Oleh Hasliza Hassan
PADA suatu ketika Nabi Musa berdakwah kepada kaumnya mengenai ajaran Allah. Selesai Baginda berucap, bangkit seorang lelaki lalu bertanya: "Wahai Musa! Siapakah manusia yang paling pandai?" Dengan pantas Nabi Musa menjawab: "Aku!"
Lelaki itu bertanya lagi: "Adakah pernah kau tahu, ada orang lebih berilmu daripada kau." "Tidak!" jawab Nabi Musa. Tetapi jawapan Nabi Musa segera ditegur Allah kerana ucapannya itu mempunyai riak. Lantas Allah menurunkan wahyu menyatakan ada lagi seorang hamba-Nya yang lebih berilmu.
Insaf dengan teguran Allah, bersama seorang pengikutnya, Yusak bin Nuh, Nabi Musa bermusafir mencari lelaki salih itu sehingga menemuinya di satu tempat bertemunya dua lautan. Dikatakan tempat itu ialah di pertemuan Teluk Suez dengan Teluk Akabah di laut Merah kerana di situlah lokasi peredaran sejarah kehidupan Bani Israel yang dipanggil Daratan Sinai selepas mereka keluar dari bumi Mesir.
Sebagai pesuruh Allah Nabi Musa memiliki ketinggian ilmu sehingga dapat menghadapi kezaliman dan keangkuhan Firaun, Haman dan Qarun. Baginda juga berdepan pelbagai kerenah Bani Israel sehingga dikurniakan mukjizat hebat seperti boleh membelah lautan, tongkat menjadi ular dan diturunkan makanan dari langit.
Kata-kata Nabi Musa itu dicelah Allah dan mengutuskan Nabi Khidir untuk menyedarkan Baginda bahawa masih ada hamba-Nya yang lebih berilmu. Nabi Khidir adalah seorang salih yang berperanan menyebarkan risalah Allah kepada orang di sekelilingnya.
Nabi Khidir ditugaskan membimbing Nabi Musa yang hidup pada zamannya. Baginda tidak dikurniakan mukjizat seperti Nabi Musa, sebaliknya diajarkan ilmu secara laduni.
Al-Quran menceritakan pertemuan Nabi Musa dengan lelaki salih yang disebut sebagai hamba-Nya yang diajarkan ilmu laduni iaitu pengetahuan yang diperoleh orang salih secara langsung daripada Allah melalui ilham dan inspirasi, tanpa dipelajari menerusi proses pendidikan.
Nabi Musa meminta untuk belajar dengan Nabi Khidir dan sebagai syarat, Baginda dilarang bertanyakan soalan setiap perbuatan yang dilakukan Nabi Khidir. Syarat itu dipenuhi Nabi Musa.
Ketika mereka berdua menaiki perahu, Nabi Khaidir merosakkannya sehingga tenggelam. Perbuatan itu menimbulkan persoalan bagi Nabi Musa, mengapakah Nabi Khidir tergamak merosakkan harta benda orang lain.
Apabila terserempak dengan seorang kanak-kanak, Nabi Khidir membunuhnya. Kemudian mereka sampai di sebuah bandar dan meminta makanan daripada penduduk di situ, tetapi mereka enggan memberinya. Tiba-tiba Nabi Khidir terlihat dinding sebuah rumah yang hampir roboh, lantas dia membetulkannya.
Nabi Musa tambah kehairanan, sikap baik Nabi Khidir kepada penduduk yang enggan memberi mereka makanan. Ikuti kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir dalam Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment