ilmu al-Quran, al-Qiraat

Oleh Hasliza Hassan

AL-QURAN bukan milik kumpulan tertentu, tetapi wahyu Allah untuk umat manusia sebagai panduan menghadapi kehidupan di dunia dan akhirat. Menyedari kepentingan mempelajari ilmu al-Quran, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menganjurkan Seminar Ilmu al-Quran dan al-Qiraat peringkat Kariah bermula 6 Julai ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Jawi, Saimah Mukhtar, berkata seminar itu bertujuan memasyarakatkan ilmu al-Quran dan al-Qiraat supaya keindahan dan keunikan al-Quran dapat dikuasai semua lapisan masyarakat.

Katanya, minta masyarakat yang kian meningkat terhadap pembacaan al-Quran secara berlagu akan lebih bermakna jika mereka memahami kaedah yang betul seterusnya menguasai ilmu dalam bidang berkenaan.

"Selama ini ilmu pembacaan al-Quran hanya dikuasai pelajar Darul Quran atau maktab tahfiz yang ada di negara kita saja. Tujuan seminar ialah supaya masyarakat juga didedahkan kepada ilmu ini, terutama mereka yang berminat untuk mendalami ilmu membaca al-Quran.

"Harapan kita juga dengan adanya program seumpama ini dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang terbentuk daripada pembinaan ilmu pengetahuan dalam bidang al-Quran," katanya.

Seminar Ilmu al-Quran dan al-Qiraat peringkat kariah membabitkan lapan zon di Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya dan Labuan. Setiap zon mewakili antara tujuh hingga 11 masjid mengikut kariah masing-masing.

Kumpulan sasar seminar ini ialah imam, bilal, noja pegawai serta pengerusi masjid dan terbuka kepada ahli kariah yang ingin meningkatkan ilmu al-Quran atau menjinakkan diri dengan keistimewaan serta kelebihan mempelajari kaedah membaca al-Quran secara berlagu dengan betul.

Seminar dua hari bermula Sabtu ini yang diadakan di Masjid Imam al-Ghazali Bandar Manjalara, Kepong, dijangka dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohammad Syeikh Abdul Aziz.

Tenaga pengajar yang akan berkongsi maklumat dengan peserta seminar terdiri daripada juri program realiti Akademi al-Quran (AQ) bahagian taranum yang juga johan qari peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Radzi Kamarul Hailan; juri bahagian qiraat, Nazri Abdullah dan tenaga pengajar AQ, Ehsan Mohd Hosni.

Saimah berkata, selain mendedahkan ilmu berkaitan al-Quran dan al-Qiraat, seminar itu juga adalah cara Jawi mengimarahkan institusi masjid menerusi program yang dapat menarik minat serta mengeratkan lagi hubungan ahli kariah masjid.

Katanya, pada masa sama, Jawi ingin memberi nilai tambah kepada usaha dilakukan kerajaan mendedahkan rakyat kepada ilmu al-Quran menerusi penganjuran Majlis Tliawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang terbukti berjaya mencetuskan minat masyarakat mendengar serta mempelajari ilmu al-Quran yang mempunyai pelbagai cabang.

Khusus bagi seminar yang dianjurkan Jawi ini, peserta bakal didedahkan ilmu ulum al-Quran, dhob al-Quran, tarikh mushaf, fawasil, qiraat 7 atau 10 dan resam al-Quran yang sebelum ini agak asing kepada masyarakat umum.

"Selalunya apabila kita mendengar qari atau qariah membaca al-Quran, berasa sudah sedap, tetapi kenapa mereka tidak menang. Ilmu itu yang ingin kita beri kepada masyarakat supaya apabila mereka dengar mereka juga tahu.

"Perasaan mendengar dengan ilmu dan mendengar hanya alunan bacaan yang sedap pada telinga saja adalah dua situasi berbeza. Mendengar dengan ilmu boleh menimbulkan rasa cinta kepada al-Quran," katanya.

Katanya, ilmu yang diajarkan kepada peserta seminar bukan saja membolehkan mereka membaca al-Quran secara berlagu, tetapi juga membimbing ke arah mempelbagaikan kreativiti seperti mengalunkan azan menggunakan kaedah taranum.

Cara itu dapat melahirkan muazin yang lebih kreatif serta mengelakkan seruan azan bersifat stereotaip. Malah, usaha itu jika dikembangkan dengan betul akan menjurus kepada banyak lagi program yang boleh dikembangkan daripada asas mempelajari al-Quran dan al-Qiraat.

Saimah berkata, jika mendapat sambutan daripada peserta, Jawi akan menganjurkan kelas mendalami ilmu al-Quran mengikut zon supaya ilmu yang diperoleh daripada seminar dapat dipertingkatkan secara berterusan.

Peserta Seminar Ilmu al-Quran dan al-Qiraat yang berminat boleh mendapatkan maklumat daripada Bahagian Pengurusan Kariah dengan menghubungi 03-22749333 sambungan 1119 (Nurul dan Nafisah).

No comments: