Monday, June 16, 2008

Zikir, doa dan tawakal penawar tekanan perasaan

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

TEKANAN perasaan adalah antara penyakit dalaman yang banyak dihidapi manusia zaman ini. Walaupun ia adalah masalah rohani manusia, penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan fizikal lain seperti tekanan darah tinggi, jantung dan sakit kepala jika tidak diatasi segera.

Masalah tekanan yang tidak kritikal masih boleh memberi kesan negatif kepada tingkah laku manusia seperti tidak tenteram, bertindak agresif di tempat kerja atau rumah.

Sebagai manusia biasa, setiap daripada kita tidak mungkin terlepas daripada masalah tekanan. Cuma yang berbeza ialah keupayaan menangani tekanan. Ada yang mampu mengawal dengan baik dan ada yang gagal, menyebabkan kesan negatif terhadap kesihatan, tingkah laku dan psikologi.

Tekanan perasaan boleh berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya terlalu memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan cuba mengawal keadaan yang masih belum berlaku. Seseorang yang kehilangan sesuatu atau individu disayanginya dan tidak mampu menerima hakikat itu juga akan merasa tertekan.

Tekanan perasaan juga boleh berlaku apabila wujud konflik antara keinginan diri dan pertimbangan akal seseorang. Contohnya, seseorang yang ingin memenuhi keseronokan dirinya dan pada waktu sama menyedari bahawa dia perlu menerima kebenaran perbuatan itu salah di sisi agama.

Al-Quran memberi panduan kepada kita bagaimana menghadapi situasi sebegini. Kehilangan dalam hidup adalah ujian Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 155)

Mereka yang sabar menempuh ujian akan mendapat ganjaran baik daripada Allah. Sesungguhnya manusia sebagai makhluk tidak memiliki hak ke atas sesuatu hatta hidupnya sendiri. Segala-galanya daripada Allah dan kepunyaan-Nya.

Maka, tidak seharusnya kita menangisi atau menyesali apa yang tidak kita miliki sama sekali. Kita tidak diberi pengetahuan apa yang akan berlaku. Namun, kita boleh merancang, berusaha dan berdoa serta bertawakal.

Manusia berupaya berusaha dalam ruang lingkup takdir Ilahi bersandarkan pertimbangan akal yang waras dengan panduan wahyu Ilahi. Kita boleh memilih mana yang baik dan mengandaikan kesan daripada tindakan perbuatan kita.

Namun, ketentuan mutlak adalah daripada Allah. Oleh itu, usahlah terlalu bimbangkan sesuatu yang kita tidak pasti dan sesuatu yang tidak mampu kita kawal. Kebimbangan sebegini hanya akan memberi lebih tekanan kepada kita.

Sebagai makhluk bernama manusia yang terdiri daripada unsur rohani dan jasmani, kita tidak akan bebas daripada konflik dalaman. Setiap daripada kita dijadikan bersama unsur nafsu yang secara fitrah menyediakan segala macam keinginan.

Semua itu jika tidak dikawal iman dan akal yang waras, sudah tentu akan menjadi kesempatan hasutan syaitan dengan janjinya untuk menyesatkan umat manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Nafsu amarah cenderung kepada keseronokan dan sifat mazmumah yang membawa manusia kepada kehancuran seperti marah, hasad, tamak dan penipuan. Dalam keadaan nafsu menguasai seseorang, hanya kepuasan diri dan keegoan akan bertakhta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musuhmu yang paling utama ialah nafsu jahat yang ada dalam dirimu.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Islam memberikan panduan yang sebaiknya dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia dalam usaha mengelakkan dan menghadapi tekanan. Dalam keadaan tertekan dan keresahan menghadapi ujian Allah, perlu lebih banyak mengingati-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28)

Seterusnya, perbanyakkan permohonan kepada Allah dan bertawakal kepadanya. Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Ini disusuli semula dengan sentiasa memohon keampunan Allah dan bertaubat daripada kesalahan. Selain itu, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah yang kita hadapi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah al-Ra‘d, ayat 11)

Tekanan perasaan sebenarnya berpunca daripada lemahnya daya tahan spiritual dan ketidakseimbangan aspek dalaman kita. Konflik dalaman yang berterusan akan mengakibatkan tekanan bertambah seterusnya melahirkan pelbagai perlakuan salah hingga mengganggu kesihatan.

Kedamaian spiritual hanya boleh dicapai dengan keimanan dan penyerahan diri kepada Allah, ingatan yang berterusan kepada-Nya. Permintaan yang mutlak daripada-Nya serta permohonan keampunan tidak kira ketika senang, mahupun susah membantu menghadapi tekanan.

No comments: