Oleh Abdurrahman Haqqi
Kealpaan ummah berpegang syariat, ambil iktibar sejarah lampau punca keruntuhan
KAMUS Dewan mendefinisikan tamadun sebagai 'keadaan masyarakat manusia yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran sosial, budaya, politik dan lain-lain dan peradaban'. Ia adalah pencapaian manusia dalam bentuk kota, sistem tulisan, kesenian, seni bina, kepercayaan, undang-undang dan politik.
Tamadun berasal dari bahasa Arab dengan kata dasar 'ma-da-na' (tamaddana, yatamaddanu, tamaddunan). Nama kota Madinah yang diasaskan Nabi pada tahun pertama Hijrah juga berasal daripada kata ini. Pada mulanya 'ma-da-na' mempunyai pengertian kehalusan budi pekerti dan akhlak mulia seperti orang kota, tetapi ia menjadi suatu istilah yang mempunyai beberapa makna termasuk:
Pemilihan sesuatu tempat untuk didiami;
Membangunkan sesuatu kawasan sehingga menjadi bandar;
Fenomena perubahan daripada liar kepada maju.
Oleh itu, istilah tamadun membawa erti kehidupan kota yang menghasilkan pencapaian yang tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada kerohanian atau kebendaan.
Tamadun juga disebut 'madaniyyat' yang menurut Farid Wajdi dalam Mausu'ah al-Qarn al-'Ishrin (Ensiklopedia Abad Keduapuluh) adalah "...dari kata akar 'madinah' atau bandar, iaitu suatu peringkat tertinggi dalam kehidupan kebendaan sesebuah masyarakat yang jelas kelihatan dalam aspek pembangunan, perancangan dan penyusunan bandar serta penyediaan kemudahan infrastruktur."
Dalam istilah Ibn Khaldun, tamadun disebut 'umran daripada perkataan `amara, ya`muru, umranan iaitu membangun, membina, hidup, berumur. Ia bererti suatu kawasan tanah di mana sekumpulan masyarakat yang tinggal menetap di situ dalam keadaan berkembang subur lagi makmur. Ia juga disebut hadarah daripada kata akar hadara, yahduru, hadratan yang mempunyai makna suatu wilayah yang mengandungi aspek kehidupan sosial dan nilai berdasarkan ajaran agama apabila dibentuk kehidupan bernegara dengan kota pertahanannya serta kehidupan secara kolektif yang tersusun.
Sepanjang sejarah umat manusia, sama ada diterima atau tidak, agama adalah asas tamadun. Peningkatan unsur maknawi (spiritual) akan mendorong kebangkitan fizikal. Rasionalnya semua tamadun di dunia ini ditegakkan berasaskan kepercayaan agama. Peningkatan atau kemusnahan sesuatu tamadun itu bergantung kepada keteguhan pegangan agama atau sebaliknya.
Al-Quran menceritakan keadaan umat manusia terdahulu. Mereka mencapai darjah tamadun yang tinggi sehingga menjadi bahan kajian yang sebahagiannya tidak dapat dicapai manusia zaman ini. Namun, kemajuan itu tidak dapat dipertahankan apabila arah kehidupan iaitu iman dan akidah tauhid dilupakan. Dengan sebab kemajuan mata benda itu, dengan sebab kehidupan mewah yang tidak dibatasi akidah tauhid akhirnya tamadun runtuh dan lenyap, hanya tinggal kesan yang menjadi peringatan saja.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran mengenai mereka ini maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat yang terdahulu daripada engkau (lalu mereka mendustakannya), maka Kami timpakan azab kepada mereka berupa kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dengan rasa merendah diri (serta insaf dan bertaubat). Maka mengapa mereka tidak berdoa kepada Kami dengan rasa merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka telah menjadi keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan syaitan pula menampakkan keelokan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan peringatan yang diberikan kepada mereka, Kami pun melimpahkan semua pintu kemewahan dan kesenangan kepada mereka, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)." (Surah al-An'am: 4244)
Tamadun umat manusia di Barat dan di Timur sangat banyak. Namun, nasib mereka akan sama iaitu akan musnah jika mengingkari ajaran Allah. Sebagai contoh, kita perhatikan nasib akhir yang terjadi kepada kaum Nabi Nuh, kaum 'Ad, Fir'aun, kaum Luth dan lain-lainnya. Al-Quran menjelaskan maksudnya: "Sebelum mereka itu, kaum (Nabi) Nuh, 'Ad (kaum Nabi Hud), serta Fir'aun yang mempunyai kerajaan yang kuat, telah juga mendustakan Rasul masing-masing. Dan juga Thamud (kaum Nabi Salih), dan kaum (Nabi) Lut, serta penduduk Aikah. Mereka itulah golongan yang bersekutu (yang menentang kebenaran). Semua mereka itu tidak lain hanya mendustakan Rasul-Rasul. Maka berhak mereka ditimpa azab-Ku. Mereka tidak perlu menunggu lama melainkan satu pekikan suara yang tidak akan berulang lagi." (Surah Sad: 1215)
Ingkar ajaran Allah digambarkan dengan mendustakan utusan-Nya iaitu Nabi dan Rasul. Semua akibat daripada kemurkaan Allah ini diturunkan dalam masa manusia sedang leka dan lupa dalam dunia hawa nafsu dan kemewahan kebendaan.
Bukti sepanjang sejarah manusia cukup meyakinkan kita bahawa kehidupan manusia tidak akan stabil dan tenteram selagi mereka tidak berjalan mengikut hukum dan petunjuk Allah. Jika ada usaha manusia untuk mencipta satu akidah, undang-undang atau apa jua ciptaan berlawanan dengan fitrah itu, ia pasti akan hancur sudahnya dan hukum Allah akan tetap berdiri tegak untuk selama-lamanya.
Dr Abdul Majid Aziz al-Zandani dalam Tauhid Pendekatan Saintifik mengatakan: "Sejak terdirinya negara 'Tauhid' di bawah pimpinan Rasul terakhir yakni Rasulullah SAW akidah tauhid kekal utuh, kesuciannya berteraskan kepada wahyu Allah dan ajaran Ilahi. Pada pokoknya ia bergantung kepada al-Quran al-Karim. Metodologi digunakan al-Quran untuk menyemai akidah berkenaan di dalam hati manusia ialah dengan mempersembahkannya kepada manusia ini secara sederhana dan logik. Al-Quran mengalihkan pandangan manusia kepada kejadian di langit dan bumi, serta mencuit pemikiran mereka untuk memikirkan mengenai tanda kebesaran Allah, di samping mencetuskan perasaan beragama yang tertanam secara semula jadi dalam diri mereka dan merasakan mengenai adanya dunia lain di sebalik dunia kebenaran ini.
Berdasarkan asas inilah Rasulullah SAW berusaha menyemaikan akidah tauhid di kalangan umatnya dengan menarik perhatian, mengarah pemikiran, menyedarkan akal, membangkitkan perasaan fitrah semula jadi serta menjaga semaian itu dengan pendidikan, dan menyuburkannya sehingga Baginda mencapai kejayaan yang tinggi, menyebabkan Baginda dapat memindahkan umat manusia dari menyembah berhala dan mensyirikkan Allah, menuju ke arah akidah ketauhidan Allah serta menurapkan hati sanubari mereka dengan iman dan keyakinan. Sementara itu, Baginda juga berjaya menjadikan sahabat sebagai pemimpin perintis pembaharuan, tokoh pembimbing dan kemuliaan hidup insan.
Baginda juga berjaya mewujudkan generasi yang berbangga dengan keimanan, dan bertaut dengan kebenaran, maka generasi itulah menjadi seumpama sang suria kepada alam dunia ini yang melimpahkan kebaikan untuk seluruh umat manusia.
Sebab itu, apabila Allah mengutuskan Nabi Muhammad SAW membawa Islam dengan berpandukan wahyu yang terkandung di dalam al-Quran, Allah SWT dengan jelas memerintahkan manusia kembali kepada akidah tauhid yang sebenarnya kembali fitrah asal manusia itu iaitu bertuhankan Allah dan taat kepada-Nya.
Tamadun Barat berhutang kepada tamadun Islam walaupun belum diperakui secara menyeluruh oleh Barat. Hal ini dijelaskan oleh Robert Briffault dalam The Making of Humanity: "Konsep kebebasan manusia, persaudaraan sesama insan dan persamaan hak di kalangan manusia termasuk hak untuk bersuara merangsang beberapa kejadian penting dalam sejarah seperti Revolusi Perancis,
Deklarasi Hak Asasi Manusia di Amerika dan perjuangan ke arah kemerdekaan di negara Amerika Latin. Sebenarnya konsep ini bukanlah hak cipta masyarakat Barat. Ia sebenarnya adalah ajaran dalam al-Quran yang dihayati orang Islam. Kemudian konsep ini mempengaruhi masyarakat Eropah. Besar kemungkinan, jika tidak kerana orang Arab, era kemodenan di Eropah tidak akan berlaku sama sekali."
Apabila dunia Islam lemah, bermula dari kejatuhan Turki pada kurun ke-19, maka gerakan penyelewengan itu semakin kuat, bukan saja dari dalam dunia Islam, bahkan lebih berbahaya ialah gerakan dunia Barat yang membawa sekali unsur penambah penyelewengan yang disukai iaitu kemajuan ekonomi dan tamadun hiburan. Melalui agenda penjajahan minda, akhirnya akidah Islam berhadapan sekali lagi dengan niat 'Perang Salib' yang masih lagi bersarang dalam dada.
Di Turki, gerakan sekularisme yang ditaja Kamal Ataturk membuahkan hasil, sehingga Masjid Aya Sofia yang menjadi lambang kemenangan Islam di atas Barat dijadikan muzium. Di dunia Arab, fahaman kebangsaan (Pan-Arab Nationalisme) digerakkan kuasa Barat untuk memisahkan diri dari kuasa Kerajaan Uthmaniyah. Bagaimanapun, negara Arab keluar dari mulut harimau masuk ke rahang buaya. Kerajaan Uthmaniyah lenyap oleh perbuatan orang Islam sendiri.
Di dunia Islam sebelah sini, apabila Kerajaan Melayu Islam Melaka jatuh, maka paderi Sepanyol dan Portugis digalakkan datang, di antara yang terkenal dan dipuja dalam sejarah Melaka ialah Saint Francis Xavier. Bagaimanapun, dia tidak berjaya mengalihkan akidah orang Islam di Melaka.
Keruntuhan sesuatu tamadun dalam ajaran al-Quran berpunca daripada penyakit 'lupa'. Allah berfirman maksudnya: "Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan kepada orang yang zalim azab yang amat berat, disebabkan mereka berbuat fasik (derhaka)." (Surah al-A'raf: 165) Wallahu a'lam.
Sunday, June 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment