Sunday, September 7, 2008

Persoalan Agama: Puasa tanda ketaatan kepada Allah

Bersama Jakim

Saya mempunyai seorang kenalan bukan Islam di luar negara yang melalui e-mel bertanya mengenai amalan berpuasa orang Islam. Dia memberitahu bahawa penganut agama lain juga berpuasa. Katanya, orang Hindu dan Yahudi pun berpuasa, tetapi apakah perbezaan puasa agama lain dengan puasa di sisi Islam. Boleh berikan jawapan untuk saya memberi penjelasan kepadanya?

Nur Syakirah Firdaus
Kuala Lumpur

Memang benar penganut agama lain juga melakukan puasa pada hari tertentu saja mengikut ajaran dan kepercayaan masing-masing manakala umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan di samping puasa sunat pada hari tertentu pada sepanjang tahun. Puasa adalah ibadah yang difardukan ke atas umat Islam dan umat terdahulu dan ia satu rukun dalam Rukun Islam. Puasa adalah setinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Bagi umat Islam, puasa adalah satu ibadah tanda ketaatan dan keikhlasan hamba terhadap pencipta-Nya. Maksud puasa dalam Islam ialah menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari disertai dengan niat.

Allah SWT memberi kelebihan yang banyak pada bulan Ramadan berbanding dengan bulan lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila tiba awal malam bulan Ramadan, diikat semua syaitan dan jin yang derhaka, ditutup semua pintu neraka, dan tidak dibuka walaupun satu pintu, dan dibuka pintu syurga, dan tidak ditutup walaupun satu pintu." Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah, dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah. Dan (mereka yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadan." (Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah). Selain daripada apa yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah, kelebihan bulan Ramadan juga ialah difardukan puasa di dalamnya.

Puasa juga dapat membentuk jati diri, kesabaran, kesihatan dan disiplin serta jimat cermat dalam perbelanjaan dan puasa juga penghapus dosa atas maksiat yang dilakukan. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Allah juga akan menggandakan pahala orang yang berpuasa melebihi amalan lain.

No comments: