Tuesday, September 16, 2008

Tajdid Iman: Membentuk karakter diri sebagai pembela agama

Bersama Dr Juanda Jaya
Juanda@msu.edu.my


PROGRAM tadarus al-Quran dapat membentuk insan menjadi Muslim lebih baik khususnya sempena Ramadan.


Setiap umat mesti berani menentang kemungkaran demi mengangkat kegemilangan Islam

SUDAH menjadi ketentuan Allah terjadinya penggantian gelombang antara yang benar dan salah secara bergilir. Ia diwakili oleh generasi yang berhaluan kanan dan kiri. Inilah dua karakter utama yang hidup di atas muka bumi ini sejak zaman Nabi Adam hinggalah akhir zaman nanti.

Ia termaktub dalam al-Quran sebagai pengajaran kepada seluruh umat manusia. Dua golongan ini diberi gelaran Hizbullah dan Hizbuttaghut.

Firman Allah yang bermaksud: "Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya sudah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barang siapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia sudah berpegang kepada ikatan tali yang amat kuat yang tidak akan putus dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 256)

Namun demikian, di tengah-tengah keduanya ada golongan yang memerhati, mengintai dan mengambil peluang untuk sama-sama memperoleh kemenangan. Mereka yang di tengah itu tak peduli, siapa saja yang menang itulah yang akan disokong, ditolong dan dibela supaya mereka mendapat habuan bersama daripada kemenangan itu. Mereka tidak peduli apakah yang menang itu dari barisan orang beriman atau golongan Thaghut (syaitan yang mendorong melakukan kejahatan).

Firman Allah yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepian. Maka jika dia memperoleh kebajikan, tetaplah dia dalam keadaan itu, dan jika dia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah dia ke belakang. Rugilah dia di dunia dan di akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang nyata." (Surah al-Hajj, ayat 11)

Generasi yang di tengah ini sebenarnya tidak mempunyai prinsip tetap, tidak beriman tetapi tidak juga mahu dipanggil 'wahai kafir'. Mungkin mereka patut diberi gelaran generasi 'campur-campur', yang suka mencampur perbuatan yang benar dengan batil.

Penyair ulung lagi terkenal menggoreskan penanya, Muhammad Iqbal menyatakan: "Seorang Muslim tidak diciptakan untuk mengikuti arus gelombang, lalu berjalan mengikuti langkah manusia ke mana saja. Tetapi seorang Muslim diciptakan untuk menatang dan menghadapi dunia, masyarakat dan peradaban. Dialah yang menentukan arah yang harus diikuti manusia, menentukan kehendaknya kepada umat manusia kerana dia memiliki risalah dan tanggungjawab menyelamatkan dunia. Kedudukan seorang Muslim bukan pada kedudukan pengikut dan pak turut. Kedudukan mereka adalah kedudukan pimpinan yang membimbing dan memberi arah, kedudukan menyuruh dan melarang. Apabila zaman menentang dan menyulitkan, masyarakat berpaling ke arah kemungkaran, seorang Muslim tidak patut menyerah dan tunduk mengikuti zaman dan masyarakat itu, tetapi dia mestilah bangun menghadapinya dan tetap berjuang bermati-matian sampai Allah menetapkan ketentuan-Nya."

Demikianlah gambaran seorang Muslim harapan umat yang berusaha mengulangi kegemilangan generasi Islam pertama di bawah naungan Rasul-Nya yang mulia. Setiap Muslim mesti menginginkan dirinya termasuk dalam barisan pembela misi Rasulullah SAW.

Tetapi bukankah itu hanyalah sebuah impian dan angan-angan saja jika kita tidak berusaha memperbaiki karakter diri? Allah berjanji untuk memilih siapakah yang layak masuk dalam barisan pembela agama-Nya.

Antara syarat dan kelayakan seseorang yang berada di dalam barisan pembela misi Allah ialah:

- Kesucian karakter.

Umat Islam kini berhadapan dengan dunia global tanpa sempadan yang memperlihatkan transformasi dalam segala bidang kehidupan. Manusia saling mengenal dan berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran yang begitu kompleks.

Namun demikian lenturan itu pasti membawa kesan terhadap karakter seorang Muslim. Seorang Muslim yang sedar dengan realiti kehidupan kini, pasti merasa gerun terhadap bahaya yang mengancam moral manusia.

Seperti dulu, Baginda Rasulullah SAW begitu sedih menghadapi kerosakan akhlak manusia pada zamannya. Kekuatan yang diperlukan baginda diturunkan dari langit menerusi wahyu Ilahi yang bermaksud: "Wahai orang yang berselimut! Bangunlah, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu, maka agungkanlah! Dan pakaianmu bersihkanlah. Dan perbuatan dosa maka tinggalkanlah. Dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, maka bersabarlah." (Surah al-Muddaththir, ayat 1-7)

Allah menyuruh Baginda SAW dan umatnya supaya menjaga kesucian diri, memperbaiki akhlak dan bersabar di atas jalan yang benar. Untuk itu, Rasulullah SAW pernah mengajar sahabatnya keutamaan menjadi yang terbaik supaya mereka sentiasa mempertingkatkan kredibiliti demi memperkuatkan umat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapakah aku? Sahabat menjawab: Engkau adalah utusan Allah, semoga keselamatan ke atasmu. Nabi SAW bersabda: Aku adalah Muhammad bin Abdul Mutthalib. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia dan menjadikan daripada mereka dua kumpulan. Lalu menjadikan aku di dalam kumpulan yang terbaik, kemudian Dia menjadikan mereka beberapa kabilah dan menjadikan aku dalam kabilah terbaik. Kemudian Dia menjadikan beberapa rumah dan menjadikan aku dalam rumah yang terbaik dan yang paling baik jiwanya." (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi)

- Memiliki kefahaman Islam yang asli.

Sesungguhnya belum sempurna pembersihan diri yang dilakukan tanpa diiringi usaha membekalkan kefahaman Islam. Memahami Islam bukan setakat melaksanakan ibadat fardu dan sunat, tetapi lebih meluas ke medan dakwah, ekonomi, politik dan semua sistem kehidupan.

Ramai generasi baru yang terpengaruh oleh slogan liberalisme dan sekularisme dalam Islam. Memisahkan agama daripada urusan dunia dan mempercayai semua agama adalah benar kerana mengajak manusia ke arah kebaikan.

Racun-racun ini melumpuhkan kefahaman Islam mereka yang kurang pendedahan mengenai Islam. Mereka hanya mengenal Islam dari kulitnya saja tidak sampai ke inti. Lalu Islam menjadi tidak begitu popular dan timbul sangkaan bahawa agama ini agama yang susah, kerana mereka didedahkan mengenai perkara yang haram saja.

Mereka tidak diajar keindahan Islam dan kemudahan ajarannya. Mereka tidak mengetahui jalan manakah yang selamat dan bagaimana melaksanakan Islam seperti asalnya, iaitu berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah Rasulullah SAW dan sunnah Khulafaurrasyidin. Kebanggaan terhadap Islam menjadi luntur di tengah kehebatan fahaman kapitalis, materialis, sosialis, liberalis dan segala bentuk fahaman palsu ciptaan manusia.

- Membabitkan diri dalam misi Allah.

Seorang Muslim harus menyedari dia membawa nama Islam ke mana saja dia pergi dan dengan siapa dia bergaul, maka sudah tentu dia tidak mahu menjadi orang yang mengaibkan Islam dengan sikap dan tingkah laku negatif.

Dia berdiri dengan semangat Islam yang membara untuk merebut peluang mengharumkan nama Islam. Pernahkah anda bertanya pada diri sendiri, apakah yang sudah anda persembahkan untuk kejayaan agama Allah, sudahkah kita menjadi pembela misi Allah yang mahu merancang, mengatur strategi dan membuktikan perjuangan dakwah Islam? Atau mungkin fokus kita hanya mahu mementingkan diri sendiri?

Apakah bukti yang menunjukkan kita memperjuangkan agama? Padahal Umar bin al-Khattab pernah berkata: "Kita adalah kaum yang paling hina, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam maka sekiranya kita mencari kemuliaan dengan selain Islam nescaya Allah akan menghinakan kita."

Untuk apa harta dan kedudukan, ilmu dan kemahiran jika tidak digunakan untuk membela Islam? Semua akan habis, hancur dan lenyap sama sekali, melainkan satu bukti. Bukti yang tertulis dalam kitab biografi seorang hamba, yang tersimpan kukuh di 'Illiyyin.

Kitab itu menyimpan kenangan dan perjuangannya membela misi Ilahi di sepanjang kehidupannya dulu. Apakah ada catatan sebegini dalam biografi hidup kita? Masa masih ada, maka rebutlah peluang sebelum terlambat.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui Juanda@msu.edu.my

No comments: