Oleh Hasliza Hassan
SUNGAI Nil kelihatan tenang pada permukaan, namun di perutnya tersimpan khazanah sejarah yang perlu dibongkar demi kesejahteraan manusia sejagat. Walaupun Sungai Nil mengalir melalui beberapa buah negara di benua Afrika, ia terkenal kerana negara Mesir yang memasyhurkannya.
Berdasarkan ahli falsafah Greek, Herodotus, Mesir adalah Hadiah Sungai Nil. Sungai sepanjang 6,600 kilometer yang berpunca daripada Tasik Tana di Ethiopia dan Tasik Victoria di Uganda menjadi nadi kehidupan rakyat Mesir dan antara tempat bermulanya tamadun awal manusia.
Di Kaherah, Sungai Nil yang merentasi bandar itu dimanfaatkan menerusi pelancongan, sesuai dengan arus pemodenan. Pemaju hartanah memilih lokasi berhampiran Sungai Nil untuk mendirikan hotel sebagai strategi memikat pelanggan.
Sungai Nil ibarat ular gergasi yang merentasi benua Afrika dari selatan menuju utara. Ekspedisi mencari sumber Sungai Nil bermula beberapa abad yang lalu dan penjelajah berbangsa Inggeris, John Hanning Speke menemui sumber Sungai Nil pada 1862.
Selepas penemuan itu, Speke menulis buku bertajuk Jurnal Penemuan Sumber Sungai Nil. Dalam catatan itu, Speke mengakui sumber Sungai Nil sebenarnya ditemui seorang penjelajah Arab.
Mengikut kajian, penjelajah Arab dimaksudkan ialah ilmuwan Islam dalam bidang pemetaan, Al-Idrisi, yang menemui sumber Sungai Nil lebih tujuh abad mendahului Speke.
Rahsia Sungai Nil dibongkar dalam program Al-Risaalah 2, malam ini yang menyingkap pelbagai kisah serta sejarah yang mempunyai kaitan langsung dengan pembangunan peradaban manusia dari dulu hingga kini.
Ini termasuk kisah pemerintahan kerajaan Merawi dan Napatan yang menyimpan khazanah bernilai di Sudan. Penonton juga dapat melihat tinggalan arkeologi yang menarik iaitu piramid. Biarpun binaannya tidaklah sehebat piramid di Mesir, tetapi ia menyimpan sejarah keagungan kerajaan Meroe.
Sungai Nil adalah contoh betapa pentingnya sungai dalam peradaban manusia. Bahkan ada Firaun mendakwa, kerajaan Mesir di bawah kekuasaannya dan Sungai Nil di bawah telapak kakinya. Siapakah Firaun yang dimaksudkan? Semua itu dalam program Al-Risaalah 2 Musa Kalimullah di TV9 setiap hari jam 10.30 malam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment