aminridzuan@bharian.com.my
MOHON RESTU: Ahmad Zahid mengaminkan doa sebelum majlis pelepasan peserta konvoi KMJG 2006 di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu.
Ahmad Zahid cetus idea baru tarik golongan muda dalami ajaran Islam
KETIKA Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan senarai barisan Kabinet pada 18 Mac lalu, ramai terkejut dengan pemilihan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal berkaitan Islam di negara ini.
Imej dibawa anak kelahiran Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datoh, Perak yang hobinya menunggang motosikal berkuasa tinggi jelas tidak menggambarkan langsung imej keislaman sering digambarkan masyarakat kita.
Namun, Ahmad Zahid ketika menceritakan pengalamannya memegang jawatan itu sejak empat bulan lalu pada majlis makan malam bersama media, baru-baru ini mendedahkan imej ranggi umpama anak muda yang dibawanya itu sebenarnya banyak membantu berdakwah.
"Ketika berkonvoi, ada kala saya membawa isteri (Datin Seri Hamidah Khamis) dan melalui pengamatan, saya tahu ada di antara peserta membawa teman wanita mereka untuk menemankan mereka.
"Walaupun saya tidak menegur mereka secara terang-terangan, tetapi mereka malu serta serba salah berbuat demikian (membawa teman wanita) apabila melihat apa yang saya lakukan (membawa isteri dan bukannya teman wanita) ketika berkonvoi.
"Hasilnya, apa yang saya nampak pada sesi konvoi selepas itu adalah, mereka yang terbabit sudah mula insaf dengan menunggang berseorangan tanpa ditemani teman wanita," katanya sambil disambut gelak tawa pengamal media dan kakitangan agensi kerajaan di bawah kelolaannya pada majlis itu.
Walaupun cerita disampaikan Ahmad Zahid agak melucukan, mesej cuba disampaikan sebenarnya agak mendalam dan menjelaskan kepada media mengenai perubahan cuba dilakukannya.
Apa yang cuba disampaikannya adalah perlunya perubahan termasuk dari segi kaedah dakwah selaras dengan peredaran masa dan tidak melanggar hukum Islam supaya agama ini tidak dipandang jumud atau lesu oleh orang lain.
"Ini yang saya cuba terapkan kepada kakitangan jabatan di bawah seliaan saya iaitu mengikut acuan terkini dalam menjalankan tugas seharian bagi menyampai dan menerangkan dasar berkaitan Islam kepada rakyat negara ini.
"Apa juga kaedah tidak penting kerana asalkan ia mencapai sasaran serta tidak melanggar hukum Islam, ia sudah memadai. Selain itu, mereka yang menerima dakwah itu tidak berasa seperti dipaksa bagi melakukan ibadat," katanya.
Mengulas mengenai falsafahnya iaitu 'memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional' ketika mula-mula menjawat jawatan itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya kini dalam landasan betul untuk ke arah itu.
"Lebih ramai golongan profesional dibawa masuk ke jabatan atau agensi berkaitan Islam dalam usaha mengubah imej secara keseluruhannya supaya Islam dipandang tinggi dan menerima pengiktirafan pelbagai pihak.
"Sebelum ini, orang luar melihat mereka yang terbabit dalam agensi berkaitan Islam ini sebagai tidak mempunyai kebolehan. Tetapi keadaan itu bakal berubah kerana kita sudah mempunyai ramai golongan profesional.
"Dengan penyertaan lebih ramai anggota profesional, saya melihat ia bakal memberi kita banyak peluang baik dari segi dakwah atau urus niaga sekali pun kerana wujud keyakinan pihak luar bekerjasama dengan kita," katanya yang juga seorang profesional (akauntan).
Menyentuh peranan media, Ahmad Zahid berkata, beliau berterima kasih dengan peranan aktif dimainkan media dalam membantu pihaknya terutama dalam menyelesaikan isu dan masalah sensitif dengan cara baik.
"Seperti contoh, dalam isu berkaitan Peraduan 100 Hari 100 Kereta yang dianjurkan Celcom (Celcom (Malaysia) Bhd (Celcom)) baru-baru ini, isu melanggar syariah dan mengandungi unsur judi berjaya diselesaikan dengan cara baik.
"Aduan pengguna yang disiarkan media dibawa kepada pengetahuan kami untuk diambil tindakan. Pihak Celcom dipanggil memberi penjelasan mengenainya sebelum arahan baru dikeluarkan.
"Hasilnya, ia berjaya diselesaikan dengan baik tanpa ada sebarang persengketaan antara pihak kerajaan dan swasta. Ini memberi manfaat kepada orang ramai kerana tidak menerima kesan (mengalami kerugian).
"Inilah bentuk kerjasama yang saya mahu dilaksanakan kerana ada kalanya kami terlepas pandang sesuatu perkara. Teruskanlah membantu kami dengan menjadi mata dan telinga," katanya.
1 comment:
zahid hamidi memang kalut
Post a Comment