Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Peranan pewaris nabi kawal keharmonian, beri sumbangan kekal ketuanan Islam di Malaysia
ULAMA adalah pewaris tugas dan peranan nabi serta rasul menyampaikan amanah Islam kepada seluruh umat manusia. Di tangan ulama penentu maju mundurnya sesebuah negara, terang gelapnya sesebuah bangsa, baik buruknya umat. Jika ulama berperanan seperti dilaksanakan nabi dan rasul, maka akan baik umat, jika tidak nescaya akan buruk dan binasa umat manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ulama ibarat pelita yang menerangi bumi, pengganti (pewaris) nabi dan rasul, ahli warisku dan ahli waris nabi serta rasul." (Hadis riwayat Ibnu Adiy)
Definisi tepat ulama ialah seorang yang luas dan mendalam ilmu agamanya dan berupaya menggarap, seterusnya mengembangkan ilmu bersesuaian dengan kepakarannya sehingga lahir beberapa disiplin ilmu lain sama ada dalam keagamaan mahupun keduniaan. Hasilnya, disiplin ilmu itu menjadi sumber rujukan utama umat zaman berzaman. Inilah ciri utama ulama berwibawa dalam Islam.
Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang tetap teguh serta mendalam ilmu pengetahuannya dalam ilmu agama berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang yang berfikiran (ulul albab)." (Surah Ali-Imran, ayat 7)
Ciri terpenting yang dianggap sebagai garis pemisah antara ulama dengan golongan lain ialah keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ulama mantap imannya dan tebal ketakwaan, tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah ketika menegakkan kebenaran dan memperjuangkan yang hak. Ciri ini juga membezakan antara ulama dengan ilmuwan, sarjana atau intelektual biarpun dalam diri mereka terhimpun segala ilmu. Takwa dan iman yang bertapak kukuh dalam jiwa mendorong ulama sentiasa mendekatkan diri kepada Allah berbekalkan sebanyak mungkin amalan kebajikan kerana menginsafi bekalan ilmu saja belum memadai.
Tidak dapat tidak, amalan kebajikan wajib ditunaikan dalam kehidupan ulama seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan apa juga kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah takwa (amal bakti untuk mencapai keredaan Allah). Bertakwa kepada-Ku wahai orang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya (ulul albab)." (Surah al-Baqarah, ayat 197)
Demikian tingginya kedudukan ulama yang mendapat kemuliaan di sisi Allah seperti difahami melalui firman Allah yang bermaksud: "Allah akan meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." (Surah al-Mujadilah, ayat 11)
Justeru, dengan kemuliaan dan kelebihan dianugerahi Allah, ualama mempunyai peranan amat besar dan tanggungjawab getir dalam membimbing, membangun dan memimpin hala tuju masyarakat serta negara ke arah keredaan Allah.
Semakin kreatif dan profesional ulama, semakin meningkat tamadun dan peradaban manusia. Maka wajar ulama menjadi tempat rujukan apabila umat Islam menghadapi kekeliruan mengenai persoalan kehidupan. Ini selaras perintah Allah dalam firman yang bermaksud: "Maka bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui kitab Allah jika kamu tidak mengetahui." (Surah al-Anbiya', ayat 7)
Di Malaysia, ulama merujuk orang alim yang ditauliahkan kerajaan, pihak berwajib agama dan masyarakat Islam untuk menjalankan tugas keagamaan yang dipertanggungjawabkan seperti penasihat agama, mufti, timbalan mufti, kadi besar, kadi daerah, imam dan ustaz. Individu atau jemaah tidak sewajarnya cepat melatah dalam sesuatu isu diperdebatkan, terutama membabitkan hal ehwal Islam. Apa saja isu berbangkit, serahkan kepada mereka yang ditauliahkan supaya dapat dijauhkan segala kekeliruan dan dijernihkan kekeruhan yang mungkin merenggangkan persaudaraan sesama Muslim. Mereka yang sebenarnya memikul tugas besar untuk memberi sumbangan ke arah mempertingkatkan kesedaran masyarakat kepada penghayatan Islam dalam seluruh kehidupan. Ulama juga wajar menggerakkan usaha kerajaan supaya menggembleng tenaga dan menyusun langkah ke arah mewujudkan keharmonian rakyat yang bernaung di bawah kerajaan negeri. Ini bermakna umat Islam perlu memahami mufti bukan sekadar dengan fatwanya, kadi tidak hanya terhad di Mahkamah Syariah, imam tidak hanya terbatas di masjid dan ustaz pula bukan hanya di sekolah, kolej atau di universiti.
Peranan mereka amat besar dalam mengawal keharmonian dan kemuafakatan masyarakat di samping merangsang untuk memberi sumbangan bermakna kepada ketuanan Islam di bumi Malaysia ini.
Mereka juga sebahagian daripada rangkaian gerakan dakwah Islamiah sesuai dengan kedudukan pewaris nabi dan rasul dalam memikul tanggungjawab menyampaikan Islam supaya dapat difahami, dihayati dan diterjemahkan Islam dalam realiti kehidupan semasa.
Rasulullah SAW pernah memberikan perumpamaan indah berkenaan ulama dalam sabda Baginda yang bermaksud: "Ulama di bumi Allah itu sebenarnya dapat diibaratkan gugusan bintang di langit yang menyuluh dan menerangi kegelapan perjalanan umat manusia di lautan dan di daratan. Sekiranya bintang itu tidak berkerlipan, umat manusia tentu berada dalam serba kegelapan dan kesesatan yang nyata." (Hadis riwayat Ahmad)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment