Monday, September 22, 2008

Konsep memperkasakan ilmu dalam Islam tiada batasan

Oleh Dr Sapora Sipon


ISLAM menyarankan umatnya menuntut ilmu dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. - Gambar hiasan

Manusia sentiasa disuruh mendalami apa saja pengetahuan untuk manfaat hidup di dunia dan akhirat

ILMU adalah nikmat dan rahmat Allah yang tidak ternilai harganya memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Ilmu dapat menentukan atau meletakkan manusia ke tahap lebih tinggi dan mulia serta membimbing manusia mentaati Allah dan memberi kebaikan di dunia.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesungguhnya ia diberikan kebaikan yang amat banyak." (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Umat Islam didorong supaya sentiasa menyediakan diri dengan ilmu yang bukan hanya terbatas kepada ilmu agama tetapi juga digalakkan mengkaji ilmu berkaitan hal keduniaan seperti ilmu sains, perubatan dan banyak lagi.

Dalam Islam, kedua-dua ilmu dunia dan akhirat wajib dituntut. Adalah salah jika menganggap bahawa manusia hanya wajib mempelajari ilmu akhirat, sedangkan ilmu keduniaan tidak wajib kerana manusia disuruh menuntut semua ilmu Allah sekalipun terpaksa menghadapi pelbagai dugaan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dia menundukkan untukmu apa-apa yang di langit dan apa-apa yang di bumi semuanya (sebagai kurnia) daripada-Nya. Sungguh pada demikian itu beberapa ayat (keterangan) bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Jaatsiyah, ayat 13)

Sesungguhnya al-Quran menerangkan bahawa alam ini adalah kitab ilmu kepunyaan Allah di mana pengkaji akan bertambah makrifah dan khashiah (ketakutan) kepada pencipta-Nya seperti mana firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah orang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun." (Surah Faathir, ayat 28)

Konsep ilmu dalam Islam adalah konsep yang menyeluruh tetapi bersepadu. Keseluruhan konsep ilmu Islam merangkumi bukan saja ilmu yang diturunkan kepada nabi, tetapi juga kepada manusia lainnya sama ada melalui pemahaman wahyu atau pengkajian terhadap alam semesta, sejarah dan pengalaman dalaman manusia.

Kesepaduan ilmu Islam bermaksud bahawa isi dan proses keilmuan dipimpin oleh nilai dan aturan al-Quran serta sunnah Nabi Muhamad SAW.

Proses pencarian ilmu serta kegiatan ilmiah adalah satu kerja tertinggi yang mendahului kerja lain.

Banyak ayat al-Quran yang menekankan aspek kepentingan mencari ilmu.

Tuntutan ilmu tidak terbatas dengan berguru kepada orang Islam saja, malah boleh berguru dengan orang yang bukan Islam asalkan ilmu itu berguna.

Jelasnya, segala nikmat yang banyak tidak diberikan Allah dengan begitu mudah sekali tanpa sebarang usaha untuk mendapatkannya atau menggunakannya dengan lebih bermanfaat.

Manusia perlu mempunyai ilmu sebagai alat untuk menggunakan segala nikmat disediakan dengan berfaedah.

Tanpa ilmu, manusia tidak akan berupaya menggunakan segala nikmat disediakan dengan bijaksana. Tanpa ilmu, manusia tidak akan berdaya untuk mengetahui dengan lebih mendalam rahsia isi alam ataupun nikmat tersedia ada, lebih-lebih lagi nikmat di sebalik pandangan zahir.

Oleh itu ilmu sangat penting kepada sekalian manusia untuk hidup dilingkungi dengan kenikmatan Allah.

Ilmu agama atau akhirat dituntut supaya kita kenal diri yang sentiasa tertakluk kepada perintah Allah. Manusia juga perlu faham bahawa mereka bertanggungjawab melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di atas dunia ini.

Firman Allah yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah diatas bumi (Adam)..." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Kepentingan menguasai ilmu pengetahuan boleh dilihat dalam kehidupan kita beribadah. Contohnya, kita melaksanakan kewajipan sebagai hamba Allah yang menunaikan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Jika melakukan ibadat tanpa ilmu, tanpa mengetahui peraturannya, tanpa mengetahui sah batalnya, maka ibadat itu ditolak atau tidak diterima oleh Allah. Ilmu Allah amat luas dan mencakupi pelbagai bidang.

Namun, untuk mendapat keredaan Allah manusia mestilah mempunyai ilmu yang hanya diredai-Nya yang tidak bertentangan dengan dasar syariah. Ini menuntut manusia berusaha menguasai ilmu seberapa banyak yang boleh untuk memperoleh segala nikmat yang ada.

Menuntut ilmu membawa kepada pelbagai kebaikan. Antara faedah menuntut ilmu adalah:

Makhluk Allah akan dapat membentuk keperibadian diri melalui ilmu pengetahuan. Melalui ilmu, manusia akan dapat menguatkan iman serta takwa kepada Allah.

Tanpa ilmu pengetahuan, seorang itu tidak dapat melakukan ibadat kepada Allah dengan baik. Kekurangan ilmu juga akan menjadikan seorang itu menjadi hina di sisi masyarakat.

Sesuatu perkara yang hendak dilakukan tidak akan menjadi sempurna tanpa memiliki ilmu yang berkaitan dengan-Nya.

Ini kerana menuntut ilmu adalah sangat penting sebagai asas atau panduan dalam setiap amalan sama ada dalam bentuk ibadat fardu ain atau fardu kifayah.

Dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah, manusia perlu kepada ilmu pengetahuan. Manusia diwujudkan untuk menjadi wakil Allah dan mentadbir alam ini supaya bumi Allah ini menjadi makmur dan seterusnya membentuk masyarakat dan manusia yang diredhai oleh-Nya.

Melalui ilmu pengetahuan, manusia dapat membina bangunan yang mengagumkan, kediaman lebih selesa dan mencipta pelbagai jenis rekaan moden untuk kemudahan umat manusia menjalankan tugas mereka seharian.

Ilmu dapat menentukan kedudukan dan dapat mengubah mobiliti sosial individu daripada kehidupan sosial yang rendah kepada taraf lebih tinggi.

Orang berilmu sentiasa dihormati dan pandangan mereka adalah pandangan yang positif dan membina baik dari segi rohani dan juga jasmani.

Kesimpulannya, seruan kepada pencarian dan penguasaan ilmu pengetahuan sememangnya sudah lama disarankan dalam Islam.

Islam amat mementingkan ilmu dalam menentukan kejayaan umatnya. Kepentingan ilmu penting dalam menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia.

No comments: