Oleh Hasliza Hassan
GENAP sepuluh tahun Nabi Musa berbakti kepada Nabi Syuib di Madyan, Baginda mengambil keputusan kembali ke Mesir bersama isterinya, Siti Sapura sehingga tiba di Semenanjung Sinai. Ketika itu, Bani Israel masih menyembah berhala.
Bukit Sinai atau Bukit Musa (Jabal Musa) menjadi saksi kepada peristiwa penting dalam kehidupan Nabi Musa. Di situ, Baginda bermunajat kepada Allah seterusnya menerima wahyu melalui percakapan secara langsung dengan Allah kerana itu Nabi Musa digelar Musa Kalamullah.
Di bukit itu juga Nabi Musa menerima syariat untuk panduan umatnya. Baginda dilantik menjadi rasul bagi menghapuskan kepercayaan masyarakat Mesir yang menyembah tuhan Ra' dan Amun. Gambaran Bukit Sinai dapat dilihat dalam program Al-Risaalah 3 malam ini di TV9.
Bukit Musa juga mengimbas sejarah Nabi Musa merayu kepada Allah untuk diperlihatkan Zat-Nya. Peristiwa itu diceritakan dalam ayat 143, surah al-A'raf yang bermaksud: "Tatkala Musa datang pada waktu yang Kami tentukan itu dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu. Allah berfirman: Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu. Maka jika dia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku. Selepas Tuhannya menampakkan (sebahagian daripada nur-Nya) kepada gunung itu, (maka) kejadian itu menjadikan gunung itu hancur lebur dan Musa pun jatuh pengsan. Setelah Musa sedar semua, dia berkata: Maha Suci engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu dan akulah orang yang pertama beriman (pada zamanku)."
Dakwah anbia adalah seruan kepada umat supaya tidak menyekutukan Allah. Demikian juga dakwah Nabi Musa kepada Bani Israel, masyarakat dan pemerintah Mesir ketika itu. Tidak dinafikan tanggungjawab itu berat bagi Nabi Musa kerana orang yang hendak diseru kepada jalan kebenaran ialah Firaun yang sangat degil.
Nabi Musa memohon kepada Allah supaya diutuskan saudaranya Nabi Harun yang fasih berkata-kata untuk menyokong serta menguatkan dakwahnya menghadapi Firaun dan permintaan itu diperkenankan Allah. Kemunculan Nabi Musa adalah rahmat bagi kaum Bani Israel yang diperintah Firaun yang kejam.
Sementara Firuan pula bukan calang-calang manusia kerana mendengar namanya sudah cukup untuk membuatkan rakyat Mesir berasa cemas dan gementar.
Firaun masih terus berdegil walaupun Nabi Musa sudah menunjukkan mukjizat tongkatnya melawan ahli sihir mereka. Apabila sihirnya kalah dalam pertarungan menentang Nabi Musa dan akhirnya mereka beriman kepada Allah, Firaun berkata: "Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan berselang, kemudian aku akan mensalib kamu semuanya." (Surah al-A'raf, ayat 124)
Begitu juga apabila Allah menurunkan azab berupa kemarau dan kekurangan buah-buahan supaya Firaun dan pengikutnya insaf. Namun selepas Allah menghilangkan bencana itu, mereka menganggap ia disebabkan sial malang Nabi Musa dan pengikutnya.
Seperti yang diduga Nabi Musa sejak awal, berdakwah kepada Firaun bukan tugas mudah, malah Baginda dituduh sebagai orang gila. Firaun enggan mengakui keesaan Allah walaupun selepas Nabi Musa mempertontonkan mukjizatnya. Firaun lebih rela mati mempertahankan sikap bongkaknya daripada mengakui kesilapan sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment