Defendan tak puas hati keputusan hakim boleh mohon dikaji semula dalam 14 hari
MAHKAMAH Syariah mengeluarkan perintah saya membayar mutaah kepada bekas isteri sebanyak RM10,000 dan cara bayarannya melalui pemotongan gaji. Saya tidak berpuas hati dengan keputusan itu terutama perintah pemotongan gaji kerana ia akan membabitkan reputasi kerja pada persepsi majikan. Adakah saya masih boleh merayu terhadap keputusan itu? Bagaimanakah prosedurnya? Dan jika saya membuat rayuan, apa akan jadi dengan perintah yang sudah dikeluarkan dan adakah ia akan terus berkuatkuasa.
Duda tertekan,
Segambut Dalam.
Keputusan Mahkamah Rendah Syariah boleh dirayu di Mahkamah Tinggi Syariah. Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah boleh dirayu di Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Rayuan Syariah adalah hierarki teratas dalam sistem pentadbiran perundangan syariah di Malaysia.
Mana-mana pihak terkilan atau tidak berpuashati dengan sesuatu keputusan mahkamah, boleh mengemukakan rayuan ke mahkamah lebih tinggi hierarkinya dengan memfailkan satu notis rayuan dalam tempoh tidak lebih 14 hari dari tarikh keputusan diberikan.
Mengikut amalan, notis rayuan hendaklah dialamatkan kepada mahkamah yang lebih tinggi, tetapi difailkan di mahkamah yang mengeluarkan keputusan itu.
Pada masa sama, anda boleh memfailkan satu permohonan untuk menggantung sementara pelaksanaan perintah yang sudah dikeluarkan.
Permohonan hendaklah disokong fakta dan dokumen berkaitan, termasuk suatu notis rayuan yang telah difailkan di mahkamah yang mengeluarkan keputusan itu.
Seksyen 44 Akta Tatacara Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1998 memperuntukkan:
"Pemfailan sesuatu notis rayuan tidaklah berkuatkuasa sebagai penggantungan pelaksanaan, tetapi mahkamah boleh, atas permohonan dan apabila sebab yang mencukupi ditunjukkan, menggantung pelaksanaan atas apa-apa terma difikirkan patut."
Dua Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah dikeluarkan berhubung dengan prosedur penggantungan pelaksanaan perintah sementara menunggu rayuan itu iaitu Arahan Amalan No 10 2004 dan Arahan Amalan No 1 2005.
Menurut Arahan Amalan 2004, seseorang hakim ditegah daripada terus menggantung pelaksanaan perintah kes mal sementara menunggu rayuan, tanpa ada permohonan dari pihak-pihak.
Manakala menurut Arahan Amalan 2005, alasan bahawa seseorang perayu yang membuat rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dalam kes mal, adalah cukup memadai untuk mahkamah menggantung pelaksanaan perintah, sementara menunggu rayuan diputuskan. Kecuali dalam kes membabitkan nafkah, upah menyusu, tempat tinggal, hadanah dan serah anak yang belum mumayiz kepada ibu.
Hukum syarak juga membenarkan seseorang yang tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan hakim untuk mengemukakan rayuan kepada hakim yang lebih tinggi. Ini bersandarkan kepada hujah dalam kisah Saidina Ali ketika memutuskan kes Zabalah Al-Asad.
Dalam kes itu, apabila Saidina Ali menjadi Kadi di Yaman, Saidina Ali menjatuhkan hukuman bagi orang yang pertama masuk ke dalam lubang perangkap singa mendapat satu perempat diat, kedua separuh diat, ketiga mendapat separuh (separuh) diat, dan keempat mendapat diat yang penuh.
Diat ini dikenakan kepada kabilah yang berasak-asak di sekeliling lubang perangkap singa tadi, kerana merekalah yang menyebabkan orang pertama jatuh, diikuti kedua kerana ditarik oleh yang pertama.
Orang ketiga pula ditarik orang kedua dan seterusnya menyebabkan kesemuanya mati. Yang pertama mendapat satu perempat kerana dia menyebabkan tiga kematian. Yang kedua mendapat satu pertiga kerana dia menyebabkan dua kematian. Yang ketiga mendapat separuh kerana dia menyebabkan satu kematian dan yang keempat mendapat diat yang penuh kerana dia tidak menyebabkan kematian sesiapa.
Kabilah tidak berpuashati dengan hukuman Saidina Ali dan mereka menghadap Baginda Rasulullah SAW bermohon dilihat semula kes itu dan hukuman dijatuhkan Saidina Ali disemak semula. Akhirnya Rasulullah SAW bersetuju dengan keputusan dan hukuman dijatuhkan Saidina Ali.
Inti pati dari kisah itu, syarak membenarkan pihak tidak berpuas hati dengan keputusan sesuatu penghakiman membuat rayuan. Kisah itu juga suatu dalil menunjukkan sesuatu hukuman atau keputusan yang jika pihak dihukum tidak berpuashati, hendaklah digantung sementara sehingga rayuannya diputuskan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment