Wednesday, September 24, 2008

Wajib ambil anak angkat dalam situasi tertentu

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Islam tetapkan hukum keadilan bagi pelihara keharmonian nasab, jaga hak harta

ANAK dalam keluarga adalah buah hati belahan jiwa atau penyeri kehidupan. Setiap pasangan yang melangsungkan perkahwinan mengharapkan kelahiran anak sebagai penerusan kepada sebuah keluarga, keturunan dan bangsa.

Namun demikian, tidak semua mahligai perkahwinan dianugerahi Allah dengan anak. Malah, ada yang sehingga menghembuskan nafas terakhir tidak juga dikurniakan cahaya mata walaupun sepanjang hayat mereka pelbagai usaha berubat secara moden mahupun tradisional.

Kebanyakan pasangan yang tidak mempunyai anak akhirnya mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat selepas penantian mereka tidak mendatangkan hasil bagi menghilangkan kesunyian dalam rumah tangga mereka.

Anak angkat diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, mengambil anak saudara sendiri kerana saudaranya itu miskin serta mempunyai anak ramai ataupun dengan cara mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat selepas ibu anak malang itu enggan memelihara anak berkenaan.

Anak angkat sudah dikenali sejak zaman jahiliah sebelum ada risalah Nabi Muhammad SAW. Ketika itu anak angkat dinasabkan kepada bapa angkatnya serta boleh menerima perwarisan. Malahan isteri anak angkat haram dikahwini oleh bapa angkatnya.

Justeru, umumnya anak angkat mendapat hak yang sama seperti anak kandung. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah mengambil Zaid bin Haritsah bin Syarahil Al-Kalbi sebagai anak angkat sebelum beliau menjadi rasul, sehingga dipanggil dengan nama Zaid bin Muhammad. Tradisi itu berlanjutan dari zaman jahiliah hingga tahun ketiga atau keempat hijrah.

Allah kemudian memerintahkan anak angkat dinasabkan kepada bapa mereka (yang sebenarnya) apabila diketahui. Allah mengharamkan anak angkat dinasabkan kepada bapa angkat secara hakiki, bahkan anak juga dilarang bernasab kepada selain bapa mereka yang sebenarnya.

Allah mengungkapkan hukum itu sebagai bentuk keadilan yang mengandungi kejujuran dalam perkataan, menjaga keharmonian nasab serta menjaga hak harta bagi orang yang berhak memilikinya.

Islam tidak menggalakkan konsep anak angkat tanpa sebarang ikatan diiktiraf. Berbeza dengan anak susuan, anak angkat adalah dikira sebagai orang asing dalam rumah, maka semua batasan aurat perlu dijaga seperti wanita di luar rumah.

Ia adalah fenomena tidak sihat menurut Islam. Jika seseorang tahu statusnya sebagai anak angkat hanya ketika ia sudah dewasa, maka bermula daripada ia sedar semua batasan aurat mesti dijaga seperti dituntut Islam kepada lelaki dan perempuan bukan mahram.

Dari segi pembahagian harta bagi anak angkat, Islam menetapkan anak angkat tiada hak dalam harta pusaka. Jika hendak bagi juga harta kepada anak angkat, harta itu hendaklah dibahagi secara hibah ketika hayat bapa atau ibu angkat. Selain itu adalah dengan cara mewasiatkan harta kepada anak angkat, tetapi dengan syarat tidak boleh mewasiatkan lebih daripada satu pertiga harta yang ada.

Mengambil anak angkat untuk dijadikan sama macam anak sendiri dilarang oleh syarak seperti dilarang menukar bin anak angkat tersebut. Mengambil anak angkat seperti anak luar nikah yang tidak dipedulikan orang bertanggung jawab adalah digalakkan di sisi syarak.

Dalam sesuatu keadaan, hukum mengambil anak angkat ini boleh menjadi wajib apabila timbulnya ketakutan anak itu akan jatuh ke tangan orang kafir. Justeru bagi mengelakkan akidah anak itu terpesong, Islam mewajibkan anak berkenaan diambil serta dijadikan anak angkat.

Ada dua cara mendapatkan anak angkat iaitu mengambil terus daripada ibu bapa yang ingin memberikan anak mereka sebagai anak angkat atau kedua, dengan cara membuat permohonan kepada JKM.

Bagi menjadikan permohonan cara pertama di atas sah mengikut lunas undang-undang, permohonan pemohon hendaklah dilanjutkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara di bawah Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253). Permohonan untuk pengesahan itu hanya boleh dibuat selepas dua tahun anak angkat berkenaan dipelihara oleh keluarga angkatnya.

Permohonan cara kedua, sebelum anak angkat dibenarkan diambil, JKM akan mempertimbangkan permohonan pemohon terlebih dulu. Antara perkara dipertimbangkan JKM ialah latar belakang sosial pemohon serta kesanggupan menjadi keluarga angkat.

Selain itu, syarat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 juga perlu dipenuhi antaranya, ibu bapa angkat mestilah sekurang-kurangnya berumur 25 tahun dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada anak angkat itu. Anak angkat itu hendaklah di bawah umur 18 tahun dan ibu bapa dan anak angkat hendaklah menetap di Malaysia.

Mengikut peruntukan undang-undang, pengambilan anak pelihara secara sendiri perlu dimaklumkan kepada JKM mengikut seksyen 35(1) Akta kanak-Kanak 2001 tidak lewat daripada satu minggu selepas pengambilan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

2 comments:

Rahaman Rasid said...

Artkel yang baik

MUHAMMAD IKHMAL RIZAREL said...

Saya nk tips untok saya anak kandung yg x cukop kasih sayang. Dan dalam situasi saya ni. Anak angkat dimanja disayangi diberat sebelahkaan oleh keluarga. Malah saya dan abang saya dilayan seperti orang asing....dan saya berdoa agar ayah saya diber hidayah dan terbuka pintu hatinya dengan rahmat ALLAH S.W.T AMINNNN. TOLONG AMINKAN DOA SAYA:( DAN KALAU BOLE SHARE JUST UTK AMINNKAN JA INSYAALLAAAH DIPERKENANKAN