Thursday, September 18, 2008

Hak Muslim: Wanita ada hak tuntut mas kahwin walau bercerai

Surat Perakuan Nikah negeri iktiraf pemberian hak mutlak, tak boleh diambil kembali

APAKAH yang dimaksudkan dengan mas kahwin. Berapakah jumlah mas kahwin yang disarankan Islam dan jika suami masih belum menjelaskan mas kahwin sehingga kami bercerai, adakah saya masih boleh menuntutnya. Bagaimanakah prosedur untuk menuntutnya.

Hasnah,
Shah Alam

Mas kahwin ialah pemberian yang wajib daripada lelaki kepada perempuan dikahwininya sama ada sebelum, sesudah atau pada waktu akad nikah dilakukan dan ia tidak dapat digantikan dengan pemberian lain.

Kewajipan itu dinyatakan dengan jelas dalam firman Allah yang bermaksud: "Berikanlah kepada perempuan itu mahar (mas kahwin) sebagai satu pemberian dengan penuh kerelaan." (Surah an-Nisa, ayat 4)

Pemberian mas kahwin kepada perempuan yang dikahwini adalah sebagai tanda gembira hati seorang lelaki menerima pasangan hidupnya dengan penuh rela dan berlapang dada. Mas kahwin boleh diberi dalam bentuk wang, barang kemas dan sebagainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah mas kahwin walau dengan sebentuk cincin besi sekalipun."

Islam tidak menentukan kadar bagi pemberian mas kahwin. Ia bergantung kepada adat sesuatu masyarakat. Namun, Rasulullah SAW menyatakan sebaik-baik mas kahwin adalah yang tidak membebankan pengantin lelaki. Diriwayatkan Ibnu Abbas, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Mas kahwin yang terbaik ialah yang teringan."

Islam menggalakkan pihak keluarga wanita tidak meletakkan mas kahwin yang tinggi dan membebankan lelaki. Selain itu, dapat mengelakkan lelaki terbabit dengan hutang dan masalah kewangan selepas berkahwin.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya wanita yang terbaik ialah yang paling ringan mas kahwinnya."

Di setiap negeri sudah ditetapkan jumlah mas kahwinnya dan jumlahnya adalah munasabah serta wajar. Contohnya, kadar mas kahwin di Selangor ialah RM80 bagi anak dara dan RM40 bagi janda, manakala di Perak sebanyak RM101. Kebanyakan negeri membezakan antara mas kahwin dan hantaran. Cuma Kelantan saja yang menyebut hantaran sebagai mas kahwin.

Oleh kerana mas kahwin ialah pemberian yang wajib, untuk mengelakkan timbulnya masalah pada kemudian hari, ia dijadikan sebagai peruntukan undang-undang. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, Seksyen 21 memperuntukkan bahawa:

"Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang menikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua saksi lain. Pendaftar hendaklah mengenai tiap-tiap perkahwinan yang hendak didaftarkan olehnya, menentu dan merekodkan nilai dan butir lain mas kahwin, nilai dan butir pemberian, nilai dan butir lain apa-apa bahagian mas kahwin atau pemberian atau kedua-duanya yang dijanjikan, tetapi tidak dijelaskan pada masa akad nikah itu dan tarikh yang dijanjikan untuk penjelasan dan butir cagaran diberi bagi menjelaskan mas kahwin atau pemberian."

Dalam Surat Perakuan Nikah negeri ada ruangan catatan nilai mas kahwin dan pemberian lain. Tujuan peruntukan itu diadakan ialah supaya mas kahwin dan pemberian daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan diiktiraf menjadi pemberian mutlak dan tidak boleh diambil kembali oleh pihak lelaki, walaupun berlaku perceraian seperti diperuntukkan dalam Seksyen 59, enakmen sama bahawa: "Tiada apa-apa juga yang terkandung dalam enakmen ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah hukum syarak terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan."

Dalam hal ini, jika perkahwinan sudah dibubarkan atau perceraian berlaku, tetapi pihak lelaki masih belum menjelaskan mas kahwin, maka ia dianggap sebagai suatu hutang. Ia boleh dituntut oleh pihak perempuan menerusi tindakan mahkamah syariah.

Caranya, puan boleh memfailkan tuntutan di mahkamah syariah tempat puan tinggal, untuk menuntut kembali mas kahwin yang belum dibayar itu. Saman akan diserahkan kepada bekas suami untuk hadir dan menjawab tuntutan berkenaan. Jika bekas suami membantah, maka mahkamah boleh membicarakan dan memutuskannya.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com.

Sila layari http://peguamsyarie.>blogspot.com

No comments: