Saturday, September 6, 2008

Tsunami cetus rasa kemanusiaan Yapeim


HULUR BANTUAN: Rombongan media yang mengikuti lawatan Yapeim bersama penghuni Rumah Yayasan Pembangunan Anak Yatim Antar Bangsa, Banda Aceh.


Tragedi gerakkan kerja amal di Aceh

KEDATANGAN rombongan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) ke Aceh dua minggu selepas tragedi tsunami pada 26 Disember 2004 sekadar meninjau bentuk bantuan yang boleh dihulurkan itu.

Menyedari mereka tidak mempunyai pengalaman atau kepakaran membantu memulihkan keadaan dan penduduk yang masih trauma, Yapeim cuba mencari bidang yang boleh dipelopori untuk meletakkan batu asas di sana.

Ketua Pengarah Yapeim, Dr Abdul Malek Awang Kechil ketika penjelasan kepada rombongan media yang mengikuti lawatan yayasan ke Aceh memberitahu, perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata tetap menerjah hati kemanusiaan rombongan Yapeim.

Katanya, ketika itu suasana masih kelam kabut dengan jalan raya terputus, kawasan perumahan hanya tinggal sampah-sarap, mayat bergelimpangan serta bau mayat terus memenuhi ruang udara.

"Memang keadaan buat kita bingung kerana tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk membantu rakyat Aceh ketika itu. Melalui perbincangan dengan rakan di sana akhirnya Yapeim mengambil keputusan menjadikan pendidikan sebagai teras misi di bumi Acheh.

"Perbincangan dan perancangan yang dibuat di Kuala Lumpur, maka ditubuhkan Yapeim yang menubuhkan Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (Pemangkin) bagi membela nasib mereka," katanya.

Beliau berkata, melalui Pemangkin ditubuhkan pula Yayasan Pembangunan Anak Yatim Antarabangsa (IODEF) di Aceh, yang diberi tugas menyelaras dan menyalurkan bantuan yang diterima di Aceh.

Dr Abdul Malek berkata, tsunami menyebabkan lebih 100,000 kanak-kanak dan remaja menjadi yatim piatu dan menderita kemiskinan. Katanya, keputusan Yapeim menjadikan mereka kumpulan sasaran selaras falsafah Pemangkin untuk meningkat dan memantapkan aspek pendidikan melalui perancangan sistematik dan bersifat jangka panjang.

"Hampir empat tahun kejadian menjadi igauan itu berlaku, Yapeim masih berada di Aceh," katanya.

Katanya, pendekatan yang diambil IODEF ialah menentukan secara tepat kawasan menempatkan anak mangsa tsunami kemudian mengatur dana untuk melaksanakan program sesuai untuk mereka.

Program itu termasuk menjadikan mereka anak angkat, menaja pendidikan di sekolah menengah hingga universiti, penganugerahan prestasi pendidikan dan infaq iaitu menyediakan kemudahan rumah anak yatim hingga mereka mempunyai tempat tinggal tetap.

Selain pendidikan anak yatim, penubuhan IODEF juga untuk memantapkan ekonomi dalam usaha menyediakan pengurusan yang boleh berdiri sendiri seperti memajukan tanah wakaf untuk pertanian atau perusahaan yang kini masih pada peringkat perancangan.

No comments: