Thursday, September 4, 2008

Hak Muslim : Mahkamah berhak arah bayar nafkah bekas isteri

BOLEHKAH saya menuntut nafkah yang tidak diberi suami sepanjang tempoh perkahwinan, sedangkan kami sudah bercerai hampir setahun lalu? Bagaimanakah saya hendak membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas suami tidak memberikan nafkah.

Salmah,

Kajang, Selangor.

ASAL makna nafkah ialah mengeluarkan atau menghabiskan. Nafkah daripada istilah syarak ialah semua perkara yang diperlukan manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Dinamakan nafkah kerana ia dikeluarkan atau dihabiskan dengan tujuan mendapat keperluan itu.

Ijmak ulama mengatakan suami wajib memberi nafkah kepada isterinya dengan syarat tertentu, berpandukan kepada firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pimpinan dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.” (Surah An-Nisa’, ayat 34)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan ibu hendaklah menyusukan anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut yang sepatutnya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 233)

Mengikut hukum syarak, nafkah isteri yang paling asas ialah tiga perkara iaitu makanan dan minuman, pakaian serta tempat tinggal.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan perempuan (isteri). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). Jika mereka melakukannya pukullah mereka dengan pukulan yang tidak terlalu menyakitkan (terlalu mendera). Kewajipan kamu pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik. Sesungguhnya aku telah tinggalkan kepada kamu satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah.” (Hadis riwayat Muslim)

Seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Prinsip asal, suami wajib memberi nafkah kepada isterinya, melainkan suami dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa isteri seorang yang nusyuz atau tidak menyerahkan dirinya untuk ‘istimta’.

Dalam bab nafkah, prinsip pembuktian yang dipakai adalah sama dengan kes lain iaitu: “Keterangan ditanggung oleh yang mendakwa (al-mudda’ie). Al-muddaie ialah sesiapa yang membuat dakwaan pada sesuatu perkara yang tidak muafakat dengan zahir atau asal. Zahir atau asal ialah asal nafkah tidak diberi atau tidak ada. Nafkah adalah suatu perkara yang mendatang. Kaedah fiqh berbunyi ‘asal pada perkara yang mendatang ialah tiada.’

Dalam kitab al-Asbah wa an-Nazair oleh Imam As-Sayuti ada menyebut pihak yang mendakwa ada memberikan nafkah adalah al-Mudda’ie. Merujuk kepada prinsip asal nafkah itu perkara yang tiada dan jika suami mendakwa ada memberi nafkah, maka bekas suami yang menanggung beban untuk membuktikan dia ada memberi nafkah kepada puan sepanjang perkahwinan itu.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

No comments: