Oleh Hasliza Hassan
PROGRAM Al-Risaalah 2 Musa Kalamullah episod 21 malam ini membawa penonton mengunjungi Muzium Topkapi di Istanbul untuk menyusur kembali kisah Nabi Daud melalui pedangnya yang dipamerkan di sana.
Pedang Nabi Daud sepanjang 101 sentimeter dan beratnya 2.986 kilogram berhulukan besi dan bersarung kulit. Penangkis antara mata pedang dan hulunya diperbuat daripada perak. Pada hulunya ada lukisan seorang lelaki sedang memegang sebilah pedang di tangan kanan dan kepala manusia di sebelah kiri. Lukisan itu merujuk peristiwa Nabi Daud membunuh Raja Jalut atau Goliath dan memenggal kepalanya.
Ketika tentera Raja Israel, Talut atau Syawel dan Raja Palestin, Jalut, bersiap sedia untuk bertempur, Jalut tampil mencabar tentera bani Israel bertarung dengannya dulu.
Oleh kerana Jalut amat sasa, ia menimbulkan ketakutan di kalangan tentera bani Israel. Tiada yang berani menyahut cabarannya itu. Talut menawarkan imbuhan besar kepada sesiapa yang dapat menewaskan Jalut akan dianugerahkan harta benda dan dikahwinkan dengan puterinya.
Nabi Daud yang masih kanak-kanak bekerja membantu ayahnya mengembala kambing. Oleh kerana medan peperangan antara kedua-dua pihak itu tidak jauh dari kawasan Baginda mengembala kambingnya, cabaran Raja Jalut itu didengarnya.
Baginda kecewa dengan cabaran yang tidak disahut tentera bani Israel. Nabi Daud masuk ke medan perang dan memberitahu Thalut hasratnya untuk menentang Jalut.
Biarpun pada mulanya cadangan itu dipandang remeh, Talut akhirnya bersetuju. Nabi Daud meyakinkan Thalut Baginda pernah membunuh beruang dan singa yang menyerangnya. Raja Jalut memperlekeh Nabi Daud. Padanya Nabi Daud yang masih kanak-kanak itu senang diratah.
Jalut mengingatkan Nabi Daud bahawa dagingnya akan dikoyakkan dan diberi makan burung. Nabi Daud tidak membuang masa lalu merejam kepala Jalut dengan batu lastiknya. Jalut jatuh terlentang dan cedera parah. Secepat kilat Nabi Daud menyambar pedang Raja Jalut yang terjatuh lantas memenggal kepalanya.
Tentera Jalut tergamam melihat peristiwa itu. Mereka bagaikan tidak percaya seorang kanak-kanak berjaya menewaskan Raja mereka yang gagah dengan mudah. Akhirnya mereka melarikan diri. Bani Israel memenangi peperangan itu dengan mudah tanpa sebarang pertempuran besar.
Nabi Daud mempunyai keistimewaan yang dikurniakan Allah iaitu mempunyai suara yang sangat merdu. Baginda sering melagukan ayat dari kitab Zabur yang diturunkan kepadanya. Selain itu, tangan Nabi Daud boleh melembutkan besi. Logam itu boleh dipicit dan dibentuk dengan tangannya untuk membuat pedang dan baju besi.
Selepas melihat keistimewaan Nabi Daud, Raja Thalut mula bimbang jika Baginda merampas kerajaannya saperti wasiat Nabi Samuel, Nabi Bani Israel itu. Nabi Daud ketika itu menjadi menantunya kerana berkahwin dengan puteri Raja Thalut, Mikal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment