BUKAN semua rakyat memerlukan bantuan kerajaan atau pemimpin, kadangkala mereka hanya ingin melihat pemimpin menjenguk muka.
Kepemimpinan Nabi Saleh berteraskan dua sifat wajar dicontohi
KETOKOHAN seorang pemimpin dapat dilihat dari segi kemampuannya memegang amanah dan menyampaikan nasihat, kerana kedua-dua sifat itu berkaitan dengan keadaan kehidupan masyarakat yang dipimpinnya.
Kedua-dua sifat itu hanya dapat diamalkan dengan baik jika pemimpin itu benar-benar mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat dan ia penting untuk mengetahui apa yang sebenarnya diperlukan rakyat.
Jika ada pemimpin yang sangat berkira untuk menemui rakyat, apatah lagi yang berada dalam kesusahan, maka pemimpin itu bukanlah pemimpin boleh menyampaikan nasihat kerana tidak mampu menyesuaikan diri.
Perlu diingat bukan semua rakyat memerlukan bantuan kerajaan atau pemimpin, kadangkala mereka hanya ingin melihat pemimpin menjenguk muka.
Kedua-dua sifat itu sangat menonjol pada kepemimpinan Nabi Saleh sehingga kepemimpinannya dapat dijadikan sebagai acuan bagi pemimpin berikutnya. Kesungguhannya dalam mengamalkan kedua-dua sifat ini membuatnya mendapat pujian dan sanjungan Allah sehingga Nabi Saleh dan pengikutnya diselamatkan Allah daripada kehinaan.
Pujian dan sanjungan seperti diperoleh Nabi Saleh tidak mustahil pula akan dapat dirasai oleh pemimpin yang ada sekarang, selama kebijaksanaan yang dilakukannya benar-benar memihak kepada kepentingan rakyat.
Justeru, tidak mustahil Nabi Muhammad SAW mendapat kedudukan pertama dalam senarai 100 orang yang paling berpengaruh di dunia menerusi buku ditulis seorang astrofizik terkenal dan seorang penulis sejarah, Michael H Hart, yang mengundang pelbagai kontroversi akibat tulisannya yang sangat kritis.
Buku pertama Michael yang diterbitkan pada 1978 bertajuk The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, terjual lebih daripada 500,000 cetakan dan diterjemah ke dalam 15 bahasa. Buku itu meletakkan kepemimpinan Nabi Muhammad SAW sebagai yang paling berpengaruh dalam sejarah ketamadunan manusia.
Hak dan tanggungjawab kepada rakyat yang mesti diutamakan ialah dalam bidang pendidikan dengan memperluaskan pemahaman ilmu aqli dan naqli serta tasawur Islam kepada masyarakat.
Banyak institusi pengajian tinggi hari ini memperkenalkan silibus menggabungkan bentuk pengajian tradisi dan kontemporari serta mendedahkan ilmu wahyu serta sekular supaya pelajar mudah membuat perbandingan antara kekuasaan Allah dengan kebijaksanaan manusia.
Gabungan itu juga memperlihatkan keupayaan cerdik pandai menilai sesuatu dengan ilmu secara analisis supaya tidak bertentangan dengan syariat, bukannya menerima bulat-bulat segala apa yang disampaikan.
Kerajaan juga perlu memperbanyakkan peluang pendidikan secara bersepadu pada semua peringkat pengajian, selain memantapkan penguasaan bacaan al-Quran. Siti Khadijah, isteri pertama Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang hartawan paling banyak berkorban hartanya kepada perjuangan Islam sehingga Rasulullah SAW sendiri tidak putus-putus menyebut kebaikan Siti Khadijah yang sanggup menyerahkan tulang belulangnya jika laku untuk dijual bagi menegakkan syiar Islam.
Dalam aspek ekonomi pula, kepentingan rakyat ialah untuk diperluaskan potensi pengeluaran produk tempatan yang halal bertaraf antarabangsa bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah, mencukupkan keperluan hidup mereka dan memperkemas serta meningkatkan keupayaan sistem muamalah Islam dalam industri perbankan.
Manakala dari segi sosial, kerajaan adil dan amanah perlu memperkemaskan pusat khidmat sosial, pusat pembangunan keluarga Islam, institusi perlindungan untuk ibu tunggal, ibu tinggal, anak yatim, wanita teraniaya dan sebagainya, memperkukuhkan peranan institusi masjid, keluarga dan masyarakat serta institusi pemulihan.
Tambahan pula di negara ini, sultan sebagai ketua agama Islam di setiap negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri tidak bersultan, selain sebagai Ketua Agama Islam Negara mempunyai kuasa tertinggi untuk menjamin institusi agama dijulang.
Dalam sejarah Islam, pernah pada satu ketika Saidina Umar menerima wang daripada isterinya yang menyuruhnya membeli daging. Bila ditanya daripada mana dia memperoleh wang itu, lalu dijawab isterinya wang itu dikumpul daripada pemberian suaminya setiap hari sebagai nafkah yang disimpannya dalam tabung.
Lalu dijawab oleh Saidina Umar, ini bermakna pemberiannya setiap hari itu sudah berlebihan daripada keperluan harian. Saidina Umar terus mengambil wang itu dan dimasukkan ke dalam Baitulmal dan tidak dibelikan daging seperti disuruh isterinya dengan alasan masih ramai orang lain memerlukan wang.
Kisah itu menunjukkan bahawa sifat kepemimpinan ditonjolkan Saidina Umar adalah jelas untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukannya menggunakan amanah diberikan oleh rakyat untuk mencari kekayaan.
Dari segi budaya, kerajaan yang memerintah dengan adil dan amanah perlu mengamalkan dan menggalakkan budaya yang sesuai dengan nilai ketamadunan unggul. Di negara ini, sudah tentulah budaya paling sesuai ialah yang tidak bertentangan dengan syariat Islam dan moral.
Budaya hedonisme contohnya, yang tidak bertamadun sama sekali perlu dijauhi dan dijadikan sempadan dalam memastikan pengaruh budaya diterapkan rakyat adalah yang terbaik daripada sisi agama.
Selain itu, pemimpin perlu menerapkan nilai murni dalam sukan, seni dan sebagainya serta memperluaskan budaya murni sedia ada seperti amalan gotong-royong dan ziarah, lebih-lebih lagi menjelang perayaan, terutama Syawal yang bakal tiba.
Jika boleh, pemimpin kita biarlah jika karam di laut jadi pelampung, panas di darat jadi penaung, basah di hilir jadi penudung, patah di hulu jadi penyambung. Biar semua rakyatnya selamat.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Malaysia (Usim)
No comments:
Post a Comment