Sunday, September 14, 2008

Ulul Albab: Bertakwa persiapan diri bertemu Pencipta

Oleh Abdul Rahman Haqqi


MEMBACA al-Quran sempena Ramadan adalah salah satu cara untuk mendapat keredaan Allah.


Puasa pada Ramadan tingkatkan keimanan ummah ke arah mencapai nikmat dunia, akhirat

IBN al-Athir dalam kitab Jami' al-Asl jilid 10 muka surat 557 ada menyatakan: "Melihat Allah SWT adalah tujuan tertinggi dalam kenikmatan syurga dan darjat yang tertinggi daripada senarai pemberian Allah yang mewah-mewah. Semoga Allah mencapaikan hajat kita kepadanya."

Disebabkan pengaruh dunia yang begitu dahsyat ke atas kehidupan kita sehari-hari sehingga kita kadangkala lupa bahawa hidup kita ini ada kesudahannya. Pengaruh dunia yang hebat itu sudah melupakan kita terhadap kehidupan selepas mati. Pengaruh dunia yang mengelirukan itu membuat kita lupa bahawa kita adalah seorang musafir yang sudah pasti akan menamatkan perjalanan. Pengaruh dunia yang sangat berkesan itu melengahkan kita daripada beriman bahawa kita akan berjumpa dengan yang memberikan kita semua apa yang kita miliki yakni Allah Yang Maha Agung.

Ketika kita belajar pelajaran akidah satu ketika dulu dan juga sampai hari ini, kita mengimani bahawa nikmat yang paling besar bagi hamba-Nya yang beriman adalah melihat Allah SWT. Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim dan at-Tirmizi maksudnya: "Jika penghuni syurga sudah masuk semuanya ke dalam syurga maka Allah berfirman: "Adakah kamu sekalian menginginkan sesuatu tambahan (daripada yang sudah Aku berikan dalam syurga ini)? Mereka menjawab:"(Kenikmatan apa lagi) Tidakkah Engkau sudah mencerahkan muka kami? Tidakkah Engkau sudah memasukkan ke dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka? Kemudian penghalang pun dibuka maka tidak ada sesuatu pun yang lebih menggembirakan mereka kecuali melihat Tuhan mereka."

Dalam riwayat lain Nabi membaca ayat al-Quran maksudnya: "Untuk orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia." (Surah Yunus: 26)

Tafsir Pimpinan ar-Rahman mengulas perkataan 'tambahan yang mulia' dengan "melihat Zat Allah Azza wa Jalla di dalam syurga."

Syurga yang begitu hebat kenikmatannya masih kalah berbanding melihat Zat Allah padahal sifat syurga adalah, maksudnya: "Sifat syurga yang sudah dijanjikan kepada orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai daripada madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan serta keredaan dari Tuhan mereka." (Surah Muhammad: 15)

Allah dengan jelas menyebutkan dalam al-Quran bahawa orang beriman akan melihat-Nya di syurga. Dia berfirman maksudnya: "Pada hari kiamat itu, muka (orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya." (Surah al-Qiyamah: 22-23) Dalam Surah Qaf ayat 34-35 disebutkan maksudnya: "(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): Masuklah kamu ke dalam syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal. Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sini Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

Menurut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah "Tuhan Allah dapat dilihat oleh penduduk syurga dengan mata kepala, bukan dengan mata hati saja. Tetapi ingatlah jangan ada keyakinan bahawa Tuhan itu di dalam syurga. Hanya kita yang melihat, yang bertempat dalam syurga. Pada waktu di dunia tidak ada manusia yang dapat melihat Tuhan kecuali Nabi Muhammad SAW pada malam Mikraj." (K.H. Siradjuddin Abbas, I'tiqad Ahlusunnah Wal Jamaah, 85)

Berjumpa dengan Sang Pencipta, al-Khaliq, adalah satu cita-cita yang semestinya dimiliki oleh setiap mukmin. Ia adalah tujuan hidup di dunia seperti diikrarkan pada setiap solat. Dan jika kita ingin yang demikian maka sudah sewajarnya kita mentakwakan diri kita sendiri dan tidak memaksiatkannya kerana apabila diri diliputi dengan maksiat dan perbuatan dosa pasti kita akan malu berjumpa dengan-Nya.

Dalam sejarah manusia kita boleh merefleksi rasa malu manusia bertemu dengan manusia yang lain kerana disebabkan perbuatan salahnya pada kisah Nabi Yusuf AS dan saudara-saudaranya. Al-Quran menceritakan maksudnya: "Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, mereka pun mengasingkan diri lalu bermesyuarat mengenai hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): "Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji daripada kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali), atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dialah Hakim yang seadil-adilnya." (Surah Yusuf: 80)

Dalam kisah di atas, saudara sulung Nabi Yusuf berasa malu kembali berjumpa bapanya kerana sudah mengecewakan bapanya apabila tidak dapat menjaga Benyamin. Membawa Benyamin ke Mesir untuk mendapatkan bekalan makanan adalah syarat Yusuf kepada mereka dalam perjumpaan pertama. Kesalahan saudara sulung itu membuatkannya untuk menghukum diri sendiri. Bagaimana dengan kesalahan yang kita buat kemudian kita mahu berjumpa dengan Allah SWT. Jalan yang perlu ditempuh agar terselamat daripada keadaan menyedihkan ini adalah mentakwakan diri. Dan puasa Ramadan adalah salah satu jenteranya. (Surah al-Baqarah: 183)

Menerusi puasa Ramadan kita akan selalu berhubungan dengan Allah kerana puasa hanya diketahui oleh Allah; menerusi puasa Ramadan kita mendapat rahmat, maghfirah dan pembebasan daripada api neraka; menerusi puasa Ramadan kita akan memasuki pintu khas al-Rayyan dalam syurga; dan menerusi puasa Ramadan kita dianugerahi hak memberikan syafa'at oleh Allah SWT.

Di samping melaksanakan semua perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya kita juga perlu banyak memohon kepada Allah agar kita mendapatkan keberkatan hidup yang boleh membawa kita untuk berjumpa dengan-Nya. Dr Aidh al-Qarni dalam La Tahzan menulis: "Sahabat memiliki perbendaharaan yang berlimpah ruah daripada kalimat yang baik lagi berbarakah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Setiap kalimat yang dipunyai oleh seseorang di antara mereka lebih baik dari dunia dan seisinya, dan juga lebih baik dari luasnya wawasan pengetahuan mereka mengenai nilai segala sesuatu dan kadar ukuran pelbagai urusan. Sesungguhnya kesimpulan daripada semua doa itu adalah memohon keredaan dan rahmat Allah di akhirat nanti, selamat dari kemurkaan dan seksa-Nya yang pedih dan memohon bantuan-Nya agar dapat beribadah dan bersyukur kepada-Nya. Sesungguhnya ikatan yang ada di antara semua doa ini adalah mengharapkan apa yang ada di sisi Allah dan berpaling dari apa yang ada di dunia. (404-405)

Dan permohonan kita yang selalu kita panjatkan pada Ramadan ini sama ada dalam berpuasa mahupun bertarawih di samping permohonan ampun yang lazim adalah doa Allahumma inna nas'aluka ridaka wal jannah wa na'uzu bika min sakhatika wan-nar (Ya Allah, kami memohon keredaan dan syurga-Mu dan kami memohon perlindungan kepada-Mu dari kemurkaan-Mu dan seksa neraka). Amin Ya Mujibassa'ilin.

No comments: