AL-QURAN menjadi panduan kegiatan dunia dan akhirat.
Kitab suci bukan sekadar untuk dibaca, patut jadi sumber tangani pelbagai masalah ummah
SAYYID Qutb dalam tafsirnya Fi Zilal al-Quran menyatakan bahawa turunnya al-Quran adalah satu kelahiran dan kehidupan baru bagi manusia. Pernyataan itu bermaksud al-Quran adalah pemisah di antara zaman jahiliah dan masa Islamiah.
Pertukaran era kebodohan dengan masa ilmu pengetahuan, perbezaan antara yang hak dan batil. Maka kedatangan al-Quran seakan menciptakan generasi baru dalam sejarah manusia, generasi yang bertamadun dan berbudaya di bawah payung kemuliaan ajaran Islam. Inilah makna kelahiran baru itu.
Masa dan kegunaan diturunkan al-Quran dengan tegas jelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Bulan Ramadan diturunkan padanya al-Quran sebagai huda (petunjuk) bagi manusia dan bayyinah (penjelasan) daripada petunjuk dan furqan (pemisah)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Ertinya, al-Quran itu diturunkan pada Ramadan dan fungsinya sebagai petunjuk bagi manusia dalam menempuh perjalanan hidupnya di dunia menuju kehidupan yang sesungguhnya di akhirat nanti.
Dengan al-Quran manusia akan sedar matlamat hidup yang akan ditempuh dan cara mencapai tujuan hidup sehingga mereka tidak salah melangkah dan gagal mencapai hakikat kehidupan.
Selain berfungsi sebagai petunjuk, al-Quran juga berfungsi sebagai penjelasan dan pemisah antara benar dan salah, baik dan buruk, yang mesti dilakukan dan yang harus ditinggalkan supaya manusia tidak lagi berada dalam kegelapan.
Ulama berbeza pendapat dalam menceritakan proses turunnya al-Quran. Ada sebahagian berpendapat al-Quran diturunkan menempuh tiga langkah. Sebahagian yang lain menyatakan hanya menempuh dua langkah.
Proses pertama, al-Quran turun ke Luhul Mahfuz seperti firman Allah yang bermaksud: "Akan tetapi dia adalah al-Quran yang mulia yang berada di Luhul mahfuz." (Surah al-Buruj, ayat 21-22). Namun, ulama tafsir menyatakan turunnya al-Quran ke Luhul Mahfuz tidak diketahui bagaimana cara dan bila masanya. Ia adalah rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Bijaksana.
Kedua, al-Quran diturunkan dari Luhul Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia. Peristiwa itu terjadi pada malam lailatul qadar seperti firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kami turunkan al-Quran itu pada malam qadar." (Surah al-Qadr, ayat 1)
Dikatakan juga pada malam al-mubarakah, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kami turunkan al-Quran itu pada malam mubarakah." (Surah al-Dukhan, ayat 3) Kedua malam itu adalah malam yang sama yang terjadi pada satu malam di bulan Ramadan.
Ketiga, al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah yang berada di langit dunia secara beransur-ansur, terpisah-pisah melalui Malaikat Jibril kepada Rasul SAW selama kira-kira 23 tahun. Proses turun dari Baitul Izzah kepada Rasul SAW dikatakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran diturunkan Tuhan sekalian alam. Dibawa turun oleh Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu supaya kamu (Muhammad) menjadi seorang daripada pemberi peringatan (kepada umat manusia). (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata." (Surah al-Syu'ara', ayat 192-195)
Namun, Imam Sayuti dan ulama tafsir lainnya berpendapat turunnya al-Quran itu hanya melalui dua proses, iaitu dari Luhul Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia dan dari Baitul Izzah kepada Rasulullah SAW melalui Malaikat Jibril.
Sayuti tidak menganggap turunnya ke Luhul Mahfuz adalah bahagian dari proses nuzul al-Quran, sebab al-Quran sememangnya sudah berada di Luhul Mahfuz dan tiada riwayat yang menceritakan di mana al-Quran berada sebelum di Luh al-Mahfuz itu.
Ulama juga berbeza pendapat mengenai ayat pertama diturunkan. Sekurang-kurangnya ada tiga pendapat membincangkan perkara itu. Pertama ialah surah al-Alaq berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Ummul Mukminin Aisyah, yang menceritakan pengalaman Rasulullah SAW didatangi Jibril di Gua Hira'.
Pendapat kedua mengatakan ayat pertama diturunkan ialah surah al-Mudassir, juga berdasarkan hadis Bukhari dan Muslim dari Abu Salamah bin Abd Rahman yang menceritakan bahawa Abu Salamah bertanya kepada Jabir bin Abdullah mengenai ayat pertama turun.
Maka Jabir menjawab, aku akan ceritakan kepadamu apa yang diceritakan Rasulullah SAW kepada kami iaitu: "Ketika aku akan turun dari Hira' aku mendengar suara memanggilku. Kulihat ke kiri dan ke kanan, aku tidak melihat siapapun. Kulihat kemuka dan ke belakang juga tidak ada siapapun, lalu kulihat ke atas dan aku melihat sesuatu. Maka aku segera pergi kepada Khadijah dan berkata: Selimuti aku, selimuti aku dan siramkan air dingin kepadaku. Maka aku diselimuti dan diusap dengan air dingin. Pada saat itu turunlah ayat surah al-Mudassir." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Ketiga, ayat yang pertama turun adalah "Bismillahirrahmanirrahim". Pendapat itu berdasarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu Abbas bahawa ayat pertama diturunkan Jibril kepada Rasulullah SAW adalah Bismillahirrahmanirrahim.
Pendapat lain dikatakan oleh al-Wahidi dari Ikramah dan Hasan bahawa ayat pertama turun dari al-Quran adalah Bismillahirrahmanirrahim akan tetapi surah yang pertama turun adalah Iqra'.
Namun majoriti ulama berpendapat bahawa ayat pertama turun kepada Muhammad sebagai seorang Nabi adalah Iqra'. Adapun surah al-Mudassir dapat dikatakan ayat pertama turun jika dilihat dari posisi Muhammad sebagai seorang Rasul. Sebab pada surah al-Mudassir baru ada perintah untuk menyampaikan ajaran agama kepada manusia seperti tugas seorang Rasul.
Peranan al-Quran dalam kehidupan berfungsi sebagai huda, bayyinat dan furqan. Oleh kerana itu al-Quran mestilah sentiasa dibaca, dijiwai dan diamalkan dalam kehidupan sehari-hari.
Rasulullah SAW berkomunikasi dengan tuhan melalui wahyu, maka manusia akan berkomunikasi dengan Allah melalui al-Quran kerana al-Quran adalah kalamullah, maka orang yang membaca al-Quran seakan Allah sedang berbicara dengannya. Orang yang enggan membaca al-Quran bermakna sudah memutuskan tali penghubung di antara dirinya dengan tuhannya.
Selain dibaca, al-Quran mesti dijiwai supaya wujud manusia yang berakhlak al-Quran seperti disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, sikap hidup seorang Muslim harus mencerminkan apa yang diperintahkan oleh al-Quran dan menjauhi apa dilarangnya.
Sebenarnya aspek terpenting dari al-Quran itu adalah mengamalkan, menggali dan mencari sari serta hikmahnya kerana al-Quran sumber ilmu pengetahuan bagi kesejahteraan dan kemaslahatan hidup manusia.
Menerokai keagungan dan kebesaran al-Quran akan banyak beroleh keajaiban alam yang bermanfaat untuk ilmu pengetahuan manusia. Inilah dilakukan para ulama dan saintis Islam terdahulu di Baghdad, Sepanyol dan Istanbul pada masa kegemilangan dan kejayaan tamadun Islam dulu.
Sewajarnya peringatan Nuzul al-Quran dijadikan sebagai tempat kembali menjadikan al-Quran sumber bagi menghidupkan kemaslahatan umat bukan hanya sekadar dibaca dan disimpan dalam almari. Peringatan Nuzul Quran untuk membangkitkan dan menghidupkan semangat kejayaan Islam demi masa depan lebih baik.
No comments:
Post a Comment