Oleh Mohd Kamel Mat Salleh
Perbuatan mencetuskan persengketaan, permusuhan sesama mukmin dilarang
RAMADAN yang dinanti pencinta kebajikan disyukuri kedatangannya yang membuka peluang kebajikan kepada Muslimin untuk meneruskan pengabdian diri kepada-Nya. Pelbagai anugerah diberikan oleh Allah kepada hambanya yang sentiasa merindukan tibanya bulan mulia itu.
Banyak terangkum pada Ramadan antaranya pada bulan ini diturunkan al-Quran, bulan kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari api neraka, bulan kemenangan, bulan penghapus dosa, bulan yang didirikan malamnya solat Tarawih dan bulan berlakunya Lailatulqadar.
Semua kelebihan itu dinyatakan secara jelas oleh Allah melalui firman-Nya dalam al-Quran dan diperkukuhkan lagi dengan lisan Rasul-Nya, Muhammad SAW. Namun, menurut perspektif lebih luas, ada 1,000 macam hikmah ingin diperlihatkan Allah supaya diambil perhatian oleh orang beriman.
Ramadan adalah lambang penyatuan amal dan fikiran seluruh umat Islam tanpa dibatasi lingkungan bangsa, bahasa mahupun budaya. Umat Islam seluruh dunia melaksanakan rutin serupa sama ada dari sudut meninggalkan makan dan minum pada siang hari Ramadan, bertadarus al-Quran, qiam pada malam harinya, malah tanpa batasan asabiyah mereka bersatu melawan runtunan hawa nafsu, menjauhkan persengketaan dan permusuhan, hanya semata-mata kerana Allah dalam merealisasikan tuntutan menjadi orang yang benar-benar bertakwa.
Melalui paparan media cetak mahupun elektronik, seluruh jiwa mukmin sedunia menghayati Ramadan sebagai bulan kesatuan ummah walaupun perbezaan fahaman politik. Ini menunjukkan orang Islam boleh bersatu dalam masalah dasar walaupun berbeza pandangan dari sudut furu' atau cabang.
Firman Allah yang bermaksud: "Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah bercerai-berai." (Surah Ali-Imran, ayat 103)
Kedatangan Ramadan adalah titik tolak kepada umat Islam untuk bersatu dan bersepakat. Tepatlah gagasan pemikir tamadun Islam satu daripada sifat utama Islam ialah kesatuan dalam kepelbagaian, walaupun berbeza warna kulit dan latar belakang sosiobudaya mahupun bahasa, mereka sebenarnya bersatu dalam beramal dan bertindak.
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menyerupai orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datangnya keterangan yang jelas kepada mereka." (Surah Ali-Imran, ayat 105)
Jelas kepada umat Islam, Allah melarang perbuatan boleh mencetuskan persengketaan antara sesama mukmin sedangkan larangan itu sudah banyak kali diingatkan oleh Allah dan rasul-Nya. Ramadan adalah masa sesuai untuk membuktikan persatuan di kalangan orang Islam. Semua bertumpu ke rumah Allah melaksanakan solat Tarawih dan bersalam-salaman selepas tamatnya solat.
Pada sudut lain, amalan bertukar juadah sesama jiran wajar diteruskan supaya kasih sayang sesama mukmin akan tetap terpelihara sepanjang Ramadan dan diteruskan kesinambungannya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya."
Penghayatan amalan pada Ramadan boleh membentuk hati orang mukmin untuk bersatu dan bersepakat lantaran kesedaran yang tinggi untuk menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
Tanpa banyak persoalan, hati orang mukmin menurut saja petunjuk wahyu. Inilah keistimewaan Ramadan yang situasi seumpama ini sukar dilihat pada bulan lain.
Kesatuan amalan dan tindakan menghayati erti Ramadan menurut petunjuk wahyu adalah resipi paling ampuh menjayakan kemenangan tentera Islam dalam Peperangan Badar dan Pembukaan Kota Makkah.
Peperangan yang dianggap sebagai penentu jatuh bangun Islam dirakamkan Allah dalam al-Quran yang bermaksud: "Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar padahal kamu pada ketika itu orang yang lemah." (Surah Ali-Imran, ayat 123)
Pembukaan kota Makkah berlaku pada 20 Ramadan tahun ke-8 hijrah. Melihat kemenangan berlaku pada Ramadan, ia manifestasi pengabdian diri kepada Allah bahawa puasa bukanlah halangan terhasilnya kemenangan. Sahabat Rasulullah SAW diibaratkan sebagai rahib kuat beribadat pada waktu malam sedangkan pada siang harinya seumpama kuda ligat dan tangkas.
Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah (JAKIM), Jelebu Negeri Sembilan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment