Oleh Hasliza Hassan
ASYIUN Jabir ialah kampung terakhir di padang pasir Tih yang disinggahi bani Israel. Hampir dua tahun mereka mendiami kawasan itu. Selepas Asyiun Jabir mereka menghala ke barat daya dalam perjalanan menuju 'Bumi Yang Dijanjikan'.
Akhirnya bani Israel tiba di Qadisy Barni tempat mereka diperintah Allah memasuki ‘Bumi Yang Dijanjikan’ tetapi mereka mengingkari perintah itu. Akibatnya, selama 40 tahun mereka sesat dan berpusing di padang pasir Sinai sehingga kembali ke tempat yang sama iaitu Qadisy Barni dan di situ kekanda Nabi Musa, Mariam wafat dan dikebumikan.
Nabi Musa mengambil keputusan melintas bumi Adum bersama kaumnya, bani Israel. Adum adalah gelaran kepada Aisu bin Nabi Ishak yang diperoleh kerana kulitnya kemerah-merahan.
Nabi Musa menghantar utusan meminta kebenaran untuk tujuan itu kerana bani Israel tidak mempunyai cukup persediaan sama ada dari segi kelengkapan perang atau latihan untuk menghadapi tentera musuh. Adum adalah jalan pintas terdekat untuk mereka.
Nabi Musa menghantar utusan kepada Raja Adum memberitahu keadaan mereka yang diseksa di Mesir serta perintah Allah supaya bani Israel meninggalkan negara mereka. Dalam surat itu Nabi Musa juga berjanji tidak membuat kerosakan kerana mereka hanya mahu melintasi kawasan itu.
Malangnya, suku kaum Adum tidak membenarkannya biarpun rayuan dibuat bani Israel dan menawarkan bayaran ganti rugi terhadap apa juga kerugian yang dialami. Mereka mengugut keluar memerangi Nabi Musa dan bani Israel jika masih berdegil atau meneruskan cadangan mereka.
Jalan utama yang hendak direntasi Nabi Musa menghubungkan antara negeri di wilayah itu dan amat selesa dilalui tentera atau rombongan kafilah.
Nabi Musa mempunyai strategi tersendiri iaitu merancang menuju ke timur melalui jalan utama berkenaan dengan menyeberangi bumi Adum ketika menyerang Raja I’rad.
Rancangan mereka terpaksa dilupakan kerana gagal mendapatkan persetujuan penduduk Adum yang menganggap ia tipu helah bani Israel untuk menetap dan mendiami bumi mereka.
Kisah selanjutnya usaha Nabi Musa dan kaumnya dapat diikuti dalam Al-Risaalah 2 Musa Kalamullah episod 18, di TV9 jam 10.30 malam ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment