Oleh Nik Mustapha Nik Hassan
Masyarakat Muslim diseru terus memperkukuh ekonomi demi keutuhan bangsa
MENURUT peruntukan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 160), orang Melayu ditakrifkan sebagai seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu, lahir sebelum Merdeka atau pada hari merdeka di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura.
Tambah lagi dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuan. Kedudukan itu membolehkan Kerajaan Persekutuan membelanja wang Persekutuan untuk membangunkan institusi Islam bagi kepentingan umat Islam yang rata-rata orang Melayu.
Dalam hal ini kerajaan sudah mendirikan pelbagai institusi berkenaan dan menanggung belanja/kos operasi serta pengurusannya bagi kepentingan umat Islam.
Di samping itu, berdasarkan satu kes yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 18 April 2001 dan disokong Mahkamah Rayuan pada 19 September 2005, bahawa Islam adalah satu identiti bangsa yang tidak boleh dipisahkan daripada orang Melayu seperti diperuntukkan Perkara 160.
Maka, berdasarkan keputusan itu orang Melayu tidak boleh membuang aspek Islam dalam identitinya kerana ia sebahagian daripada takrif Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, tindakan seseorang Melayu meninggalkan agama Islam (menjadi murtad) adalah tidak sah dari segi Perlembagaan kerana tindakan itu membawa implikasi menukar bangsa seseorang sedangkan bangsa adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar ganti.
Berdasarkan huraian yang jelas berkaitan perhubungan Islam dan Melayu dalam konteks Perlembagaan Persekutuan dan keserasian antara Islam dan budaya Melayu, Islam dan Melayu adalah sinonim dan agenda untuk membangun kekuatan Melayu dalam semua aspek perlu diasaskan kepada pendekatan Islam.
Ia termasuk membangun kekuatan ekonomi. Lebih penting daripada itu, pendekatan Islam memiliki ciri yang maju, berdaya saing dan bersesuaian dengan fitrah manusia. Ciri berkenaan pada hakikatnya menjamin kejayaan.
Merujuk kepada al-Quran dan hadis Nabi SAW, perspektif tepat kepada pentingnya orang Melayu berusaha menguasai kekuatan ekonomi adalah seperti berikut:
"Allah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia menundukkan (pula) bagimu sungai. Dan Dia menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia memberikan kepadamu (keperluanmu) daripada segala apa yang kamu mohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)." (Surah Ibrahim, ayat 32-34)
"Apabila sudah ditunaikan solat, maka bertebarlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung." (Surah Al-Jumuah, ayat 10)
"Mencari rezeki yang halal adalah satu kewajipan kepada setiap orang Islam." (Hadis riwayat At-Tabarani)
"Sesungguhnya kamu meninggalkan keluargamu dalam keadaan berharta adalah lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa sehingga terpaksa meminta-minta (dan akan menyusahkan orang lain)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
"Sesungguhnya Allah suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
"Sembilan persepuluh sumber rezeki ada dalam perniagaan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)
"Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi, orang yang benar dan para syuhada' (pada hari akhirat nanti)." (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Daripada ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW, kita dapat satu pandangan dan panduan bahawa setiap individu Melayu perlu berusaha membabitkan dan memajukan pencapaian kedudukan ekonomi masing-masing.
Di samping Islam menyeru setiap penganutnya berusaha memantap kedudukan ekonomi mereka, Islam turut menganjur kepada pendekatan menyusun masyarakat dan kegiatan ekonomi melalui prinsip al-'Adl wal Ihsan.
Prinsip al-'Adl wal Ihsan ini menganjurkan bahawa sistem ekonomi dalam negara mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan ekonomi dan ekonomi muafakat. Kedua-dua unsur itu adalah asas kepada pencapaian perjalanan sistem ekonomi yang teratur, cekap dan berdaya saing.
Keadilan ekonomi yang menepati prinsip al-'Adl membawa pengertian mendalam. Secara ringkas, beberapa ciri berikut dapat menjelaskan keadilan dalam perjalanan sistem ekonomi:
Setiap individu sebagai pemegang amanah Allah berhak memiliki harta tertakluk kepada syariah dan menjaminkan harta sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi menerusi kegiatan ekonomi pada tiap masa semungkin. Negara wajib merancang ke arah pencapaian itu melalui dasar fiskal dan kewangan.
Setiap individu mempunyai kebebasan untuk menceburi dalam setiap urusan ekonomi yang dibenarkan syariah. Tidak ada golongan boleh menggagalkan kebebasan itu. Negara dengan itu mempunyai tanggungjawab dalam mengawal bahawa kebebasan ini benar-benar dapat dilaksana.
Setiap individu dalam negara semestinya dapat memenuhi keperluan asasinya yang mana tanpa keperluan itu ia akan menjejaskan kebajikannya dan seterusnya masyarakat. Menurut Imam al-Ghazali, keperluan itu dapat dipenuhi menerusi pemeliharaan keimanan, kehidupan, intelek, keturunan dan kekayaan mereka. Negara bertanggungjawab memastikan matlamat itu tercapai melalui semua dasar dikemukakan.
Setiap faktor menyumbangkan kepada proses pengeluaran ekonomi hendaklah mendapat ganjaran setimpal dengan sumbangan mereka. Sistem pulangan yang positif kepada faktor modal dengan berlandaskan sistem riba adalah diharamkan. Begitu dengan mekanisme ekonomi lain yang berunsur penindasan (zalim).
Setiap peruntukan sumber negara hendaklah mengikut keutamaan keperluan rakyat. Panduan syariah perlu diikuti dalam hal itu.
Setiap bentuk pembaziran sama ada dalam bentuk projek atau perayaan yang hendak dilaksanakan atau pembaziran yang terdapat dalam proses pengeluaran, pengagihan dan penggunaan mestilah diminimumkan dan jika mampu, dihapuskan.
Ekonomi muafakat yang menepati prinsip al-Ihsan pada hakikat sebenar akan terlaksana dengan wujudnya keadilan ekonomi (hasil daripada pelaksanaan prinsip al-adl). Islam menganjurkan semua unit ekonomi bekerjasama (bermuafakat) dalam menjalankan kegiatan ekonomi.
Setiap unit ekonomi sama ada, sektor awam atau swasta, pengguna atau pengeluar, pekerja atau majikan, golongan kaya dan miskin sepatutnya mempunyai matlamat yang satu, iaitu menghayati semangat muafakat dan kasih sayang.
Oleh itu, setiap unit ekonomi perlu saling bantu membantu antara satu sama lain kerana pada hakikat mereka saling memerlukan. Pendekatan itu menjalin kestabilan dan keutuhan perjalanan sistem ekonomi.
Allah berfirman yang bermaksud: "Maha suci Allah yang menjadikan berpasang-pasang semuanya, iaitu apa-apa ditumbuhkan di bumi dan diri mereka sendiri dan apa-apa yang tidak mereka ketahui." (Surah Yassin, ayat 35)
Dapat dirumuskan bahawa Islam menganjurkan perhubungan ekonomi secara muafakat, bukan secara penipuan dan penindasan. Bahkan, prinsip al-ihsan (muafakat) adalah inti kepada keutuhan kegiatan ekonomi negara.
Jika individu Melayu menghayati Islam pada peringkat individu dan menyusun sistem ekonomi bernegara, natijah akhir sudah pasti umat Melayu Islam akan mampu memperkukuhkan kekuatan ekonomi demi kesejahteraan ummah dan masyarakat negara umumnya.
Penulis ialah Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia
Tuesday, June 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment