Oleh Mohd Shukri Hanapi
Ibadah tergopoh-gapah mahu cepat sudah ditegah Rasulullah
RAMADAN adalah anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad yang mengandungi banyak fadilat dan rahmat dikurniakan kepada hamba-Nya yang mengerjakan ibadat dengan penuh keimanan, keikhlasan dan ketakwaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada malam pertama Ramadan, akan dibelenggu segala syaitan, ditutup semua pintu neraka dan dibuka semua pintu syurga. Kemudian datanglah seruan: Wahai orang yang menginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang mengingini kejahatan, berhentilah. Pada setiap malam (Ramadan), Allah membebaskan segolongan hamba-Nya daripada api neraka." - (Hadis riwayat At-Tirmizi)
Umat Islam yang menyedari dirinya sebagai hamba Allah, sudah tentu sibuk pada malam hari sepanjang Ramadan mencari pahala seperti menunaikan solat sunat Tarawih. Masjid dan surau akan dipenuhi jemaah.
Sesungguhnya solat Tarawih adalah keistimewaan Ramadan. Ia adalah solat sunat khusus yang dilakukan pada malam Ramadan dan tidak pada bulan lain. Beruntunglah orang yang dapat mengerjakannya dan rugilah orang yang lalai.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan solat malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Itulah ganjaran Allah kepada setiap hamba-Nya yang berusaha menghidupkan malam Ramadan dengan solat Tarawih dan ibadat sunat lain.
Solat Tarawih bererti solat yang merehatkan. Bersesuaian dengan namanya itu, umat Islam tidak seharus mengerjakannya dalam keadaan kelam-kabut atau tergopoh-gapah semata-mata ingin cepat selesai.
Umat Islam seharusnya mengerjakan solat itu seperti yang dilakukan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda, iaitu dalam keadaan tenang, tenteram dan tidak tergopoh-gapah untuk menyelesaikannya.
Mengerjakan solat sunat Tarawih bukan sesuatu yang mesti dikerjakan dalam waktu yang singkat. Ia seperti mana juga solat lain yang harus dihayati serta dikerjakan dalam keadaan khusyuk dan tenang.
Allah berfirman yang bermaksud: "Sudah berjaya orang beriman. Mereka yang khusyuk dalam solat (sama ada solat sunat atau wajib)." - (Surah Mukminun, ayat 1-2)
Sebaliknya, orang yang menunaikan solat sunat Tarawih dalam keadaan kelam-kabut akan hilang penghayatan dan khusyuk, mereka disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai pencuri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat mereka. Maka sahabat pun bertanya: Wahai Rasulullah. Bagaimana mereka mencuri dalam solat? Maka Rasulullah SAW menjawab: Mereka yang tidak sempurna rukuk dan sujud (iaitu mengerjakan solat dengan tergopoh-gapah)." - (Hadis riwayat Ahmad dan al-Tabrani)
Rasulullah SAW melarang umatnya mengerjakan solat seperti burung yang mematuk makanan, iaitu pantas berdiri dan sujud dalam waktu yang singkat.
Baginda bersabda yang bermaksud: "Allah tidak melihat solat seseorang yang dikerjakan tanpa sempat meluruskan tulang belakangnya antara rukuk dan sujud." - (Hadis riwayat al-Tabrani)
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengerjakan solat sunat tarawih dalam keadaan penuh khusyuk, tenang dan tidak kelam-kabut seperti mana dilakukan Rasulullah SAW supaya solat diterima Allah dan tidak menjadi sia-sia.
Cara solat Rasulullah SAW seperti diriwayatkan daripada al-Bara' bin Azib katanya, "Aku mengamati solatku bersama Nabi Muhammad SAW maka aku dapati Baginda berdiri, rukuk, bangkit selepas rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lagi serta Baginda duduk antara salam dan selesai solat, semuanya hampir sama." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila kamu ingin mengerjakan solat, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuklah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan itu dan bangkitlah berdiri. Selepas itu sujudlah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan itu dan bangkitlah untuk berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan sehingga selesai solat." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, rebutlah peluang untuk mengerjakan ibadat khusus pada Ramadan ini dengan hati ikhlas, tenang dan sempurna semoga meraih segala fadilat dan anugerah yang Allah janjikan. Kita tidak tahu sama ada akan bertemu atau tidak dengan Ramadan yang akan datang.
Monday, September 8, 2008
Sempurnakan solat Tarawih dengan tenang, tenteram
Labels:
(A) Mohd Shukri Hanapi,
Ibadah,
Ramadan,
Solat Tarawih
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment