Oleh Abdurrahman Haqqi
Ramadan bukti Muslim dapat perhatian masyarakat antarabangsa termasuk pemimpin Barat
BERBANDING rukun Islam lain, puasa Ramadan mempunyai citra tersendiri dalam proses dakwah Islam kepada umat bukan Islam. Solat lima waktu sangat terhad kerana dilakukan sekali sekala saja setiap hari yang tidak akan memberikan kesan kewujudan Islam pada mata khalayak masyarakat antarabangsa. Ibadah haji, walaupun menunjukkan wujud pensejagatan kerana pada masa itu masyarakat antarabangsa 'ditumpukan' perhatian terhadap amalan haji empat hari di Tanah Suci. Demikian pula zakat yang lebih terhad lagi bahkan boleh dianggap redup dalam proses pensejagatan Islam kerana terhad pada kalangan tertentu sehingga tidak menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Bagaimana dengan ibadat puasa Ramadan?
Ibadat ini menarik perhatian masyarakat antarabangsa kerana pada bulan kesembilan pada Tahun Hijrah seluruh umat Islam walau di mana berada akan berpuasa dengan tidak makan dan tidak minum serta tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa selama sebulan. Ini bererti umat Islam dalam pemerhatian masyarakat antarabangsa selama 29 atau 30 hari. Bukankah ini lebih lama? Ketika mereka ingin melakukan perhubungan dengan umat Islam mereka akan mengambil kira apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan umat Islam sepanjang bulan suci itu. Setidaknya mereka juga 'perlu' belajar hukum shaum atau puasa.
Oleh itu tidak menghairankan apabila sesetengah pemimpin dunia mengambil kesempatan pada bulan suci ini untuk mengucapkan perutusan khas Ramadan. Kita pernah dengar mengenai perutusan Bill Clinton diikuti George W Bush, Presiden Amerika Syarikat yang mengucapkan perutusan khas Ramadan dan Aidilfitri.
Pada tahun ini pula, Perdana Menteri Britain, Gordon Brown membuat perutusan khas Ramadan dengan dimulakan perkataan Arab citra Ramadan, "Ramadan Mubarak". Walaupun perutusan berkenaan ditujukan kepada umat Islam warga negara Inggeris yang berjumlah dua juta orang, ia juga disebarkan ke seluruh dunia untuk umat Islam seperti disentuh dalam perutusan Menteri Luarnya, David Miliband: "
and of course, to Muslims around the world as well."
Dalam perutusan Gordon Brown itu kita melihat bagaimana pemimpin masyarakat antarabangsa berpengaruh yang bukan Islam 'terpengaruh' dengan proses dakwah Islam sejagat bahkan dia mengingatkan umat Islam dengan nasihat yang betul. Beliau berkata: "Ramadhan teaches patience and humility, and reminds us of our shared moral universe; our obligation to others." Bahkan, Perdana Menteri Britain itu pun merujuk hadis untuk menyokong agendanya ketika beliau berkata: "The hadith of the Prophet Muhammad (peace be upon him) emphasizes the duty of care we owe to one another."
Proses pensejagatan Islam menerusi dakwah Ramadan tidak boleh ditutup lagi pada era ledakan maklumat ini. Di mana dan siapa pun yang sudah sampai kepadanya ledakan ini tidak akan 'terselamat' daripada sentuhan dakwah Islam. Oleh itu, kita banyak mempunyai rancangan antarabangsa bersempena Ramadan seperti Ramadan in the World dan memeluk Islam kerana Ramadan.
Sebulan bukan masa yang singkat dan masyarakat antarabangsa selama itu pula didedahkan dengan kegiatan keramadanan umat Islam di seantero dunia dan diulang-ulang setiap tahun sehingga ada orang yang berkata Islam itu Ramadan bukan solat seperti yang ditetapkan dalam hadis yang menyebutkan bahawa perbezaan Islam dengan bukan Islam adalah mengerjakan solat. Islam bukan agama tempatan atau serantau tapi adalah agama global. Islam bukan untuk bangsa tertentu tapi untuk semua bangsa. Islam bukan agama untuk sesetengah golongan tapi untuk semua golongan.
Keberhasilan tersebar Islam ke seluruh dunia tidak lain dan tidak bukan kerana dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in dan seterusnya. Tercatat dalam sejarah bahawa lemah lembut adalah faktor utama Islam diterima oleh hati penghuni dunia, bukan dengan pedang atau kekerasan.
Hal ini dapat dilihat ketika Rasulullah SAW dan sahabatnya menguasai kota Makkah selepas berhijrah ke kota Madinah selama lebih lapan tahun dan pada saat itu kaum Musyrikin Makkah tidak memiliki kekuatan lagi untuk melawannya sedangkan ketika berkuasa, mereka sangat kejam terhadap Rasulullah dan sahabatnya. Baginda tetap memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada mereka sama ada tetap menjadi kafir atau Muslim. Baginda bersabda maksudnya: "Kalian bebas merdeka di muka bumi ini, tidak ada kedengkian dan hasad di antara kita."
Ternyata kebesaran jiwa Baginda itu adalah refleksi dan manifestasi daripada kemuliaan ajaran Islam, mereka semua secara sedar dan sukarela mengucapkan dua kalimat syahadat dan menerima Islam sebagai agama mereka. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Nasr maksudnya: "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), dan engkau melihat manusia masuk agama Allah beramai-ramai, maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia sangat-sangat menerima taubat,"
Daripada pengalaman keberhasilan syiar Islam yang banyak tercatat dalam sejarah menjadi pedoman dan metod yang patut diikuti untuk meraih kembali keberhasilan itu. Sayyid Qutub dalam Ma'alim fi al-Tariq menulis: "Ada fakta penting yang perlu kita jadikan pedoman dalam gerakan dakwah, sama ada dakwah di kalangan orang yang sudah menganut Islam atau belum. Fakta itu terbit daripada tabiat dan sejarah Islam sendiri."
Fakta itu ialah Islam konsep yang lengkap mengenai pengertian wujud dan hidup, suatu konsep yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Konsep itu kemudian melahirkan program tersendiri mengenai seluruh aspek kehidupan; program yang menjadi dasar kepada suatu sistem yang unik. Konsep ini berlainan dengan seluruh konsep jahiliah, sama ada kuno atau moden. Kadangkala kelihatan ada beberapa titik persamaan antara konsep Islam dalam beberapa aspek tertentu, yang juga masalah sampingan; tetapi sumber asal dari mana soal sampingan itu datang adalah berlainan daripada apa yang pernah dikenal oleh umat manusia selama ini.
Tugas utama Islam ialah membentuk hidup umat manusia; hidup yang selaras dengan konsep ini dan menjelmakan konsep ini ke dalam alam realiti di samping menegakkan peraturan Ilahi yang digariskan oleh Allah SWT dan mampu melahirkan umat Islam yang akan menjadi model bagi terlaksananya peraturan Ilahi itu. Di sinilah kelebihan Ramadan bermain dan memegang peranan yang penting dalam menjayakan pensejagatan Islam yang tentunya tidak boleh dilakukan kecuali oleh orang pilihan Tuhan. Ramadan Karim.
INFO
Fadilat Ramadan
Proses pensejagatan Islam menerusi dakwah Ramadan tidak boleh ditutup lagi pada era ledakan maklumat ini.
Sebulan bukan masa yang singkat dan masyarakat antarabangsa selama itu pula didedahkan dengan kegiatan keramadanan umat Islam di seantero dunia.
Ketika masyarakat bukan Islam ingin melakukan perhubungan dengan umat Islam mereka akan mengambil kira apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan umat Islam sepanjang bulan suci itu, setidaknya mereka juga 'perlu' belajar hukum shaum atau puasa.
Tidak menghairankan apabila sesetengah pemimpin dunia termasuk di Britain mengambil kesempatan pada bulan suci ini untuk mengucapkan perutusan khas Ramadan.
Walaupun perutusan ditujukan kepada umat Islam warga negara Inggeris, ia juga disebarkan ke seluruh dunia untuk umat Islam seluruh dunia.
Tercatat dalam sejarah bahawa lemah lembut adalah faktor utama Islam diterima oleh hati penghuni dunia, bukan dengan pedang atau kekerasan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment