Pemimpin perlu menerajui pemerintahan negara berasaskan pendekatan ditetapkan Islam
PENGERTIAN kemerdekaan negara dari sudut politik ialah negara memperoleh kebebasan untuk rakyat memerintah dan menentu bentuk penyusunan serta agenda pembangunannya. Negara pernah ditakluki beberapa kuasa besar sejak 1511 bermula dengan Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali balik kepada Inggeris sehingga Malaya mencapai kemerdekaan daripada Inggeris pada 1957, seterusnya kewujudan Malaysia pada 1963.
Negara dijajah kerana kita pada itu tiada kekuatan mempertahankan negara daripada penjajah termasuk ketenteraan dan ekonomi.
Justeru, suatu pengajaran untuk kita umat Islam pada masa ini, membina kekuatan termasuk kerohanian dan fizikal bagi membolehkan kita mempertahankan dan mengisi kemerdekaan mengikut acuan serta matlamat kita.
Dari sudut Islam, kemerdekaan bagi sebuah negara dicapai apabila kepemimpinan kerajaan mampu menerajui pemerintahan negara berasaskan pendekatan Islam. Kita mampu menyusun kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan berpandukan ajaran Islam dan bebas daripada penjajahan ideologi ciptaan manusia.
Pengabdian kepada arahan Allah bermaksud negara mampu menyusun dan membangun untuk mewujudkan peradaban masyarakat berasaskan prinsip agama. Negara memerlukan barisan kepemimpinan kerajaan berwibawa dan berketrampilan.
Kejayaan kepemimpinan Rasulullah SAW dan Khalifah Al-Rasyidin disebabkan mutu kepemimpinan mereka yang luar biasa di samping memiliki ikatan keimanan yang jitu dengan Allah dalam menghayati nilai kebenaran, menegak keadilan dan memupuk kasih sayang di kalangan ahli masyarakat.
Mereka turut berkemampuan membina kemuafakatan melalui penggubalan Perlembagaan Madinah serta menaikkan taraf hidup sehingga pada zaman khalifah Umar Al-Khattab, kerajaan Islam berkembang besar.
Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu supaya kamu dapat mengambil pelajaran." (Surah an-Nahl, ayat 90)
Ciri berikut dapat menjelaskan keadilan akan terlaksana dalam penyusunan sesebuah sistem ekonomi:
Individu sebagai pemegang amanah Allah berhak memiliki harta dan berusaha semoga harta itu sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi melalui pencetusan kegiatan ekonomi. Kerajaan melalui dasar fiskal dan kewangan perlu menjana kegiatan ekonomi pada tahap yang tinggi pada setiap masa.
Individu diberi kebebasan dan peluang yang adil menceburi setiap urusan ekonomi. Tidak ada golongan yang boleh menggagalkan kebebasan ini. Negara dengan itu mempunyai tanggungjawab menjamin kesaksamaan peluang ekonomi benar-benar dapat dilaksana.
Individu dapat memenuhi keperluan asasinya yang mana, tanpa keperluan itu ia akan menjejaskan kebajikannya dan seterusnya masyarakat. Mengikut Imam Al-Ghazali, keperluan asasi meliputi pemeliharaan keimanan, kehidupan, intelek, keturunan dan kekayaan mereka yang tercapai melalui semua dasar negara.
Faktor menyumbang kepada proses pengeluaran ekonomi perlu mendapat ganjaran adil dengan sumbangan mereka. Sistem pulangan positif kepada faktor modal dengan berlandaskan kaedah riba adalah diharamkan. Begitu dengan kaedah lain yang berunsur penindasan.
Penggemblengan sumber kekayaan negara perlu mengikut keutamaan keperluan rakyat semasa, setempat dan zuriat masa depan.
Pembaziran dalam pembiayaan awam atau pembaziran disebabkan ketidakcekapan proses pentadbiran, pengeluaran, pengagihan dan penggunaan diminimumkan dan jika mampu, dihapuskan.
Jika terlaksana prinsip itu dalam penyusunan ekonomi akan terlaksana keadilan dalam pengurusan ekonomi negara. Ekonomi kerjasama (muafakat) yang menepati konsep al-Ihsan pada hakikat yang sebenar akan terlaksana dengan wujudnya keadilan ekonomi. Permulaan yang penting kepada kemuafakatan dalam penyusunan ekonomi bermula dengan ketepatan pendekatan pembabitan sektor awam dalam ekonomi. Ibn Khaldun dalam perkara ini memberi pendekatan tepat dengan menasihati pemerintah semoga tidak menaikkan kadar cukai terhadap pengusaha swasta atau dalam kata lain pembabitan sektor awam perlu diminimumkan.
Beliau bimbang menaikkan cukai akan mematikan keusahawanan rakyat dan dalam ekonomi, sektor swasta perlu diberi tempat dalam menjana ekonomi tetapi ketika meleset, peranan sektor awam menjadi penting.
Untuk memahami secara lebih terperinci kaedah pembabitan perbelanjaan sektor awam dalam penyusunan sesebuah ekonomi, pakar ekonomi terkemuka, Profesor Nejatullah Siddiqi, mengutarakan pendekatan berikut:
Pembabitan dalam peranan kerajaan ditentukan oleh syariah untuk pembiayaan tetap seperti pembiayaan kepada keperluan pertahanan negara dan keperluan asasi rakyat.
Peranan pemerintah yang dirujuk daripada semangat syariah atas asas ijtihad untuk keperluan sesuatu masa dan tempat.
Peranan yang ditugaskan kepada negara pada sesuatu ketika dan tempat oleh rakyat melalui proses syura. Kepemimpinan negara jika mahu berjaya perlu memahami dan menghayati prinsip al-Quran itu.
Firman Allah yang bermaksud: "(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun." (Surah Saba, ayat 15)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment