Oleh Hasliza Hassan
RAMSIS adalah Firaun ketiga daripada dinasti ke-19 yang dilahirkan pada 1303 Sebelum Masihi dan ditabalkan sebagai Raja Mesir purba ketika berusia 24 tahun. Beliau digelar Ramsis yang Agung kerana dipercayai firaun paling lama hidup dan memerintah.
Ramsis II terkenal sebagai firaun yang membina banyak monumen. Beliau yang mengaku dirinya tuhan mengarahkan rakyat membina patung dan obelisk bagi menggambarkan kehebatan kuasanya. Ramsis II juga terkenal mempunyai lapan isteri, tidak termasuk dayang sebagai gundik.
Tiga isteri beliau adalah anaknya sendiri, manakala seorang adalah saudara perempuannya. Firaun Ramsis II dikatakan mempunyai 198 anak.
Firaun yang memusuhi Nabi Musa adalah Firaun yang paling banyak membina monumen dan sebahagian besarnya sudah binasa. Siapakah Firaun Ramsis yang dimaksudkan? Ikuti kisahnya dalam Al-Risaalah 2 malam ini di TV9.
Al-Quran tidak menyatakan nama Firaun yang hidup sezaman Nabi Musa, namun ada pihak percaya Firaun yang dimaksudkan itu adalah Ramsis II berdasarkan sejarahnya yang mempunyai banyak persamaan dengan kisah Firaun yang disebut dalam al-Quran.
Ramsis II adalah Firaun yang zalim dan menyeksa Bani Israel di Mesir. Kekuasaannya menggambarkan dia adalah tuhan dan rakyat harus patuh kepada kehendaknya.
Ramsis II yang tidak mempercayai ajaran dibawa Nabi Musa membina pelbagai monumen tinggi untuk melihat Allah tetapi usaha itu sia-sia. Oleh itu, beliau mengarahkan rakyat membina patungnya seolah-olah dia mengatasi segala kekuasaan termasuk Tuhan Musa.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan Firaun pula berkata: Wahai Hamaan. Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan yang aku hendak menujunya iaitu ke pintu langit supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta. Demikianlah dihiasi oleh syaitan kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik serta ia dihalangi dari jalan yang benar dan tipu daya firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.” (Surah al-Mukmin, ayat 36)
Ramsis II mendirikan obelisk atau pasak melebihi 30 batang di setiap pelosok Mesir dihiasi tulisan memujanya sebagai tuhan. Firaun tidak mahu rakyat lupa kepada kehebatannya, lantas menghantar obelisk ke setiap wilayahnya yang luas.
Dia mahu rakyat setiap masa dan di mana saja memujanya walaupun pusat pemerintahannya terletak jauh di Luxor. Dia berpendapat, kuasanya tidak padam selagi monumen ciptaannya tegak di seluruh Mesir.
Ramsis II menunggu musim banjir bagi menghanyutkan batu granit yang dipahat dengan ukiran dirinya ke seluruh wilayahnya. Berbanding monumen Firaun lain yang sudah musnah, monumen Ramsis II dapat dilihat hingga ke hari ini - dibiarkan Allah untuk menceritakan kekuatan Ramsis II yang menyertai pelbagai peperangan bagi meluaskan kekuasaannya di muka bumi.
Antara tinggalan Ramsis II yang masyhur ialah monumen Ramesseum terletak di selatan Mesir. Satu lagi monumen kebesaran Ramsis II ditemui di Abu Simbel, terletak 1,200 kilometer di selatan Kaherah.
Ia adalah kemuncak penghormatan Firaun itu kepada tuhan Mesir kuno. Ramsis II menganggap matahari sebagai tuhan lantas membina monumen menghadap terbitnya fajar sebagai simbol mengagungkan matahari.
Ramsis II meninggal pada 1213 Sebelum Masihi pada usia 90 tahun selepas memerintah selama 67 tahun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment