Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Adil bermaksud pemberian diagih sama rata kepada mereka yang berhak tanpa pilih kasih
PEMIMPIN akan didahulukan dalam protokol majlis rasmi atau tidak rasmi, sebab itu pemimpin dikatakan orang yang didahulukan selangkah. Alasannya mudah, supaya pemimpin mudah dijangkau dan ditemui rakyat atau orang yang dipimpin.
Selain terkehadapan daripada orang lain, pemimpin juga orang yang lebih dihormati kerana tanpa rasa hormat, perintah dan arahan tidak diikut.
Namun yang lebih baik ialah antara pemimpin dan rakyat, jauhnya tidak berjarak, dekat tidak berantara dan hubungannya menyatu tanpa ada hierarki yang jelas. Oleh itu, untuk bertemu pemimpin, tidak perlulah melalui syarat dan peraturan ketat kerana sebaiknya dimudahkan kedatangan orang yang membawa hajat besar.
Lebih baik lagi jika pemimpin yang datang bertemu rakyat, sedikit sebanyak terasa berbaloi memilih pemimpin yang bertanggungjawab dan amanah dengan tugas. Setiap pemimpin dipilih oleh rakyat dan menjadi tanggungjawab mereka untuk berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
Adil bukanlah bererti setiap orang mendapat apa yang mereka minta tetapi bermaksud memberikan sesuatu kepada mereka yang berhak.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman." (Surah an-Nahl, ayat 90)
Melakukan kezaliman kepada rakyat atau orang yang dipimpin termasuklah tidak mengagihkan perhatian dengan adil, memberi kepada yang berhak, merampas hak rakyat, menipu rakyat demi kepentingan diri, menambah kekayaan dengan cara tidak betul, serta gagal memenuhi janji.
Ada pemimpin yang dipilih oleh pengikut yang mempunyai kepentingan diri tanpa mengambil kira keutamaan dalam kepemimpinan, sering mendedahkan diri kepada fitnah yang menyebabkan tohmah berleluasa kepada diri sendiri dan ahli keluarga serta tidak berfikir panjang sebelum bertindak sehingga menggagalkan hala tuju, wawasan, misi dan objektif organisasi.
Kepentingan diri adalah satu nilai yang tidak perlu diutamakan apabila dilantik sebagai pemimpin kerana tugas pemimpin ialah menjaga kepentingan orang yang dipimpin secara keseluruhannya.
Amanah pula bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang diletakkan ke atasnya.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahli (yang berhak) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi melihat." (Surah an-Nisa', ayat 58)
Tugas memimpin hanya perlu diberikan kepada ahlinya saja, iaitu yang amanah kerana pemimpin akan berurusan dengan amanah, sama ada amanah manusia atau amanah Allah. Begitu juga apabila perlu membuat keputusan atau memberi pengadilan.
Maka ia perlu dijatuhkan dengan adil tanpa mempunyai perasaan ingin menjaga hati pihak bersekutu atau takut tidak menjadi popular dalam lingkungan orang yang dipimpin kerana membuat keputusan yang tidak menggembirakan, sedangkan itulah yang paling baik.
Setiap pemimpin harus tidak lupa bahawa Allah sentiasa mendengar dan melihat. Dia tahu apa yang tersirat di sebalik keputusan dibuat atau apa yang dikata, walaupun pengikut hanya melihat zahirnya saja.
Diriwayatkan oleh Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dan tidak beriman bagi seseorang yang tidak amanah."
Tadbir urus yang baik dalam kepemimpinan, sama ada melalui institusi perkahwinan, pengurusan, pendidikan dan perniagaan hanya dapat dilaksanakan jika kita mempunyai pemimpin adil dan amanah untuk memacu negara ke arah kemajuan serta mendapat rahmat Allah.
Contohnya, dalam bidang perundangan, ketua yang adil dan amanah penting untuk memberi peluang pihak bertelagah mempertahankan diri secara sama rata dan hakim menjatuhkan hukuman selepas mengambil kira prinsip keadilan secara keseluruhan. Ini bermakna kemenangan diberi kepada pihak yang berhak selepas menjalankan tugas diamanahkan negara dengan penuh tanggungjawab.
Dalam institusi perkahwinan pula, pemimpin keluarga ialah suami. Walaupun suami sudah tidak berupaya menunaikan tanggungjawab mencari nafkah, menjaga anak atau memberi perbelanjaan kepada ahli keluarga, isteri tidak akan mengambil alih tanggungjawab memimpin, sebaliknya hanya membantu suami.
Tanggungjawab suami dan isteri adalah sama berat sebab itulah sifat adil dan amanah mesti wujud dalam hubungan suami isteri, iaitu suami mencari nafkah dan isteri mengurus rumah tangga. Sama-sama mencari nafkah, sama-samalah mengurus rumah tangga.
Bahkan isteri yang ditinggalkan suami (cerai atau mati) juga diberi keadilan. Jika ada adil dan amanah dalam rumah tangga, pastilah tidak ada hati yang bersedih.
Dalam pemerintahan, diriwayatkan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika (anakku) Fatimah mencuri nescaya aku akan memotong tangannya."
Sebagai seorang pemerintah, Rasulullah SAW tidak pernah berat sebelah, sebaliknya memartabatkan nilai adil dan amanah supaya menjadi ikutan sahabat dan membuktikan bahawa akhlak pemimpin dalam Islam adalah tidak sama dengan sebaliknya.
Hakikat ini terbukti ketika pelantikan Abu Bakar sebagai khalifah pertama, di mana beliau menyatakan dasar kepemimpinannya dalam khutbah seperti berikut: "Wahai manusia, sekarang aku memegang pekerjaan kamu ini, tetapi bukanlah aku orang yang lebih baik daripada kamu. Jika aku berlaku adil dalam urusanku, sokonglah aku. Tetapi jika aku berlaku salah, betulkanlah aku kembali. Kejujuran adalah suatu amanat, kedustaan adalah suatu khianat."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment