Oleh Hasliza Hassan
PROGRAM Al-Risaalah 2 yang mula disiarkan malam tadi di TV9 terus mendekatkan penonton kepada kisah 25 rasul pilihan seperti diceritakan dalam al-Quran. Jika musim lalu penonton berpeluang mengikuti kisah 12 rasul bermula dengan Nabi Adam, Al-Risaalah musim kedua memilih sembilan rasul untuk diketengahkan.
Mereka Nabi Allah Syuib, Harun, Musa, Ilyasa', Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyias dan Yunus. Fokus kali ini ialah Nabi Musa Kalimullah. Rumusan mengenai Al-Risaalah musim kedua dapat disaksikan peminat setia dalam episod satu.
Antaranya, kunjungan krew Al-Risaalah 2 ke kota Harran di Selatan Turki yang pernah didiami Nabi Allah Ibrahim. Penonton juga diperlihatkan gua dibeli Baginda yang menempatkan makam Baginda serta keluarga selain masjid dengan kesan tapak kaki Baginda.
Hakikatnya Al-Risaalah berusaha menjawab persoalan yang timbul dalam kisah nabi. Contohnya, Nabi Syuib yang diutuskan kepada kaum Madian yang bakal dipertontonkan dalam episod 2 malam ini. Di manakah lokasi Madian?
Al-Quran menyebut dua nama kaum di mana Nabi Syuib diutuskan iaitu Madian dan Aikah. Adakah keduanya kaum yang berlainan atau sama? Al-Quran tidak menyebut nama bapa mentua Nabi Musa tetapi ada ulama menyatakan bahawa beliau adalah Nabi Syuib. Al-Risaalah 2 memberi jawapan kepada persoalan itu dan banyak persoalan lain.
Bagi umat Islam, mereka wajib beriman kepada Nabi Syuib iaitu salah seorang rasul utusan Allah kepada manusia. Firman Allah yang bermaksud: "Dan kami utuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka Nabi Syuib; lalu ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, dan kerjakanlah amal salih dengan mengharapkan pahala akhirat, dan janganlah kamu melakukan kerosakan di bumi." – (Surah al-Ankabut, ayat 36)
Masyarakat Madian tidak menyembah Allah. Masyarakat Madian dan kawasan sekitarnya menyembah tuhan Marduk, Ba'al, Sin dan Isytar. Masyarakat Madian aktif berdagang tetapi mereka suka menipu dalam timbangan dan sukatan. Lalu diutuskan Nabi Syuib untuk menyeru mereka menyembah Allah Yang Satu.
Nabi Syuib bekerja keras berusaha memperbetulkan akidah dan kepercayaan masyarakatnya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan kepada penduduk Madyan (kami utuskan) saudara mereka Nabi Syuib. Ia berkata: Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah, tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda dan perkara yang menjadi haknya; dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang yang beriman." – (Surah al A'raf, ayat 85)
Kisah Nabi Syuib menimbulkan persoalan mengenai adakah kaum Madian dan Aikah yang diseru Baginda adalah dua kaum berlainan atau sebaliknya. Semua akan terjawab dalam Al-Risaalah episod dua di TV9 malam ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment