Oleh Mohd Adid Abd Rahman
ISLAM menuntut setiap insan supaya berusaha mengejar dan mencari sedapat mungkin keperluan bagi menyempurnakan sebuah kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Cara paling sesuai dianjurkan Islam ialah dengan bersederhana.
Pada masa sama, perlu ada keseimbangan supaya kedua-dua tuntutan dunia dan akhirat dapat disempurnakan sebaiknya seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Beramallah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu, seolah-olah kamu akan mati besok pagi.” (Hadis riwayat Ibn Asakir)
Kehidupan di dunia dan akhirat hendaklah seimbang kerana kejayaan kehidupan akhirat bergantung kepada kejayaan hidup di dunia terutama dalam mencari reda Allah. Tidak boleh berat sebelah timbangan kerana ini akan menimbulkan ketidakseimbangan.
Oleh itu, tidak boleh ditumpukan kepada keperluan hidup di dunia semata-mata sehingga terlupa untuk mencari keperluan hidup di akhirat dan begitulah sebaliknya, tidak boleh ditumpukan kepada keperluan hidup di akhirat semata-mata hingga terlupa mencari keperluan hidup di dunia sekarang.
Mengambil jalan bersederhana dalam segala hal menggambarkan satu gambaran akhlak yang sangat murni dan terpuji. Sifat inilah yang sentiasa menghiasi kehidupan Rasulullah SAW sehari-hari sepanjang perjalanan hayatnya.
Sewajarnya sebagai umatnya, kita perlu mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dengan cara mengamalkan sifat sederhana dalam semua perkara. Ia satu tindakan terbaik dan pilihan paling tepat bagi seorang Muslim.
Rasulullah SAW pernah mengakui bahawa sederhana dalam segala aspek itu adalah bagus seperti sabda Baginda bermaksud: “Sebaik-baik perkara adalah tengah-tengahnya (sederhana).” (Hadis riwayat Baihaqi)
Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan jangan pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.” (Surah al-Isra’, ayat 110)
Kesederhanaan tidak terhad kepada perbelanjaan saja, tetapi perlu dititikberatkan dalam semua aspek kehidupan termasuk dalam percakapan, pergaulan, beribadat, berpakaian dan menguruskan kerjaya serta kehidupan peribadi.
Namun, dalam suasana hari ini, bersederhana dalam perbelanjaan sangat penting bagi menseimbangkan ekonomi keluarga selepas berbelanja menyambut Hari Raya.
Ini sebagai persediaan melalui hari mendatang sementara menanti gaji akan datang kerana sepanjang Syawal ini kita masih perlu berbelanja untuk pergi bekerja sementara anak juga hendak diberi wang saku ke sekolah.
Sesungguhnya pembaziran itu perbuatan syaitan. Allah dengan nada tegas melarang manusia membazir. Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu menghamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros itu saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 26-27)
Lantaran itu, Islam menganjurkan supaya kita berjimat cermat dalam perbelanjaan, tidak boros dan tidak suka bermewah dengan tujuan bermegah-megah.
Bersederhana dalam perbelanjaan juga bermakna tidak boleh kedekut, kikir atau terlalu `berkira’. Ia penyakit hati yang perlu dikikis sebelum merebak parah. Lantaran apabila kedekut sudah menguasai diri, maka dia akan menjadi orang yang sombong, mementingkan diri sendiri, tidak mahu bersyukur dengan kurniaan Allah.
Firman Allah bermaksud: “Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaan-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Tetapi kebakhilan itu buruk bagi mereka, harta yang mereka bakhilkan akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat.” (Surah ali-Imran)
Menyalurkan perbelanjaan pada tempat yang sesuai dengan kehendak agama dan diredai Allah juga dikira sebagai bersederhana dalam perbelanjaan. Misalnya menyumbangkannya untuk kesejahteraan keluarga sendiri, untuk pembinaan masjid, pembelaan anak yatim dan orang lemah.
Orang yang murah hati atau dermawan akan pasti dihormati dan disanjungi masyarakat walaupun itu bukan dipinta olehnya, bahkan mendapat balasan sewajarnya daripada Allah seperti firman yang bermaksud: “Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup dan sedikitpun kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)
Sesungguhnya bersederhana itu akan memberi kesan positif kepada diri seperti lahirnya sifat tenang dan sabar dalam jiwa, menjadi manusia berdisiplin dan bertanggungjawab baik. Orang yang bersederhana akan memperoleh kejayaan sama ada di dunia serta akhirat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment