Thursday, June 12, 2008

Hak Muslim: Wang insurans tidak ikut syarak bukan harta pusaka

ANAK lelaki saya sudah meninggal dunia dan meninggalkan saya, ibunya, seorang isteri serta dua anak perempuan. Saya sudah mendapatkan Surat Pentadbir Kuasa bagi mentadbir harta arwah. Baru-baru ini, pihak insurans mengeluarkan wang insurans nyawa secara berkelompok arwah kepada balunya. Dalam surat itu, beliau diamanahkan sebagai wasi dan hendaklah membahagikan wang berkenaan mengikut hukum faraid. Arwah tiada meletakkan penama untuk insurans itu. Namun, sehingga kini balu arwah tidak membahagikan wang berkenaan mengikut faraid atau menyimpan di tabung amanah untuk cucu saya walaupun dinasihatkan berkali-kali. Alasannya ialah wang insurans itu adalah insurans konvensional dan bukan secara Islam, jadi tidak perlu dibahagikan mengikut faraid. Apakah hak saya dan waris lain khasnya cucu terhadap wang insurans nyawa itu sama ada ia secara konvensional mahupun Islam.

Ayah dan datuk,
Selangor Darul Ehsan.

ISU dalam kes ini ialah sama ada wang pampasan insurans nyawa boleh dianggap sebagai harta pusaka atau sebaliknya kerana seseorang yang mengambil insurans nyawa sama ada melalui syarikat insurans konvensional atau secara Islam, beliau akan mencarum sejumlah wang tertentu setiap bulan.

Menurut Akta Insurans, insurans nyawa yang diambil pencarum terbahagi kepada dua jenis iaitu insurans nyawa yang dilantik penama dan insurans nyawa tidak dilantik penama. Pampasan insurans nyawa yang tidak dilantik penama adalah menjadi harta pusaka dan hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid.

Bagi pampasan insurans nyawa dilantik penama, ada dua keputusan mahkamah yang berbeza di mana dalam kes Re Man Minhat (1965) 2 MLJ 1 yang diikuti oleh kes Re Bahadun Hassan (1974) 1 MLJ 4, mahkamah memutuskan pampasan insurans nyawa menjadi hak penama.

Namun, dalam kes Re Ismail Rentah (1939) FMSLR 230 dan (1940) MLJ 98, Mahkamah Tinggi memutuskan sebaliknya di mana fakta kes lebih kurang sama dengan kes Re Man Minhat, penama adalah isteri si mati.

Mahkamah memutuskan bahawa undang-undang Islam adalah sebahagian undang-undang awam negeri. Di bawah undang-undang Islam, mengikut kajian mahkamah seseorang boleh membuat hibah harta yang tertentu ketika hayatnya.

Hibah yang diberi dalam marad al-mawt dianggap sebagai pemberian melalui wasiat, pemberian kepada seorang waris (isteri) adalah tidak sah melainkan waris lain bersetuju. Surat penama tidak boleh dianggap sebagai hibah masa hidup kerana tiada pindah milik kepada orang yang menerima.

Oleh itu, mengikut undang-undang Islam, jumlah wang itu terpulang untuk dibahagikan kepada semua waris dan bukan menjadi milik isteri sebagai penama.

Hukum berkaitan penama sudah difatwakan pada 1973 di mana penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Wang Simpanan Pejabat Pos, bank, insurans dan syarikat kerjasama adalah sebagai orang yang melaksanakan wasiat si mati untuk dibahagikan kepada orang yang berhak menurut pembahagian faraid.

Penama adalah orang yang diberi kuasa untuk mengeluarkan wang si mati dengan mudah dan segera tanpa perlu melalui proses pembahagian harta pusaka mengikut undang-undang pembahagian harta pusaka.

Namun, penama bukanlah pemilik wang itu kerana penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Selepas mengeluarkan wang, penama hendaklah membahagikannya kepada waris mengikut faraid.

Dalam kes tuan, laporan polis boleh dibuat berkaitan tindakan balu arwah pecah amanah sebagai wasi pampasan insurans seperti dinyatakan dalam surat syarikat insurans kepadanya. Tuan juga boleh memfailkan kes di Mahkamah Sivil bagi tuntutan itu.

Namun, rujukan harus dibuat kepada fatwa berkaitan penggunaan wang insurans nyawa itu. Pada 1979, Kesatuan Ulama Fiqh Dunia yang bersidang di Makkah, majoritinya memutuskan insurans jenis perniagaan sama ada ke atas barang perniagaan, nyawa dan lain-lain daripada jenis harta adalah haram.

Pada 1985, majoriti ulama sedunia mengharuskan insurans jenis kerjasama iaitu insurans termasuk dalam jenis kontrak sumbangan ikhlas yang diikat untuk mencapai matlamat bantu membantu antara individu masyarakat yang menghadapi musibah dan demi mengurangkan bebanan ditanggung berdasarkan syarat ditetapkan oleh syarak.

Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan memutuskan hukum memakan wang daripada wang insurans nyawa bagi syarikat insurans yang mengamalkan kegiatan bertentangan dengan hukum syarak adalah haram.

Maka, tuan perlu meneliti sama ada syarikat insurans arwah menjalankan kegiatan yang menurut hukum syarak atau tidak sebelum membelanjakan wang pampasan itu. Jika syarikat berkenaan tidak menjalankan kegiatan mengikut hukum syarak, wang daripada insurans selepas pencarum meninggal dunia hukumnya adalah tidak menjadi harta pusaka.

Hanya wang pendahuluan atau wang yang dibayar setiap bulan oleh si mati saja menjadi harta pusaka dan perlu dibahagikan mengikut faraid.

Berbincanglah secara baik dengan balu arwah serta dapatkan khidmat guaman yang meliputi undang-undang sivil dan hukum syarak supaya pembahagian dan penggunaan wang insurans itu menurut hukum syarak.

Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Siti Razasah Abd Razak. Sebarang komentar boleh dihantar ke exco@yahoo.com. Layari http:// peguamsyarie.blogspot.

No comments: