Thursday, September 25, 2008

Hak Muslim: Suami juga kena tunggu habis tempoh idah

Jawapan oleh Tuan Musa Awang (Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM))
excopgsm-@yahoo.com

Perceraian elak lelaki salah guna sijil cerai untuk kahwin lain dan rujuk semula

Soalan:

SAYA dan isteri bercerai pada Ogos lalu. Dua minggu selepas tarikh cerai, saya ke Jabatan Agama Islam untuk mendapatkan sijil cerai. Saya ingin bernikah dengan wanita lain. Malangnya, saya dimaklumkan oleh kakitangan bertugas bahawa saya juga perlu beridah seperti bekas isteri. Saya menjadi keliru dengan kenyataan itu. Adakah kaum lelaki juga perlu beridah? Setahu saya edah itu khusus untuk wanita atau isteri saja. Harap dapat penjelasan.

Hamba yang keliru,
Pulau Pinang.

Jawapan:

Sebelum menjawab kekeliruan saudara, kita fahami dulu definisi, kategori dan hikmah idah menurut syarak. Idah ialah tempoh masa menunggu bagi isteri yang diceraikan suami. Hikmah idah adalah untuk menentukan rahim isteri bersih daripada benih bekas suaminya.

Dalam perceraian talak raj'i, idah memberi peluang kedua-dua pihak berfikir semasak-masaknya, apakah perceraian yang berlaku itu memberi manfaat untuk mereka atau sebaliknya.

Idah terbahagi dua iaitu idah isteri yang kematian suami dan idah isteri bercerai hidup. Tempoh idah isteri yang kematian suami ialah jika isteri mengandung maka idahnya selepas melahirkan anak dan jika tidak mengandung, idahnya selama empat bulan sepuluh hari sama ada disetubuhi suami semasa hidup atau tidak.

Idah isteri yang bercerai hidup pula ialah jika mengandung maka idah tamat selepas kelahiran bayi dan jika tidak mengandung, edahnya ialah tiga kali suci bagi perempuan yang masih datang haid. Jika isteri yang diceraikan masih tidak disetubuhi maka tidak ada idah baginya.

Haram bagi suami bersetubuh dengan bekas isteri yang berada dalam tempoh idah raj'i, kecuali selepas berlaku rujuk. Ketika dalam tempoh idah, suami masih bertanggungjawab memberi nafkah makan minum, tempat tinggal dan pakaian kepada bekas isteri.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika mereka itu mengandung maka berikanlah nafkah kepada mereka sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya itu." (Surah at- Thalaq, ayat 6)

Arahan Allah ini ditaqninkan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang memperuntukkan: "Tertakluk kepada hukum syarak, mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah isteri atau bekas isterinya."

Balik kepada soalan saudara, secara umumnya memang idah khusus untuk isteri. Tetapi suami juga ada tempoh idah dalam keadaan berikut:

Apabila suami menceraikan isteri dengan talak raj'i dan suami hendak berkahwin dengan perempuan yang haram dihimpunkan bersama dengan isterinya (contoh adik beradik isterinya) maka hendaklah suami menunggu sehingga habis tempoh idah isteri yang ditalak itu.

Jika suami sudah mempunyai empat orang isteri, kemudian menceraikan salah seorang daripadanya dengan talak raj'i, untuk dia berkahwin satu lagi maka dia mesti menunggu isteri yang diceraikan itu habis tempoh idah terlebih dulu.

Dari segi praktik perundangan, suami juga tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain selagi tempoh idah talak raj'i dengan bekas isteri belum tamat. Jika dia tetap ingin meneruskan hasrat itu, maka dia hendaklah memohon kebenaran berpoligami dari mahkamah.

Ini adalah untuk mengelakkan penyalahgunaan sijil cerai dengan cara memanipulasi fakta dan keadaan. Berlaku kes di mana suami menggunakan sijil cerai itu untuk bernikah dengan wanita lain, tetapi kemudian dia kembali rujuk kepada isterinya yang masih dalam tempoh idah talak raj'i, tanpa memaklumkan kepada bekas isterinya itu bahawa dia sudah berkahwin lain. Akibatnya, dia mempunyai dua isteri pada masa sama. Perkara sebeginilah yang hendak dielakkan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, menurut pengalaman saya, sijil cerai masih boleh dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam jika suami membuat satu akuan berkanun bahawa dia tidak akan berkahwin lain sehingga tempoh idah isterinya tamat.

Nasihat saya, saudara sabarlah menunggu sehingga tempoh idah isteri tamat. Manalah tahu, Allah menampakkan hikmah dalam tempoh idah itu, Allah memberi petunjuk wanita itu tidak sesuai untuk saudara? Atau Allah bukakan hati saudara dan bekas isteri untuk kembali semula ke perkahwinan sebelumnya.

Jawapan disediakan Setiausaha Agong Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang. Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm-@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blog spot.com

No comments: